Oleh ibn bacoks
JOHOR BAHRU – Gabungan Selamatkan Tanah Rakyat Johor (TANAH) yang berjaya dibentuk pada majlis Dialog Masalah Tanah di Hotel Good Hope, dekat sini, semalam, telah merangka satu perhimpunan yang dijadualkan penganjurannya 5 Mei ini di pekarangan pusat membeli belah terkenal Angsana akan digerakkan secara besar-besaran.
Menurut Pengerusinya, Mazlan Aliman, tujuan penganjurannya adalah untuk mengumpulkan 30,000 rakyat Johor bagi menyatakan sokongan terhadap mereka yang mempunyai masalah pemilikan tanah.
Katanya lagi, Datuk A Samad Said, sastrawan negara yang bertindak sebagai Penasihat kepada TANAH akan turut serta dalam perhimpunan tersebut.
”5 Mei, 30,000 akan sertai himpunan di Johor Bahru. Tolong kempen di media seperti facebook, blog. Semua warga Malaysia akan turun.
”Kalau menang, kita akan buat tranformasi isu tanah di Johor. Wujudkan satu gelombang isu tanah seterusnya ia boleh membawa kejatuhan BN di Johor,” tegas beliau lagi.
Semalam, organisasi induk TANAH yang berjaya dibentuk itu telah diketuai sendiri oleh Mazlan bersama nama-nama besar seperti Hj Dzulkefly Ahmad, Perunding Hartanah, Hasan Karim, Peguam, Syed Othman Syed Abdullah, Aktivis Kemasyarakatan, Suhaizan Kaiat, Ustaz Azam Abdul Razak, Che Mat dan Hasnol.
Difahamkan, majlis Dialog tersebut berjaya membongkar dan menerima aduan kira-kira 30 kes dari seluruh negeri ini dengan kehadirannya lebih 150 orang nyata melebihi dari sasaran awal pihak penganjur.
Seperti yang dijangka, isu pengambilan tanah di tujuh buah perkampungan nelayan Pengerang untuk projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia dan Penapisan Petronas (Rapid) sekali lagi memperlihatkan kekecewaan wakilnya yang bangkit membantah pembinaannya atas alasan pembangunan itu telah menarik perhatian peserta dialog yang lain.
”Tanah kami hendak dirampas, semua hendak dipindahkan, masjid hendak dipindah, rumah, tanah, malah kuburpun hendak dipindahkan.
”Yang hidup teraniaya, yang sudah matipun menjadi mangsa,” tegas Hasnol wakil nelayan Pengerang yang bersuara serak akibat kerap berucap kerana mempertahankan hak.
Pada majlis yang sama, Pak Samad telah mendeklamasikan sebuah sajak yang berjudul Melelong Rimba itu turut bersetuju supaya satu perhimpunan dibuat sebagai salah satu cara menyelesaikan isu ini disamping menyeru rakyat bangkit dengan mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya akan datang.
”Kalau kita menjerit dan berteriak tapi tak buang undi untuk oposisi, tak sampai ke mana. Saya setuju di adakan perhimpunan besar-besaran,” ujarnya beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan