Selasa, 30 Jun 2009

Rakyat dijemput jayakan "Himpunan 100,000 rakyat" di Stadium MBPJ malam ini

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Jun 30, 09

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Rakyat terutamanya penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai bagi menjayakan himpunan 100, 000 rakyat anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya malam ini.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub himpunan malam ini diadakan bertujuan menjelaskan pelbagai isu berhubung Pakatan Rakyat dan isu-isu semasa.

Himpunan ceramah perdana malam ini akan dibarisi pimpinan utama Pakatan Rakyat antaranya; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Himpunan akan dimulakan pada jam 9.00 malam, kata Salahuddin.

PAS kekal menang di Manek Urai

Saidah Hairan
Tue | Jun 30, 09

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yakin PAS akan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada 14 Julai nanti.

Menurut beliau, calon PAS Haji Fauzi Abdullah merupakan Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai telah dipilih PAS untuk mencabar calon Umno, Aziz Tuan Mat.

Beliau menjelaskan, pemilihan Fauzi berdasarkan kajian awal yang dibuat oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan dan PAS Kawasan Kuala Krai.

"Kajian yang dibuat untuk mengambil beberapa segmen pengundi di Manek Urai, menunjukkan beliau adalah calon yang layak untuk mengekalkan kemenangan PAS," katanya.

Beliau yakin peribadi Fauzi yang mudah didampingi oleh masyarakat ditambah dengan sikap dermawan adalah orang yang sesuai untuk menjadi wakil rakyat di Manek Urai dengan iklim georafi dan demografi.

"InsyaaAllah dengan kemenangan ini akan memberi satu jawapan kepada Umno bahawa ia sudah tidak relevan dengan politik di Kelantan dan di Malaysia," tegasnya

Mahfuz: BN kini ertinya 'bini Najib'

Malaysiakini , Jun 30, 09

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mencipta gelaran baru untuk Barisan Nasional dengan label "bini Najib" - alasannya Rosmah Mansor seorang wanita pertama negara yang berpengaruh luas.

"Dulu kita dengar BN (ertinya) 'barang naik'.

"Itulah dijaja oleh orang ramai terutamanya ketika hari penamaan calon tapi hari ini satu istilah baru telah dicipta oleh mereka yang mahir menamakan singkatan perkataan iaitu 'Bini Najib'," ahli parlimen Pokok Sena dipetik berkata semalam.

Menurut laman rasmi media PAS, Mahfuz menyebut gelaran tersebut sewaktu berceramah di majlis makan malam di Sungai Chenaam, Nibong Tebal

Beliau juga berkata, pemerintahan Datuk Seri Najin Razak seolah-olah juga diterajui oleh isterinya, lapor Harakahdaily.net hari ini.

Tambahnya, istilah itu "jika dikaji, ada kebenaranya" apabila menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yu ketika melawat Malaysia awal bulan ini juga bertemu dengan Rosmah, selain Najib.

Pertemuan itu, Mahfuz dilaporkan berkata lagi, "tindakan terbaru yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara" dan "tidak pernah dilakukan olah mana-mana pemimpin negara luar".

"Kalau dikaji ada kebenaranya. Bila Lee Kuan Yu melawat Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Najib, Lee juga mengadakan pertemuan dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Itu yang menghairankan masyarakat kenapa dan apa motif perjumpaan itu. Lazimnya, pertemuan isteri diadakan berasingan itupun dengan isteri pelawat sahaja," Mahfuz dipetik berkata.

"Bukan sahaja timbul kehairanan di kalangan rakyat bahkan di kalangan wartawan yang membuat liputan pertemuan tersebut.

"Jika Datin Seri Rosmah mahu membersihkan isu ini beliau perlu menjawab hasil pertemuan itu.

"Adakah tindakan Rosmah itu membuktikan bahawa Najib bukan mengemukakan wawasan sendiri malahan mempunyai kaitan dengan isterinya yang cuba campur tangan terhadap pentadbiran negara."

Turut berucap di program anjuran PAS Nibong Tebal itu: wakil Kelab Penyokong PAS Pulau Pinang, CJ Ong; ketua penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim dan pegawai khas menteri besar Kedah, Hasan Abdul Razak.

Istilah 'puaka' hantui pelajar UM

Abdul Rahim Sabri | Jun 30, 09

Gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "puaka" dan "Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, dua pelajar Universiti Malaya meringkuk di balai polis sejak minggu lalu.

Izuddin Hilmi Mohamad Zaini ditahan 7 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan).

Sementara rakannya Mohd Sharuddin Ahmad Rosli pula ditahan Jumaat lalu di Petaling Jaya, kata seorang pemimpin pelajar kepada Malaysiakini hari ini.

Kedua-dua pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam - yang ditahan di ibu pejabat polis Brickfields - belum dibebaskan, setakat ini.

Susulan insiden, polis menggeledah empat rumah pelajar, termasuk sebuah yang disewa wanita, universiti tersebut.

Menurut laman web UM Today, polis sedang menjejak tiga lagi pelajar dalam siasatan mereka.

Exco kepemimpinan dan kerohanian Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Mohd Aizat Mohd Salleh bagaimanapun tidak dapat mengesahkan tujuan polis menggeledah.

Pada 26 Jun, sebuah rumah pelajar wanita di Seksyen 17 Petaling Jaya digeledah kira-kira sejam oleh empat anggota polis berpakaian biasa.

Polis merampas cat yang digunakan untuk membuat kain pemidang bagi menyambut kedatangan pelajar baru, Ahad lalu.

Keesokannya, polis menggeledah sebuah rumah pelajar lelaki di Seksyen 17 Petaling Jaya pada sebelah petang. Tiada rampasan dibuat.

Hujung minggu minggu, jam 3 pagi, sebuah lagi rumah pelajar di Seksyen 17 Petaling Jaya didatangi tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor dengan membawa Izuddin Hilmi dan Mohd Sharuddin dalam keadaan bergari dengan baju tahanan lokap.

Kumpulan polis yang sama dengan dua suspek kemudian ke rumah pelajar lelaki di Seksyen 14 Petaling Jaya, kira-kira 3.30 pagi. Mereka berada lebih kurang setengah jam.

Mereka selepas itu ke rumah sewa lelaki Seksyen 17 Petaling Jaya, bagi kali kedua sejak 27 Jun lalu, lebih kurang jam 4 pagi.

Tiada rampasan di ketiga-tiga rumah tersebut.

Polis juga tidak menunjukkan sebarang waran geledah di semua rumah terbabit, kata Mohd Aizat lagi ketika diihubungi.

Beliau menjelaskan MPMUM sedang menyediakan khidmat guaman untuk kedua-dua pelajar tersebut.

Rosmah sering diburuk-burukkan dengan label nama wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4. Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label liar "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya.

Rosmah atau suaminya Datuk Seri Najib Razak setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Satu laman web Malaysia Instinct mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini, seorang pegawai Universiti Malaya berkata pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.

"Biarkan polis kendalikan kes ini," demikian arahan yang diterima beliau, yang enggan dinamakan.

Seorang pegawai penyiasat kes tersebut di balai polis Brickfields gagal dihubungi - setakat ini - untuk pengesahan.

Ahad, 14 Jun 2009

Presiden PAS umum saf kepimpinan baru

Irwan Muhamad Zain | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Thu | Jun 11, 09 | 2:47:07 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi mengumumkan perlantikan Dato' Mustafa Ali sebagai Setiausaha Agung yang baru menggantikan Dato' Kamaruddin Jaffar.


ImagePengumuman dibuat pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS sejurus selesai Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang bermula jam 10 pagi tadi.

Pada sidang itu, Ustaz Hadi mengumumkan Ustaz Idris Ahmad sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat dan mengekalkan Dr. Mohd Hatta Ramli sebagai Bendahari.

Tinbalan Pengarah 1 Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman pula dilantik menggantikan tempat Mustafa sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

ImageBekas-bekas Naib Presiden, Dato Husam Musa dan Mohamad Sabu yang tewas dalam pertandingan kerusi Timbalan Presiden dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Wan Ubaidah Wan Omar ialah dua muka baru yang dilantik.

Dr Mariah Mahmod dan Anuar Tahir turut dilantik semula.

Kerajaan Selangor bela ibu tunggal dengan projek cendawan

Muhammad Arif Ismail
Fri | Jun 12, 09 | 12:39:13 pm

PUCHONG, 12 Jun (Hrkh) - Keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor terhadap nasib ibu tunggal direalisasikan dengan mewujudkan projek penanaman cendawan dalam satu program yang dikenali sebagai satu kampung satu produk.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan ekonomi desa terutamanya meningkatkan pendapatan golongan ibu tunggal yang hilang punca pendapatan selain daripada terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Yaakop Sapari, Kerajaan Negeri kena bantu golongan ibu tunggal. Oleh sebab itu, satu sistem dibangunkan untuk membantu sekali gus dapat keluar dari lingkaran kemiskinan.

"Program ini merupakan program kerajaan negeri, di mana pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) menyediakan sedikit dana untuk menjayakan projek ini dan menepati sasarannya," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek pembangunan produk cendawan bagi program satu kampung satu produk di Kampung Sri Aman, dekat sini semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik itu, satu set khemah bersaiz 20' X 11' dengan 5,000 bongkah cendawan berharga RM15,000 dan kerajaan negeri tidak bagi hasil dalam bentuk tunai tetapi bagi dalam bentuk teknologi dan bimbingan.

Dengan cara itu katanya, adalah lebih praktikal untuk membolehkan golongan susah di Kampung ini dapat dibantu. Lepas ini, Kerajaan negeri akan teruskan lagi, kalau ada rakyat yang susah akan dibantu.

Tambah beliau, di samping tempat ini, kampung ini juga ada pengusaha-pengusaha cendawan yang lain dan tempat ini dipilih kerana sudah mempunyai tempat latihan cara penanaman cendawan.

"Ini merupakan tempat yang pertama diadakan projek seperti ini. Selain itu, projek yang sama telah dilakukan di Hulu Langat, Tanjung Karang dan Hulu Yam dan ini bergantung di mana pakar penanaman cendawan berada," katanya.

Beliau sebagai exco yang bertanggunjawab berharap agar Negeri Selangor akan menjadi pengeluar cendawan untuk pasaran tempatan.