Jumaat, 27 April 2012

Jalan Kampung Sepatutnya Sudah Berturap Di Johor



Oleh ibn_bacoks

PONTIAN – ”Jalan Kampung di Johor Sepatutnya sudah ditar. Kalau 20 tahun dulu boleh lah (tidak diturap) apatah lagi permohonan sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu,” demikian respon awal Ustaz Atan Gombang, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut apabila diminta mengulas tuntutan jalan berturap oleh Penduduk Kampung Parit Hassan, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, kecewa dengan janji yang diberikan sedangkan hingga kini tiada sebarang usaha dilakukan pihak terbabit menyebabkan penduduk membuat aduan kepada PAR Benut.

Beliau yang juga mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor berkata, Lorong Muhibbah yang mempunyai enam rumah itu dianggarkan sepanjang satu kilometer sahaja.

Lebih menyedihkan, penduduk turut diminta untuk tebang pokok sawit yang mengganggu kerja-kerja penurapan dengan harapan janji yang ditaburkan itu menjadi kenyataan.

Sementara itu, Imam, Milok Woddi, 64, berkata penduduk terpaksa mengumpulkan wang bersama bagi membeli tanah merah dan menyewa lori bagi kerja-kerja penambakan parit.

”Tapi, selepas kami berhabis ribuan ringgit menambak dan mengalihkan parit di kawasan ini, tiada sebarang kerja-kerja penurapan jalan dibuat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Bertindak Isu Jalan Parit Hassan ditubuhkan dan beliau sendiri adalah pengerusinya sebagai langkah membawa perkara ini ke tengah sekaligus membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan