Rabu, 18 April 2012
PEMUDA PAS Johor Sokong Mansuh PTPTN
Blog ibn_bacoks
SIMPANG RENGGAM – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyatakan sokongannya kepada gerakan Mahasiswa yang berhimpun bagi membantah skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menuntut pendidikan percuma diberikan kepada mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurut Setiausahanya, Mahadzir Mat Zili, keberanian para mahasiswa seperti anak muda yang berkumpul itu perlu dicontohi dan ia dilihat sebagai satu cara mendesak kerajaan supaya pemansuhan itu menjadi kenyataan meskipun terpaksa berkampung dengan mendirikan khemah di Dataran Merdeka.
”Kita (DPPNJ) menyokong tindakan itu dan Insya-Allah kalau Pakatan Rakyat (PR) dapat kuasa ke Putrajaya kita mansuhkan dan jadikan pendidikan percuma untuk rakyat,” katanya ketika menghubungi ibn bacoks sebentar tadi.
Difahamkan, sebagai tanda sokongan kepada tindakan mahasiswa terbabit, DPPNJ telah menghantar dua orang exconya iaitu Mahadzir Mat Zili dan Salleh Tamjis untuk mengadakan lawatan ke Dataran Merdeka selasa lalu.
Sedikit sumbangan diserahkan kepada wakil mahasiswa terbabit sempena lawatan tersebut. Akhbar sebelum ini melaporkan kira-kira 500 mahasiswa pro-demokrasi berhimpun di beberapa kawasan ibu negara bagi menyuarakan permintaan ke arah pemansuhan skim pinjaman tersebut.
Perhimpunan itu bermula di Masjid Jamek kira-kira jam 2 petang sebelum berarak ke Dataran Merdeka jam 2.30 petang, bergerak untuk berkumpul di hadapan Kompleks Sogo jam 3 petang dan kembali semula ke Dataran Merdeka jam 3.45 petang.
Malah, sebagai simbolik kepada tuntutan mereka itu kumpulan yang menyertai perarakan itu turut berarak bersama gambar dua pemimpin yang dikalungkan bunga itu ketika mereka menuju semula ke Dataran Merdeka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan