Selasa, 17 April 2012

Masalah Berulang, MPJBT Perlu Bertindak



SKUDAI – Dr Boo Cheng Hau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Skudai, mendesak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) bertindak kerana sistem perparitan tidak sempurna di kawasan medan selera Jalan Emas Putih 4, Taman Sri Skudai dekat sini, menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan peniaga ekoran terpaksa berhadapan masalah busuk sejak lebih setahun lalu.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Johor itu lagi, pihaknya telah menerima banyak aduan berkaitan masalah yang sama namun perkara itu berulang walaupun tindakan sudah diambil.
”Saya berharap pihak MPJBT memandang serius terhadap perkara ini dan menjalankan pemantauan agar kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan mengikut jadual,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Johor dalam satu kenyataan.
Difahamkan, sistem perparitan itu yang tersumbat menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan air longkang masuk ke dalam kawasan gerai apabila hujan lebat.
Malah, keadaan menjadi semakin buruk ketika cuaca hujan yang menyebabkan bau busuk dan kotor di sekitar gerai.
Sejumlah 50 peniaga gerai makanan terpaksa menutup perniagaan masing-masing apabila air longkang memasuki gerai ketika hujan.
Dalam pada itu, ada juga penduduk yang mendakwa ia berlaku sejak kerja-kerja pembinaan Kompleks Sukan Sri Skudai dijalankan berhampiran kawasan gerai itu kira-kira setahun yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan