Jumaat, 27 Januari 2012

Dukacita Kerana MB Tiada Sewaktu Serah Memo : Dato’ PJ


Oleh ibn_bacoks

NUSAJAYA – ”Dukacita tidak dapat bertemu MB untuk menyerahkan memo kerana tiada di pejabat. Dia di Segamat,” ujar Dato’ Pesuruhjaya PAS negeri Johor, Dr Mahfodz Muhammed.

Beliau berkata demikian sejurus menyerahkan memorandum rakyat berkaitan Isu Pengambilalihan QSR Dan KFCH oleh Jcorp kepada Menteri Besar Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Othman di perkarangan pejabat Menteri Besar, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Nusajaya, dekat sini, semalam.

Hadir sama Hj. Aminolhuda Hassan, Timbalan Pesuruhjaya, Hj. Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pesuruhjaya, En. Hassan Karim, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Ustaz Abdullah Hussin, Ketua Dewan Ulamak dan Sdr. Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Johor.

Walaubagaimanapun, memorandum itu berjaya juga diserahkan oleh Dr Mahfodz bersama enam daripada kalangan pimpinan lain melalui Ketua Setiausaha Politik Menteri Besar, En. Mohd. Hafiz kira-kira jam 12.15 tengahari.

Terdahulu, sekitar jam 11.25 pagi telah berlaku perbincangan antara Ketua Dewan Pemuda Johor dengan Pegawai Keselamatan dan ini berlanjutan beberapa minit kemudian hasilnya hanya 7 individu sahaja dibenarkan masuk ke pejabat Menteri Besar.

Mtd-Benut.blogspot.com difahamkan, seramai kurang daripada 500 orang rakyat Johor hadir memenuhi perkarangan bangunan kerajaan itu sejak jam 10.00 pagi lagi sebagai tanda sokongan kepada usaha yang dilakukan ini.

Tambahan pula, sebahagian besarnya adalah terdiri daripada kalangan anak muda, nyata memberi signal kepada kerajaan UMNO-Johor bahawa kehadiran itu bakal memberi kejutan dalam pilihan raya akan datang.

Tinjauan turut mendapati, sepanduk berbunyi ‘Selamatkan KFCH dan QSR, Khazanah Rakyat Johor’, ‘Jangan Serahkan KFC dan QSR Kepada Pihak Asing’, ‘Isu Pengambilalihan QSR dan KFCH, MB Berbohong Kepada Rakyat Johor?’ antara kain rentang yang ada dan ia telah dinaikkan bersama iringan laungan takbir seusai sahaja penyerahan memorandum itu dilakukan.

Disamping itu, sekumpulan wartawan turut kelihatan dengan menjalankan tugasnya membuat liputan antaranya seperti stesen tv berbayar Astro Awani, Akhbar Sinar Harian dan Harakah.

Dalam perkembangan berkaitan, Hj. Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pesuruhjayanya dilaporkan berkata antara tujuan penyerahan itu dilakukan adalah untuk melihat bagaimana cara Abdul Ghani menangani isu ini.

Dakwa beliau lagi bahawa akan wujud agenda politik sekiranya memorandum yang diserahkan itu diabaikan oleh orang nombor satu di dalam pejabat Menteri Besar.

”Kandungan memo, (kita nak tengok) apa respon MB. Kalau diterima, alhamdulillah. Kalau tidak diterima. Ini ada agenda politik. Disamping sebagai batu loncatan untuk dapat keuntungan dunia,” ujar beliau lagi.

Jelas beliau yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Nusajaya bahawa implikasi yang merugikan akan berlaku kepada banyak pihak ekoran dari cadangan pengambilalihan QSR Brands Bhd (QSR) dan KFC Holdings Bhd (KFCH) oleh JCorp melalui kerjasama dengan CVC Capital Partners, sebuah syarikat yang dikuasai Yahudi.

Maka tambah beliau lagi, PAS dan rakyat negeri itu telah menyerahkan memorandum bagi mendesak sekeras-kerasnya supaya Menteri Besar yang selaku Pengerusi JCorp membatalkan cadangan pengambilalihan tersebut berdasarkan lapan hujah yang telah dikemukakan.

”Berdasarkan kepada lapan hujah di atas, maka kami mendesak supaya cadangan pengambilalihan itu dibatalkan serta merta kerana ia jelas tidak menguntungkan mana-mana pihak sama ada JCorp, Kulim (M) Berhad, QSR, KFCH termasuk rakyat Johor,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau turut dilaporkan berkata bahawa bantahan yang dilakukan pihaknya ini tidak berakhir di situ dan ia akan diteruskan pada masa mendatang.

”Ini bukan kali terakhir. Ini akan dibuat tindakan susulan,” kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan