Jumaat, 13 April 2012

Pencemaran Bau : Agensi Terbabit Diminta Bertindak



PONTIAN – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut meminta agensi terbabit supaya melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah yang penduduk Kampung Permatang duku, Benut dekat sini, yang berhadapan dengan pencemaran bau.
Penyelianya, Ustaz Atan Gombang berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk tersebut yang mendakwa pencemaran terjadi akibat pengaliran tali air tidak diselenggarakan dengan baik.
Malah katanya lagi, sejak 2 tahun lalu aktiviti pembersihan tidak dilakukan menyebabkan sampah sarap mudah terperangkap.
Disamping itu, air kumbahan dari rumah berdekatan yang masuk ke dalam parit menjadi mendap kerana dipercayai berpunca daripada kolam ikan yang dibina didakwa telah menutup laluan air tersebut.
”Penduduk mengadu air kumbahan rumah yang masuk ke dalam parit mendap di sana. Kalau korekpun air tak bergerak. Terlampau cetek.
”Kalau musim kemarau, lagi kuat bau. Warna airpun turut berubah. Hampir 30 buah rumah terlibat dengan pencemaran bau ini.” ujar mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor itu lagi.
Terdahulu, Ustaz Atan bersama 10 ahli rombongan PAR Benut telah melakukan lawatan ke situ bagi menyelami masalah penduduk.
Hadir sama, Mahadi Arjoh, Ketua cawangan PAS Permatang Duku, Noor Saiful Amri, Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Pontian.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Nazri Rosdi, 30, berkata, dia sudah banyak kali mengajukan permasalahan ini kepada ketua kampung bagaimanapun tiada tindakan positif dilakukan.
”Banyak kali adu kat ketua kampung. Malah, dalam mesyuarat agung cawangan UMNO, dia (ketua kampung) kata, nak tutup kolam ikan tapi sampai sekarang tiada tindakan diambil,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) memantau perkembangan ini sekaligus boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.
”Apakah JPS benarkan parit ini diblog untuk buat kolam ikan?,” soalnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan