Isnin, 23 April 2012

TARBIAH Perlu Sewaktu Keadaan Kritikal



LABIS – Dalam menghadapi bahang dan demam Pilihan raya yang akan datang, ramai yang terlepas pandang kepada satu elemen yang boleh memberi kekuatan jiwa sewaktu menghadapi suasana yang kritikal dan mencabar.
Menurut Normala Sudirman, bekas calon Pilihan raya kecil Dun Tenang, Tarbiah adalah proses yang sentiasa diperlukan baik dalam keadaan selesa mahupun getir.
Hal ini kerana, kemantapan iman amat diperlukan bagi memperolehi reda dan bantuan daripada ALLAH swt.
“Tarbiah amat diperlukan sepanjang masa, terutama ketika suasana kritikal, seperti sewaktu pilihanraya. Suasana begini amat penting kerana unsur iman diperlukan untuk mendapat sokongan dan pertolongan Allah.
“Meneruskan usaha tarbiah amat diperlukan sebagai persediaan kepada generasi akan datang untuk menyambung tugas perjuangan jihad sebagai barisan pelapis,” ujarnya menerusi laman rasmi facebooknya.
Beliau yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pemanis berkata demikian sebagai mengulas satu artikel tulisan Ustaz Idris Ahmad, dalam akhbar Harakah dengan mengingatkan kepada pendokong gerakan Islam supaya tidak mengabaikan Tarbiah terutama ketika menghadapi pilihan raya.
Ustaz Idris dilaporkan berkata keperibadian Muslim yang tulen merupakan batu bata yang menjadi tapak kepada pembinaan jamaah. Kukuhkan peribadi Muslim melalui program tarbiah fardi (perseorangan) atau secara jama’i). Jika berlaku kelemahan dan kecacatan di dalam proses pembinaan ini maka jamaah perlu dipertangungjawab kenapa perkara ini berlaku.
Sekiranya jamaah sudah berusaha semaksimum mungkin mengatur program, namun sikap ahli atau pimpinan yang  tidak memperdulikan program ini, maka jamaah boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.
Katanya lagi,tabiat perjuangan itu sendiri yang perlu meletakkan asas yang kukuh kerana ia menuntut pendokongnya kepada amal jihad yang berterusan. Untuk mendapat kejayaan cemerlang, jamaah mesti melahirkan  manusia yang memiliki akidah yang betul-betul memahami Islam mengikut sistem tarbiah  yang baik bagi persediaan kepada jihad dan pengorbanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan