Isnin, 6 Julai 2009

DUN MANEK URAI: PERJALANAN PENAMAAN CALON

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN (mstar)

BERIKUT perkembangan proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan.

11.15 PAGI: Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin mengumumkan status calon. Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah disahkan layak bertanding.

11.00 PAGI: Sesi pameran dan bantahan pencalonan sudah berakhir.

10.30 PAGI: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga berkunjung ke khemah PAS dan berbual-bual dengan pemimpin Pakatan, antaranya Datuk Husam Musa, Saifuddin Nasution Ismail, Hadi, Azmin dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

10.15 PAGI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkunjung ke khemah tetamu PAS dan bersalaman dengan pemimpin-pemimpin Pakatan. Ketika itu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada di khemah kerana telah meninggalkan pusat penamaan calon kira-kira 20 minit yang lalu.

10.05 PAGI: Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan proses bantahan bermula. Sesi pameran dan bantahan borang penamaan calon bermula. Ia akan berlangsung selama sejam.

10.00 PAGI: Proses penamaan calon ditutup. Hanya dua calon serahkan borang iaitu calon BN dan PAS.

9.22 PAGI: Giliran calon PAS, Fauzi melengkapkan borang dan menyerahkannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin.

9.20 PAGI: Calon BN, Tuan Aziz selesai menyerahkan borang penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Selepas itu beliau kelihatan bersalam dan memeluk calon PAS, Fauzi.

9.10 PAGI: Calon PAS, Fauzi melangkah ke Dewan Petra untuk menyerahkan borang penamaan calon.

9.02 PAGI: Calon BN, Tuan Aziz masuk ke Dewan Petra untuk menyerahkan borang penamaan calon.

9.00 PAGI: Proses penamaan calon dibuka, akan berlangsung selama sejam.

8.50 PAGI: Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi ketiga-tiga Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

8.32 PAGI: Calon PAS, Mohd. Fauzi tiba dengan diiringi pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Azmin Ali, Salahuddin Ayub dan Tan Sri Khalid Ibrahim serta Dr. Tan Seng Giaw. Kira-kira 1,000 penyokong parti itu berkumpul di luar pusat penamaan calon.

8.25 PAGI: Anggota polis juga mengadakan kawalan keselamatan ketat di kawasan pusat penamaan calon.

8.15 PAGI: Penyokong-penyokong BN juga sudah mula berkumpul.

7.55 PAGI: Kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, penyokong-penyokong PAS sudah mula berkumpul untuk berarak ke pusat penamaan calon.

7.45 PAGI: Kira-kira 100 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan mula berkawal di pintu masuk ke pusat penamaan calon iaitu di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. Keadaan kelihatan tenang. Penyokong parti-parti utama bertanding belum kelihatan.

Ahad, 5 Julai 2009

Husam: Manek Urai gelombang tumbangkan BN

Malaysiakini

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa mahu menjadikan kemenangan di Manek Urai sebagai satu arus yang membawa gelombang untuk menumbangkan BN yang menguasai kerajaan persekutuan.

"Kita mahu hantar mesej bahawa rakyat sudah tidak mahu menerima BN. Dan BN Harus bersiap sedia keluar daripada Putrajaya.

nik aziz nik mat manek urai"Dan Manek Urai adalah sebahagian daripada strategi untuk menaikkan gelombang kebangkitan rakyat itu," kata Husam.

Beliau menegaskan demikian dalam satu majlis "Amanat Tok Guru untuk Anak Manek Urai" di sebuah hotel di ibunegara malam tadi.

Majlis tersebut - anjuran Persatuan Anak Kelantan di perantauan (Perakan) dengan kerjasama urusetia penerangan Kerajaan Kelantan - dihadiri kira-kira 400 pengundi Manek Urai dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terdapat 867 anak Kelantan daripada Manek Urai yang tinggal sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mengingatkan agar rakyat negeri itu supaya pulang mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

'Ujian kepimpinan Nik Aziz'

Katanya, ini kerana mengundi merupakan satu kewajipan untuk meneruskan pemerintahan Islam di negeri yang terkenal dengan jolokan 'Serambi Mekah".

"Sebagaimana difardukan solat, begitulah kewajipan mengukuhkan kerajaan Islam Kelantan agar gagasan Islam tidak pupus dan lupus tidak kira dalam pilihanaraya kecil atau pilihanraya umum," katanya.

manek urai candidate fauzi abdullahTurut hadir di majlis tesebut termasuk Bendahari PAS pusat, Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai; Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood;

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim; dan calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat menyifatkan pilihanraya kecil ini juga sebagai satu ujian Allah untuk menguji kepimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Umno cuba untuk memperlekehkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang tidak dilihat mempunyai sijil kelulusan yang tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sebaliknya kata Husam, pengundi di Manek Urai mementingkan calon yang mempunyai tingkah laku yang baik dan melihat perangai calon yang bertanding.

"Mereka mahu calon seperti (Allahyarham) Pak Su Wei (Ismail), iaitu orang yang boleh dilihat (dalam masyarakat), tak kunci pintu rumah dan mudah mesra dengan rakyat. Berkhidmat untuk rakyat tidak perlu sijil tapi komitmen," katanya.

Jelas isu royalti minyak

Menurut Husam lagi, PAS Kelantan akan menjelaskan isu royalti minyak kepada pengundi sebagai satu isu yang akan menjadi strategi kempen di Manek Urai.

Pihaknya akan menaikan poster besar berhubung isu tersebut, sebagai isyarat "harapan rakyat Kelantan terhadap tuntutan royalti" tersebut.

Mengulas mengenai lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang mengunjungi Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS bulan lalu, Husam berkata: "Lee kata parti PAS kuat disebabkan anak-anak muda dan orang yang berpelajaran menyokong perjuangan PAS."

manek urai nik azizMenurut Husam lagi, dasar keadilan untuk semua kaum, yang menjadi dasar parti, menyebabkan PAS diterima oleh semua kaum.

Dengan keadilan tersebut, tambah Husam, Lee menganggap, Kelantan akan berbuat baik dengan negara berjiran dengan Malaysia dan negara serantau.

"Ini kerana dasar PAS adalah Islam yang diterima umum. Kalau Kelantan boleh diiktiraf oleh negara luar, kita maju setapak lagi," katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa

PAS akan mencapai kemenangan di Manek Urai.

Manakala Nik Aziz pula, ketika berucap di majlis itu, menggesa pengundi Manek Urai agar pulang mengundi pada 14 Julai ini - dengan apa cara sekalipun - untuk memberi kemenangan kepada PAS.

Islam sebagai cara hidup

"Kena balik, tak boleh naik bas, naik motosikal. Tak boleh naik motosikal, jalan kaki," katanya berseloroh sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan menasihatkan Umno supaya menjadikan Islam sebagai cara hidup.

"Bumi yang kita duduk ini, Tuhan buat. Udara yang kita bernyawa (dengannya) yang ada sukatan tertentu, ada oksigen, Tuhan buat... Sayur-sayuran yang kita tanam, kita makan, pun Tuhan buat.

"Semua benda yang manusia berkehendak, Tuhan buat belaka, tiba-tiba kita tolak Islam. Islam bukan datang daripada PAS. Islam datang daripada Allah Taala," katanya.

Sementara itu Pengerusi Perakan, Abdul Fatah Mahmood berkata kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 adalah kerana anak Kelantan di perantauan menelefon ibu bapa dan keluarganya di kampung supaya mengundi PAS.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berharap agar pengundi Manek Urai di luar mengambil langkah yang sama dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"MU (Manek Urai) adalah langkah awal untuk memenangi piliharaya umum yang ke-13 dan (seterusnya) Pakatan Rakyat dapat menerajui kerajaan persekutuan," katanya.

Manakala calon PAS di Manek Urai, Mohd Fauzi turut memeriahkan perrtemuan dengan berucap selama lima minit untuk memperkenal dirinya.

Beliau juga meminta agar pengundi di luar Kelantan, dapat pulang ke kampung untuk memberi sokongan kepada parti PAS dan seterusnya mengekal kerusi tersebut.

Generasi muda di Manek Urai pertahan momentum Mac 2008

Mohd Nor Yahya | Zuharman MN
Sat | Jul 04, 09 | 4:12:43 pm MYT

KUALA KRAI, 4 Julai (Hrkh) - Sokongan golongan muda terhadap PAS ternyata tidak surut, seakan mengulangi fenomena yang berlaku pada pilihan raya umum Mac 2008.

Ini dapat dilihat lebih 300 pemuda menyertai konvoi bermotor yang diadakan di Dun Manek Urai hari ini

Pemuda yang menyertai konvoi tersebut berusia 21 tahun ke atas, iaitu mereka yang telah layak mengundi. Seramai 30 peserta datang dari setiap Unit Peti Undi di Dun Manek Urai.

Mereka termasuk dari dari kelab kereta nasional, motosikal klasik dan motosikal berkuasa tinggi. Pelepasan konvoi tersebut dilakukan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Turut hadir calon PAS Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli.

Acara pelepasan diadakan di perkarangan masjid Kampung Peria bermula jam 9 pagi. Image

Berucap merasmikan program berkenaan Abdul Latif berkata, beliau begitu terharu di atas kesanggupan belia bersama -sama membantu calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai.

Katanya, golongan belia menyedari hanya kepimpinan ulama yang mampu membentuk generasi baru ke arah lebih cemerlang.

"Saya bersyukur kerana golongan belia menyedari pemimpin Umno dan BN sering memutar belit pelbagai isu bagi kepentingan politik mereka. Sedangkan banyak penyelewengan yang dilakukan ditutup rapat bagi mengelakkan diketahui umum.

"Biar pun mereka menyembunyikan segala kepincangan yang berlaku namun rakyat terutamanya golongan belia mudah menghidu kerana teknologi maklumat sekarang semakin canggih," katanya.

ImageBeliau berkata, golongan muda hanya mengharapkan PAS dan Pakatan Rakyat mengembalikan semula kegemilangan negara setelah dipunahkan kerajaan BN yang ada sekarang.

Menurutnya juga golongan belia lebih yakin terhadap kepimpinan PAS setelah berjaya menegakkan syiar Islam di Kelantan.

Kata beliau sekiranya golongan belia tidak berminat dengan PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentu tidak ramai yang hadir pada program berkenaan.

Sementara itu Mohd Fauzi memberi perangsang kepada remaja supaya sentiasa mematuhi perintah agama, mentaati ibu bapa dan berdisiplin ketika berada di jalan raya.

"Saya amat menghargai kesanggupan dan ikrar adik-adik untuk memberi bantuan tenaga dalam mempertahankan pemerintahan PAS yang berjuang untuk menegakkan syiar Islam," ujar beliau.

Kata beliau biar pun remaja sekarang dikaitkan dengan gejala mat rempit, namun diharap belia di Manek Urai terhindar daripada gejala tersebut.

Beliau juga melahirkan komitmen untuk untuk bersama dengan golongan belia di Manek Urai sekiranya PAS terus dipertahankan pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Konvoi bermotor tersebut melalui Kampung Peria, Sungai Sok, Chuchuh Puteri, Lata Rek, Laloh dan berakhir di Manek Urai.

Di samping itu pelbagai program menarik diadakan antaranya pameran motosikal dan motivasi di Chuchuh Puteri, solat Zohor berjemaah di Laloh dan berakhir di Manek Urai Lama.

Nik Aziz jadi tumpuan di kubu Umno di Lela Jasa

Mohd Nor Yahya
Fri | Jul 03, 09 | 9:26:30 pm MYT

KUALA KRAI, 3 Julai (Hrkh) - Biarpun Kampung Lela Jasa dianggap sebagai kubu Umno di peti undi Laloh, namun ramai penduduk hadir menemui Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika bertandang ke kampung tersebut hari ini.

Menteri Besar turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid kampung berkenaan. Kehadiran orang ramai agak luar biasa.

Selepas itu beliau hadir pada majlis kesyukuran di rumah seorang penduduk di kawasan berdekatan.

Sedangkan sebelum ini kawasan berkenaan menjadi tumpuan kepada pemimpin Umno apabila sering datang ke penempatan tersebut dan bermalam di situ. Antaranya Ketua Penerangan Umno Malaysia, Ahmad Maslan.

Ketika menyampaikan khutbah sebelum itu beliau berkata, ketaatan kepada Allah dan Rasul merupakan asas utama seseorang untuk menjadi pemimpin masyarakat.

Beliau berkata, umat Islam wajib memilih pemimpin yang taat kepada Allah kerana lebih amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas. Image

Kata beliau berbeza dengan pemimpin yang tidak menjadikan agama sebagai pegangan hidup. Mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa ada batasan hukum hakam.

Beliau juga berkata, khutbah Jumaat merupakan medan terbaik untuk menyampaikan mesej agama kepada umat Islam.

"Biar pun ada orang mengatakan khutbah dijadikan medan berpolitik, sedangkan apa yang disampaikan semuanya terkandung dalam al Quran dan Hadis yang menyentuh kehidupan harian.

"Sebenarnya khutbah ialah tempat menyampaikan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Sebab Islam menyeluruh yang meliputi ekonomi, sosial dan politik," katanya.