Rabu, 21 April 2010

Tuntut bangunan Umno, Zaid tahu undang-undang

Hafiz Irwan


KOTA BHARU, 21 April: “Kenapa sekarang baru timbul? Kenapa tidak dulu-dulu? Nampak sangat macam hendak menjatuhkan imej Zaid sebagai seorang yang tidak beramanah, lebih-lebih lagi dalam keadaan beliau dipilih sebagai wakil calon," kata Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno Bahagian Kota Bharu, semalam mengadakan satu perhimpunan menuntut bekas Ketua Bahagian itu, Datuk Zaid Ibrahim menyerahkan semula bangunan Umno yang didakwa miliknya kepada Umno bahagian itu.

Perhimpunan tersebut diadakan di pekarangan bangunan terbabit petang semalam dan diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah.

Takiyuddin, dalam reaksinya dari perspektif undang-undang berkata tuntutan dilakukan itu mesti sesuai dengan status tanah termasuk bangunan.

"Apa status tanah dan bangunan itu? Apakah betul ia nama Umno atau sebaliknya,” soal Takiyuddin semasa dihubungi.

Katanya, Zaid sebagai seorang peguam sudah semestinya lebih maklum aplikasi undang-undang serta kesan disebalik tindakannya.

“Kalau betul tanah dan bangunan itu nama Umno takkan Zaid berani pegang begitu tanpa menyerahkan pada pemilik sebenar,” katanya yang juga peguam.

Sementara itu beliau yang merasa agak pelik dengan desakan tiba-tiba itu membayangkan betapa lemahnya kredibiliti Umno.

“Ya lah…sebuah bangunan tersergam indah selama ini yang lengkap bertulis dan berlambangkan Umno rupa-rupanya masih kabur, tak tahu kemana hulu atau hilir.

“Seolah-olah pernah berlaku gadaian ke atasnya sebelum ini sampai terpaksa berdemonstrasi bagi menuntut semula haknya,” katanya.

Zaid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipilih sebagai calon untuk mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil kerusi parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Pilihan raya menyaksikan pertarungan satu lawan satu itu Zaid akan bertemu dengan calon Barisan Nasional yang mempertaruhkan P. Kamalanathan dari MIC.

SPR terus dipertikai kerana pindah pengundi

Dzulfikar Mashoor

HULU SELANGOR, 21 April: Gara-gara lebih 50 pengundi dari Kampung Tanjong mengadu bahawa nama mereka tidak terdapat dalam Buku Daftar Pemilih mengakibatkan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah nama pengundi Hulu Selangor ke Parlimen Selayang terus dibongkar.

Calon Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) berkata, SPR seharusnya bersikap lebih adil dalam menguruskan pilihan raya kecil kali ini.

“Sebagai calon, saya harap SPR boleh bersikap lebih adil, sebab itu (Pakatan Rakyat) menyertai pilihan raya (kecil ini),” ujar Zaid di Pusat Informasi Media, Kuala Kubu Baru petang tadi.

Beliau yang juga Koordinator Pakatan Rakyat berkata, SPR sewajarnya bertindak pantas memindahkan semula para pengundi terbabit ke senarai asal dalam Buku Daftar Pemilih sebelum Hari Mengundi, Ahad ini.

Gesaan Zaid itu, termasuk membuka banyak kaunter SPR di sekitar Parlimen Hulu Selangor supaya para pengundi boleh membetulkan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh SPR sendiri.

“Saya harap SPR bertindak, bukalah kaunter agar para pengundi dipindahkan semula ke tempat asal. Saya berharap suatu tindakan yang luar biasa,” ujarnya.

Sekiranya SPR gagal berbuat demikian sekali pun, bagi beliau, para penyokong Pakatan Rakyat dan pengundi sendiri tidak seharusnya berputus asa.

Sebaliknya, mereka diminta terus bekerja kuat agar amalan tidak demokratik sepanjang pilihan raya kali ini boleh diminimumkan.

“Saya harap, kita tidak berputus asa pada jalan yang salah,” ujar beliau.

Selain memberi isyarat yang jelas kepada SPR, beliau turut merayu kepada para pengundi terbabit supaya membantu SPR.

Bercakap pada sidang media yang sama, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh (gambar) tidak menolak kemungkinan bahawa motif di sebalik pemindahan para pengundi terbabit adalah inisiatif strategik sempena pilihan raya kali ini.

Katanya, ini kerana berdasarkan pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, undi dari kampung tersebut majoritinya menyebelahi calon Pakatan Rakyat.

Selain menyalahkan SPR, beliau turut mempertikai Dewan Rakyat kerana menolak dua kali berturut-turut usulnya berhubung isu kelemahan SPR.

“Dua kali Parlimen menolak usul saya, SPR pula terus dalam penafian selepas saya mengeluarkan bukti,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Walaupun SPR dianggap cuba bersikap tidak demokratik dalam menguruskan pilihan raya kali ini, beliau berkata, jentera PKR akan membuka kaunter-kaunter untuk mengenal pasti para pengundi berbaki yang dipindahkan ke Kampung Tanjong.

Demi memudahkan mereka yang terbabit membuat sebarang aduan berkaitan SPR dan pilihan raya kecil P.094 Hulu Selangor, jentera PKR turut membuka talian perkhidmatan bebas, 019-3260874.

Pun begitu, dalam nada menyindir, beliau berkata inisiatif Pakatan Rakyat bukanlah disebabkan bersetuju dengan sikap tidak progresif SPR sendiri.

“Kita (seolah-olah) melakukan kerja-kerja SPR,” ujarnya.

Tuntas dari kes pemindahan pengundi tersebut, beliau mewakili Pakatan Rakyat mendesak para pemimpin tertinggi SPR supaya meletak jawatan sesegera mungkin, sekiranya masing-masing masih mempunyai maruah diri.