Khamis, 5 April 2012

Simbah CAT : Lagi Provokasi Berkaitan Dengan Kedatangan MAT SABU



JOHOR BAHRU – Insiden simbahan cat ke arah rumah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Johor Bahru, Mohd Ariff Mt Hassan selasa lalu disifatkan satu tindakan tidak bertamadun pihak tertentu yang  dipercayai terasa tergugat dengan kehadiran Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS, demikian kata Syed Othman Syed Abdullah, Ahli Jawatankuasa, Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.
”Saya minta tindakan provokasi seperti ini dihentikan. Bagaimanapun kami tidak akan sesekali membatalkan ceramah yang turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian 1.15 pagi itu, kira-kira 20 motosikal ditunggang secara perlahan telah menyusuri Jalan Padi 2, Bandar Baru Uda, dekat sini, menghampiri rumah Mohd Ariff sebelum mencampakkan cat yang berwarna hitam.
Difahamkan, usaha menggagalkan ceramah yang dihadiri Mat Sabu turut menerima gangguan lain seperti satu kejadian bagaimana lapan kain rentang dipasang di sekitar Johor Bahru ini telahpun dicantas.
Sementara itu, Cikgu Normala Sudirman, Exco Dewan Muslimah PAS Pusat dalam respon awalnya meminta pihak berkuasa segera bertindak dengan menyiasat kes ini secara telus.
Malah, beliau menganggap provokasi yang dilakukan pihak tidak bertanggung jawab tersebut perlu dihadapi dengan tabah.
”Rumah Ketua Pemuda Johor Bahru diserang pemuda bermotor dan kereta beliau disimbah cat. Dikhabarkan malam ini ceramah Tn Hj Mohamd Sabu di rumah beliau.
”Inilah provokasi pihak musuh yang perlu dihadapi dengan penuh kesabaran. Diharap pihak polis menyiasat insiden ini dengan telus dan berintegriti,” ujarnya lagi yang juga bekas calon PAS Pilihan raya Kecil (PRK) Dun Tenang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan