Sabtu, 30 Januari 2010

Gagal selami mahasiswa, Menteri dianggap tak matang

Jan 30, 10 2:49pm (malaysiakini)

Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.

Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.

“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.

Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.

Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.

Menurut Shafie lagi pro-M berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.

Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.”

Pro-M tidak matang

Semalam, Bernama melaporkan Khaled sebagai berkata tindakan sekumpulan mahasiswa UM yang berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor selepas kalah pada PRK Khamis lalu sebagai tidak matang.

Katanya, kumpulan Pro-M perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.

"Kalau tak berani terima kekalahan, buat apa nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan penyokong kumpulan Pro-M yang berhimpun dan membantah keputusan PRK yang memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.

Bagaimanapun, katanya, naib canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya.

Keputusan PRK digantung

Kekecohan memuncak selepas pengumuman PRK malam Khamis yang lalu dengan beberapa kumpulan pelajar mendakwa berlakunya penyelewengan.

Kekecohan berlarutan sehingga pagi semalam yang menyaksikan rundingan lebih empat jam terpaksa diadakan oleh pentadbiran UM yang diketuai oleh naib canselornya Gauth Jasmon dengan kumpulan pelajar.

Turut hadir bersama rundingan semalam ialah bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad.

Menurut beliau, bagi mengendurkan ketegangan naib canselor bersetuju menggantung buat sementara semua keputusan pilihan raya kampus UM sementara meninggu siasatan lanjut dijalankan.

Gauth juga dikatakan bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Keadaan di Universiti Malaya tegang

Sekiranya semua tuduhan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus harus diadakan semula.

Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.

Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.

Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.

Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.

Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas khamis lalu juga mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Pada PRK itu, kumpulan pro-A berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

Masa depan politik Liow dalam MCA berkubur?

Jan 30, 10 2:15pm ( malaysiakini )

Harapan mengadakan pemilihan baru dalam MCA kini musnah setelah jawatankuasa pusat (CC) yang cukup berpengaruh memutuskan untuk tidak mengadakannya.

Kini berakhirlah teka-teki bagi mereka yang menaruh harapan tinggi untuk melalui jalan ini bagi menyelesaikan krisis kepimpinan dalam MCA.

Walaupun dari segi teknikal pemilihan baru masih boleh diadakan jika dua pertiga daripada CC meletak jawatan, sentimen untuk cara begini juga lenyap.

Alasannya mudah bila rancangan ini terbantut: tidak ramai anggota CC berminat untuk melepaskan jawatan masing-masing yang begitu penting.

Orang-orang dalaman parti percaya selama ini puak yang diketuai Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai tahu ia tidak akan mendapat banyak sokongan untuk memaksakan pemilihan baru, namun tetap meneruskan usaha untuk memberi gambaran seolah-olah ia mendapat sokongan luas akar umbi.

Petanda Liow tiada sokongan majoriti

Orang dalaman itu mengesani bahawa tanda pertama Liow dan 12 anggota lain CC tidak mendapat sokongan yang diperlukan ialah apabila mereka memutuskan mengubah Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA yang dipanggil oleh mereka pada 28 November tahun lalu kepada sesi taklimat.

Puak Liow mengisytiharkan mereka mempunyai lebih 1,300 perwakilan, tetapi siasatan oleh ibu pejabat parti mendapati hanya kira-kira 600 perwakilan pusat hadir, amat kurang dari satu-pertiga perwakilan yang diperlukan untuk meluluskan sebarang usul di EGM parti, kata orang dalaman itu.

MCA mempunyai kira-kira 2,400 perwakilan pusat dan satu pertiga bererti kira-kira 800 perwakilan.

Tanda kedua ialah bila puak itu bersetuju dengan pembentukan jawatankuasa pemilihan semula parti diketuai timbalan presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi mengkaji kemungkinan mengadakan pemilihan baru.

"Dengan menyetujuinya, ini bererti anda sebenarnya tidak mempunyai bilangan yang cukup. Jika anda punya bilangan cukup, anda tidak akan bersetuju dengannya (jawatankuasa) dan tetap meneruskan EGM bagi membuka jalan mengadakan pemilihan baru dengan menerima beberapa usul tertentu," kata seorang daripada mereka.

Seorang daripada anggota CC yang enggan dinyatakan identitinya berkata semasa mesyuarat CC semalam, Liow terus berhujah bahawa parti itu perlu menetapkan tarikh bagi pemilihan baru.

Tetapi anggota-anggota lain CC menentang dengan mengatakan bahawa parti tidak dapat berbuat demikian kerana pencadang langkah itu tidak mendapat bilangan anggota yang cukup menyokongnya untuk berbuat begitu, dedah beliau.

"Hakikatnya ialah jawatankuasa pemilihan semula parti menyatakan tidak terdapat bilangan anggota CC yang cukup untuk meletak jawatan bagi membolehkan pemilihin baru," kata seorang lagi anggota CC.

Permainan angka MCA

Anggota CC ketiga, Eng Hiap Hon, berkata desakan untuk pemilihan baru telah berkurangan dengan puak Liow sewajarnya menerima keputusan jawatankuasa pemilihan semula yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini bahawa korum tidak mencukupi untuk mengadakan pemilihan baru.

"Ini merupakan permainan angka. Jika anda tidak mempunyai angka, anda tidak boleh mendapatnya, itu sahaja."

Pandangannya dikongsi oleh seorang lagi anggota CC, Datuk Ti Lian Ker, yang berkata bahawa pemilihan baru bukan lagi satu isu kerana para penyokong tidak berupaya untuk mendapatkan sokongan.

"Isu itu sekarang telah ditutup. Kita tidak boleh membenarkan parti untuk berdiam diri sepanjang masa sebagai pra syarat bagi pemilihan baru dipenuhi. Parti perlu terus bergerak," katanya.

Seorang lagi anggota CC, Datuk Chong Itt Chew, mendakwa bahawa beliau mendapati terdapat "perpecahan" di kalangan kumpulan 13 anggota CC itu yang pada asalnya mahukan pemilihan baru memandangkan sebahagian daripada mereka membayangkan bahawa mereka mahu menarik balik surat perletakan jawatan tanpa tarikh yang dialamatkan sebelum itu kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Wong Foon Meng.

Beliau berkata perpecahan itu timbul apabila seorang anggota CC, yang sebelum itu membuat kenyataan mendesak pemilihan baru diadakan, untuk keluar dari mesyuarat CC hari ini tidak menerima sokongan padu kerana hanya tiga daripada 13 puak itu meninggalkan mesyuarat.

Anggota veteran parti Datuk Yap Pian Hon berkata beliau percaya ada kemungkinan bahawa Liow akhirnya akan kembali dan menyokong kepimpinan parti selepas usahanya gagal untuk mendesak bagi pemilihan baru.

"Saya lihat bagaimana beliau telah bergabung dengan Presiden (Datuk Seri Ong Tee Keat) apabila parti mengadakan dialog dengan Huazong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia) hari ini. Kedua-dua mereka berjabat tangan," katanya.

Yap berkata Ong selama ini berkata "pintunya sentiasa terbuka buat Liow".

Bagi kebanyakan pemimpin parti dan penganalisis politik, hasil yang paling signifikan daripada mesyuarat CC bukanlah semata-mata keputusan parti untuk tidak mengadakan pemilihan baru tetapi mengenai pelantikan setiausaha penganjur kebangsaan yang baru Simon Lim, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan Ong dan Tee Siew Keong, bekas setiausaha politik Dr Chua sebagai timbalan setiausaha penganjur.

"Mesejnya amat jelas bahawa Ong mahu pemilihan presiden diadakan secara terus dan membuat perubahan yang perlu kepada perlembagaan parti.

Beliau meletakkan orang yang boleh dipercayainya memegang jawatan-jawatan utama bagi membolehkan cadangannya dilaksanakan. Kita boleh menjangkakan bahawa pemilihan parti tahun depan akan diadakan berdasarkan sistem baru ini," katanya.

Khalid digantung jawatan, Hassan Ali diberi amaran

14 Safar 1431H (harakahdaily)


KUALA LUMPUR, 29 Jan: Jawatankuasa disiplin PAS memutuskan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad digantung enam bulan dari jawatan dalam Parti manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali diberi amaran bertulis berkuat kuasa hari ini.

Kedua dua mereka didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.
Khalid digantung daripada menjadi Yang Dipertua Shah Alam dan Ahli Lajnah Politik PAS Pusat.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas mesyuarat petang ini.
Menurut Tuan Ibrahim, Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.
Manakala Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

"Jawatankuasa disiplin telah membuat keputusan penghakiman pada petang ini setelah mengikuti prosedur siasatan.

"Kedua-duanya didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS Pusat," katanya.

Ekoran hukuman itu, kedua-duanya dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun kedua-duanya boleh membuat rayuan kepada ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam masa 30 hari bermula hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu dua lagi ahli jawatankuasa Datuk Abdul Muttalib Embong dan Mohd Baqi Osman.
Muttalib pula berkata, hukuman bagi kesalahan di bawah fasal 75 perlembagaan terbahagi kepada empat iaitu memberi amaran, melucutkan mana-mana hak dalam parti, menggantung keahlian dan dipecat daripada menjadi ahli parti.

"Kedua-duanya didapti bersalah jadi kalau lepas ini mereka buat juga,jawatankuasa disiplin boleh panggil balik dan kita boleh hukum mereka di bawah mana-mana hukuman yang ada pada kita,"katanya.

Khalid bagaimanapun hanya menghantar wakilnya pada pertemuan petang tadi kerana beliau berada di luar negara.
Tuan Ibrahim dalam pada itu berharap agar keputusan yang dibuat itu menjadi satu panduan dan iktibar kepada pimpinan parti yang lain.

"Kita harap keputusan hari ini dapat menjadi panduan dan iktibar kepada pendokong parti bukan sahaja dalam konteks PAS tapi juag dalam konteks Pakatan Rakyat,"katanya.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media yang berlainan, Hasan berkata beliau menerima keptusan itu dengan hati yang terbuka dan menganggap ianya sebagai satu proses pendidikan kepada dirinya.

"Dalam pertemuan selama setengah jam tadi, saya sudah menerima hukuman daripada lembaga disiplin parti dan saya diberi amaran.
"Saya terima dengan hati yang terbuka dan anggap apa yang berlaku ini sebagai proses pendidikan bagi diri saya,"katanya.

Jumaat, 22 Januari 2010

Sultan Johor mangkat



( malaysiakini )
Jan 22, 10 11:30pm
kemaskini 11.35pm

Sultan Johor, Sultan Iskandar, mangkat pada jam 7.08 malam ini di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Baginda berusia 77 tahun.

Pengumuman kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.

Sultan Iskandar meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.

Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.

Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Ahad, 17 Januari 2010

Nik Sapeia bersumpah nama Allah, dakwa dianiaya

Mohd Nor Yahya ( harakahdaily )

KOTA BHARU, 17 Jan: Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyembur bahan berbahaya terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad hari ini tampil mempertahan dirinya dengan membuat akuan sumpah menggunakan nama Allah.

Beliau berbuat demikian di kediamannya di Pasir Tumboh pagi ini.

Menurutnya, tindakan bersumpah dengan nama Allah itu dibuat berikutan perbicaraannya telah selesai dan hukuman telah dijatuhkan namun merasakan dirinya dianiaya.

"Hari ini saya bersumpah dengan Nama Allah,Wallahi,Wabillahi,Wattallahi,demi Allah sesungguhnya saya dengan ini bersumpah tidak menyerang atau menyembur Tun Dr.Mahathir Mohamed sebagaimana yang dituduh kepada saya” ujar beliau yang juga Naib Presiden Parti Progresif Penduduk(PPP).

"Saya sedar akan sumpahan saya ini dan saya sudah mendapat pandangan daripada orang alim dan pimpinan parti demi menjaga maruah diri dan parti saya," katanya lagi.

Nik Sapeia juga berkata beliau akur dengan keputusan yang dijatuhkan oleh mahkamah dan kini sedang membuat proses rayuan ke mahkamah tinggi.

Mahkamah Majistret Kota Bharu baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas beliau didapati bersalah menyebabkan kecederaan dengan menyembur bahan berbahaya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamed dan tiga yang lain dalam satu insiden di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini.

Majistret Azman Mustapha bagaimanapun membenarkan perlaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai di putuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan nanti.

Sabtu, 16 Januari 2010

Program Berjaya..Syabas!!

Alhamdulillah,
program Ceramah Perdana Pentas Pemuda Pakatan Rakyat sempena kempen 'JusticeFor Anwar' berjaya.Respon dari semua pihak amat baik sekali.Bukan sahaja ahli Pakatan Rakyat yang hadir tempohari.Penghulu,ketua kampung dan pemimpin Pemuda Umno juga hadir.Sehingga ada suara-suara kagum dari pihak BN mereka mengatakan ceramah pada malam itu memang hebat dan sehingga kan ada pemimpin UMNO bahagian mengatakan bagaimana ceramah ini boleh diadakan dan mendapat sambutan hebat dari rakyat setempat.

Boleh dikatakan ceramah pada malam itu di Pekan Parit betak adalah paling ramai di hadiri.Tahun lepas 2009 antara tokoh yang hadir di Pekan Parit Betak ini ialah Yb.Dato Mahfuz Omar,Dr.Badrul Amin,Yb Saari Sungib dan terakhir Yb.Khalid Samad pada bulan 12/2009 lepas.4 program telah di buat.Dan terbaru ialah pentas pemuda yang di baris penceramah hebat seperti Hassan Karim,Khairul Faizi,Shamsul Iskandar.Yb.Amir dan Fariz Musa untuk 2010.

Kegelisahan Pemimpin UMNO terserlah dengan mengatakan perlu juga Ceramah BN di adakan dalam tempoh terdekat ini.Mereka telah memanggil Ezam berceramah diatas pentas BN tahun lepas 2009.Selain Ezam telah hadir pihak UMNO bahagian Pontian juga telah menjemput Yb.Datuk Seri Shafie Afdal,Dato.Ghani Othman dan Yb.Datuk Ahmad Maslan sendiri selaku anak tempatan Pekan Parit Betak ini.Pelbagai perasmian di lancarkan bagi mengukuhkan UMNO di sini kononya.Untuk pengetahuan mereka kubu mereka sudah di tembusi..ramai anak-anak muda di Pekan ini sudah berubah dan mahu merubah kepada Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti.

Semoga usaha-usaha yang di lakukan oleh PAS Kawasan Pontian Serta kerja Keras dari Dewan Pemuda PAS pontian akan meruntuhkan tembok UMNO Pontian ini..Amin.

Laporan Disediakan oleh : Saiful Amri

Pentas Pemuda PR di Benut,Johor Berjaya.....!!!

(sumber : suara anak jati johor)



Salam..malam tadi SJ bersama rakan-rakan AMK yang lain berada di satu Program yang telah dianjurkan oleh Pakatan Rakyat Johor dengan kerjasama AIC Johor.Alhamdulillah SJ lihat semalam di benut bagaimana rakyat Johor kini bukan rakyat Johor yang duku-dulu..sampai ada cerita dari orang tempatan..pada malam tersebut ada majlis makan bersama MB Johor Gani Seman..habis program tu ramai gak budak-budak UMNO yang datang ke Program kami...mana lah tau minggu depan tengok-tengok diorang keluar UMNO sertai PR..impak seperti itu yang kita mahukan.

Program bermula dengan ucapan daripada YDP Pas Kawasan..ketika itu konvoi Exco AMK Pusat masih dalam perjalanan ke tempat ceramah.Majlis kemudian diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Sdr Hassan Karim.Hassan Karim yang SJ kenali dulu tidak seperti semalam.Hasan karim yang SJ kenali dulu seorang yang cool dan ceramahnya agak tidak 'ganaz' seperti semalam.Selepas bersama dengan PR Hasan Karim menjadi seperti harimau yang mengaum tanpa henti.Ceramah yang disampaikan olehnya semua fakta yang benar.



Lebih kurang jam 10 malam semua rombongan AMK Pusat tiba ditempat ceramah terdiri dari Bro Sam,Hasmuzair,Zali,Fariz Musa dan Ketua AMK Terengganu tidak lupa juga YB Amiruddin Shaari yang turut bersama.Program terus berjalan dengan penceramah seterusnya Ketua Pemuda PAS Johor Sdr Khairul Faizi.Cermahnya juga membakar semangat rakyat supaya menolak UMNOBN dalam PRU yang akan datang.Betol2 nampak pemuda yang berada di pentas ceramah semalam memang hebat-hebat kalu nak dibandingkan dengan Hishamuddin Bapok ataupun KJ Jahanam..




Malam semakin panas bilamana pentas Ceramah disambung oleh YB Amiruddin Shaari..hadirin yang semakin panas dari tadi bertambah panas bilamana YB Amir memulakan ceramahnya.YB Amir juga seorang penceramah yang cukup hebat berhujjah berdasarkan fakta semata-mata.Panahan fakta nya menuju terus kepada apa yang berlaku pada masa ini.Isu seperti kalimah ALLAH,isu enjin kapal terbang hilang dan banyak isu-isu yang dikupas berkitaran pada isu semasa yang berlaku.




Selesai sahaja YB Amir memberikan ceramahnya tiba giliran Timbalan Ketua AMK Malaysia iaitu Che'guFariz mengambil alih pentas ceramah.Che'guFariz memang sudah terkenal dengan kelantangan suaranya dalam menyampaikan sesuatu isu yang berkaitan dengan menteri-menteri jahanam ni.Malam yang panas menjadi semakin hebat..audien yang hadir tampak lebih bersemangat bilamana Che'guFariz berada di atas pentas.Che'guFariz pula mengulas tentang perbicaraan DSAI yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.Bukti ke arah pendakwaan tidak telus malah prosiding perbicaraan juga banyak yang tidak betul.Mahkamah dah hilang kegagahan akibat diperkosa oleh beberapa setan-setan yang menghancurkan demokrasi!!!




Program diteruskan dengan kemuncak program hari ini oleh Ketua AMK Malaysia Brother Shamsul.Brother Sam berceramah dengan nada seorang professional yang mana menunjukkan watak seorang peguam yang tegas yang berpaksikan pada perlembagaan undang-undang sepertimana yang terdapat pada rukun negara.Isu panas juga disentuh tetapi lebih banyak ke arah Proses perbicaraan DSAI yang bakal berlaku.Bro Sam meminta supaya rakyat tidak tertipu dan termakan dengan penipuan media Durjana seperti TV3 Suku dan Utusan Meloya serta Berita Hairan.Media ini akan dipergunakan sepenuhnya oleh kerajaan untuk memusnahkan maruah DSAI.Rakat juga diberitahu sepatutnya kes DSAI dibicarakan di mahkamah syariah dibawah undang-undang Qazaf bukannya di mahkamah sivil sepertimana yang dilakukan sekarang.ini adalah pencabulan hak asasi undang-undang islam!!!inilah Undang-undang bangsat 1Malaysia!!






SJ harap rakyat tidak akan menjadi pekak dan buta,buta mata,hati dan fikiran oleh momokan celaka daripada media durjana.nama pun media durjana jadi tidak hairanlah kalau-kalau berita yang disiarkan agak celaka dan bangsat!!

Program di Johor akan berterusan jumpa pula pada malam ini di Taman Universiti Ceramah Tuan Ibrahim Tuan Man...datang jangan xdatang!!!

Ahad, 10 Januari 2010

Paderi puji ketegasan PAS - Harakahdaily

Dzulfikar Mashoor KUALA LUMPUR, 9 Jan: Ketua Paderi bagi Gereja Metro Tarbenacle, Hock Teck Leong merakamkan penghargaan kepada PAS kerana mengutuk pengeboman tiga gereja tempatan, pagi semalam.

Demikian maklum balas Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, yang turut menyertai Ziarah Mesra PAS ke Gereja Metro Tarbenacle di Desa Melawati, Setapak, Kuala Lumpur petang tadi.

“Dia cukup terharu dan mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan simpati yang ditunjukkan oleh para pemimpin PAS,” jelas Nasruddin ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, pihak gereja turut memuji ketegasan PAS mengutuk pengeboman tiga gereja terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Dalam sesi dialog, Nasruddin turut menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya meruntuhkan rumah ibadat bukan Islam.

“Kita berdialog, saya sempat jelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya membunuh budak kecil, wanita dan orang tua, tumbuh-tumbuhan hatta rumah ibadat ketika berperang.

“Kalau waktu berperang, Islam mengajar sebegitu, inikan pula waktu aman, orang yang terbabit tidak belajar keadilan dalam Islam,”ujarnya.

“Kalaupun timbul isu perbezaan pendapat dengan orang bukan Islam, kita tidak sepatutnya bertindak seperti ini dan langkah yang paling bijak ialah berdialog, berbincang dan berhujjah.

“Apabila saya tengok sendiri hari ini, saya bukan sahaja tidak setuju tapi mengutuk tindakan (membakar gereja) ini” tegas beliau.

Selain itu beliau turut mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan yang cepat bagi menyelesaikan isu ini kerana ditakuti ia akan menjadi lebih parah lagi.

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama beberapa pemimpin PAS Pusat sendiri turun melawat gereja tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pengeboman tiga gereja di sekitar Lembah Klang dipercayai umum ekoran Gereja Roman Katholik memohon menggunakan nama Allah dalam akhbar mingguan mereka, The Herald.

Permohonan yang masih di mahkamah itu mengundang kritikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan pemimpin Umno sendiri sedangkan PAS berpendirian, al-Quran membenarkan penggunaan nama Allah di kalangan penganut agama-agama samawi.

Perbualan Eksklusif: Saifuddin Teruskan Pentadbiran Salehuddin

Setiausaha Agung PKR yang baru, Saifuddin Nasution Ismail

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baru, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pelantikannya menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang mengumumkan peletakkan jawatannya kelmarin sebagai penyambung tugas dalam meneruskan perjuangan parti itu.

Saifuddin yang akan memulakan tugasnya pada 1 Febuari depan memberitahu, pelantikan tersebut adalah sebagai satu tanggungjawab untuk mengekalkan sistem yang ada dan memantapkan lagi perjuangan parti itu.

"Saya bersyukur dengan pelantikan ini dan Datuk Salehuddin telah tinggalkan sistem yang baik dan saya akan meneruskan sistem yang ada," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu akan menggunakan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia politik dan berjanji akan memantapkan organisasi parti sebaik mungkin.

"Insya-Allah, pengalaman selama 20 tahun dalam dunia politik akan saya gunakan sebaiknya dan perkara yang akan menjadi fokus saya adalah memantapkan organisasi parti," katanya.

Tambahnya lagi, fokus terhadap masalah rakyat juga akan menjadi keutamaannya lebih-lebih lagi di kawasan jajahan PKR dan bersedia dalam membantu persiapan jentera parti dalam pilihanraya ke-13 akan datang.

"Masalah rakyat turut menjadi perhatian saya dan kita ada dua tahun sahaja lagi untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pilihanraya. Jadi dari sekarang kita kena bersedia," ujarnya.

Ditanya apakah beliau akan bertemu dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan nasihat, Saifuddin berkata, beliau belum lagi berpeluang untuk berjumpa dengan Anwar.

"Setakat ini saya belum lagi duduk dan berbincang dengan Datuk Seri (Anwar) mengenai tugas saya kerana Datuk Salehuddin masih lagi bertugas sehingga akhir bulan ini.

Insya-Allah selepas ini saya akan berbincang lanjut dengan beliau mengenai tugas baru saya," katanya.

Ini adalah kali kedua Saifuddin dilantik untuk menguruskan jentera sebuah organisasi politik. Pada tahun 1997, beliau pernah dilantik menjadi setiausaha agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Saifuddin memegang jawatan itu sehinggalah reformasi meletus dan Zahid melepaskan jawatan ketua pemuda Umno Malaysia. Saifuddin pula menyertai Anwar dalam gerakan reformasi sehinggalah Keadilan terbentuk beberapa tahun kemudian dan menjadi sebahagian daripada pengasas parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw ketika dihubungi mStar Online menyifatkan pelantikan sasifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR sebagai pilihan tepat dan bijak oleh PKR.

"Beliau seorang yang baik dan mesra dengan orang ramai, pemilihannya sebagai Setiausaha Agung amat sesuai," katanya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam melantik Ahli Parlimen Machang itu sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang meletakkan jawatannya baru-baru ini.

Mesyuarat biro politik PKR malam tadi turut membuat keputusan untuk menerima notis peletakan jawatan Salehuddin.

Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya.

Salehudddin yang mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008, bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.

Beliau mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.

Saifuddin Nasution Dilantik Setiuasaha Agung PKR Yang Baru

24 Muharram 1431

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam melantik Ahli Parlimen Machang sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang meletakkan jawatanya.

Dalam mesyuarat biro politik PKR malam tadi, parti itu turut membuat keputusan untuk menerima notis peletakkan no jawatan Salehuddin.

Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut mengesahkan bahawa, beliau telah menerima e-mel salinan notis peletakan jawatan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Syed Husin berkata, mengikut Salehuddin, notis itu berkuatkuasa 31 Januari ini serta tidak menyatakan alasan mengenai peletakan jawatan tersebut.

Bagaimanapun bekas Setiausaha Agung PKR itu dilaporkan meletak jawatannya untuk membolehkan beliau menumpukan perhatian dalam bidang perundingan pengurusan minyak dan gas.

Salehudddin mengambil alih jawatan tersebut daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mac 2008, bagaimanapun kekal sebagai anggota biasa parti itu.

Beliau mula menyertai PKR pada 2004 sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung.

DS Haji Nizar selamat balik ke rumahnya

DS. Nizar dan Isteri bertanyakan sesuatu kepada pelawat sebelum meninggalkan Hospital Raja Pemaisuri Bainun.

24 Muharram 1431
http://alhusseyn51.blogspot.com

Alhamdulillah, hari ini pada jam 12.30 tengahari tadi,DS Haji Nizar telah keluar dari hospital besar Ipoh dengan diiringi oleh isteri beliau.Ramai yang datang dan mengerumuni beliau untuk mengucapkan 'selamat'.



Beliau terlibat dalam satu kemalangan jalanraya pada pukul di Jalan Raja Nazrin Shah, Ipoh pada khamis, 7 Januari lalu. Beliau hanya mengalami kecederaan ringan dan luka kecil di siku kanannya dengan hanya satu jahitan

Beliau telah dimasukan ke Ward 8 hingga hari ini untuk rawatan dan pemerhatian pakar perubatan kerana dikhuari mengalami cedera dalaman.

Walau bagaimana pun, beliau sempat mengimami solat fardhu Jumaat di masjid bersebelahan pada Jumaat yang lepas setelah diminta sendiri oleh imam yang bertugas sebagai menghormatinya.

Rabu, 6 Januari 2010

CERAMAH PERDANA SEMPENA ' JUSTICE FOR ANWAR '

BERSAMA :
SHAMSUL ISKANDAR ( KETUA AMK MALAYSIA )
MAZLAN ALIMAN ( AJK PAS PUSAT )
HASSAN KARIM ( BEKAS PRESIDEN PRM )
FARIZ MUSA ( TIMBALAN KETUA AMK MALAYSIA )
KHAIRUL FAIZI ( KETUA PEMUDA PAS NEGERI JOHOR )
BERTEMPAT :
PEKAN PARIT BETAK,BENUT,PONTIAN.
TARIKH :
14/01/2010 , KHAMIS , 9.00 MALAM

Kes Beng Hock, Kenapa SPRM takut kepada ahli patologi dari Thailand ?

blog cina islam
20 Muharram 1431

SHAH ALAM: Kes Kematian secara misteri Teoh Beng Hock nempaknya semakin menarik apabila Abang kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Meng Kee hari ini memfailkan usul supaya seorang pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Notis usul itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Company di pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret di sini hari ini. Pegawai SPRM tersebut pada minggu lepas muncul dengan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Kemunculannya membuat laporan polis itu diandaikan oleh banyak pihak mempunyai agenda tersembunyi.

Antaranya banyak mengandaikaan laporan polis tersebut sengaja dibuat bagi menakutkan ahli patologi itu. Antara perkara yang menakutkan SPRM ialah laporan ahli patologi dari Thailand bahawa 80 pratus menurutnya bahawa Beng Hock adalah mati dibunuh.

Adakah Raub sanggup tanpil untuk melaporkan sesuatu yang merupakan rahsia tetapi sudah diketahui umum seperti yang disiarkan oleh media arus perdana mengenai kenyataan ahli patologi itu kalau lah tidak ada pihak kedua dan ketiga yang mengarahkan beliau?

Adakah Raub benar-benar seorang yang cukup punya didikasi yang tinggi dalam melaksanakan tugas sehingga ingin muncul sebagai jaguh dalam kes Beng Hock ?Kalaupun begitu saya harapkan dia melakukan pendedahan sebenar siapakah yang membunuh Beng Hock seperti yang dikatakan oleh ahli patologi dari Thailand itu.

Peguam Karpal Singh ketika ditemui pemberita selepas memfailkan notis usul itu berkata usul itu difailkan kerana mendakwa Raub telah menghina mahkamah melalui laporan polis yang dibuatnya terhadap ahli patologi dari Thailand ahli patologi dari Thailand yang juga salah seorang daripada saksi dalam inkues kematian Beng Hock.

"Kami memohon perintah bagi (Raub) dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana dalam laporan polis itu, beliau mengesyaki Dr Pornthip telah membongkar maklumat mengenai bedah siasat kedua (ke atas Beng Hock). Pada pendapat kami, itu merupakan perbuatan cuba menakut-nakutkan saksi kami.

"Kami meminta Mahkamah Koroner menggunakan bidang kuasanya untuk menghukum Raub Ghani bagi menghina mahkamah atau alternatifnya memberikan surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," katanya.

Beliau berkata permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948.

Karpal berkata Dr Pornthip perlu dibenarkan memberikan keterangan tanpa sebarang ancaman daripada manamana pihak.

"Kami panggil beliau (Dr Pornthip) datang ke sini dan tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman, kami akan berikan perlindungan sepenuhnya kepadanya bagi memastikan beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah dan biar mahkamah buat keputusan," katanya.

Dalam afidavit yang disertakan dalam notis usul itu, Meng Kee, 34 berkata pada 1 Jan lepas, Raub dari Jabatan Penyiasatan SPRM Putrajaya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam terhadap Dr Pornthip.

Katanya, Raub di dalam laporannya berkata beliau mengesyaki Dr Pornthip telah membongkar maklumat mengenai bedah siasat kedua Beng Hock yang dijalankan pada 22 November tahun lepas kepada pihakpihak yang tidak sah.

Meng Kee turut memohon supaya mahkamah mengarahkan Peguam Negara untuk membuat laporan polis terhadap Raub untuk didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947, di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di bangunan sama.

Inkues kematian Beng Hock dijadual bersambung Khamis ini.

PAS sokong himpunan aman bantah Mesir Jumaat ini

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Jan: PAS menyeru semua ahli, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan yang simpati kepada nasib rakyat Palestin untuk menyertai perhimpunan aman pada 8 Januari ini sebagai membantah tindakan Kerajaan Mesir yang berkerjasama dengan Zionis Israel untuk menindas umat Islam di Gaza.

“PAS menyokong tindakan sayap Pemuda PAS yang akan mengadakan himpunan aman dan menyerahkan memorandum bantahan pada 8 Januari ini,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepada rakyat Malaysia yang prihatin untuk berkumpul di Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke Kedutaan Mesir selepas solat Jumaat bagi menyatakan bantahan tersebut.

Ini, katanya berikutan Kerajaan Mesir dilaporkan enggan membenarkan sebuah kapal yang membawa konvoi antarabangsa melibatkan 17 buah negara dengan 150 kenderaan membawa beratus-ratus tan bekalan kemanusiaan masuk ke Gaza melalui pelabuhan Nuweiba di Laut Merah.

Kerajaan Mesir telah mendesak konvoi Viva Palestina berkenaan menyerahkan bantuan melalui pelabuhan Mediterranean, iaitu jarak lebih jauh yang memerlukan konvoi berkenaan berpusing ke semenanjung Sinai dan melalui Terusan Suez sebelum sampai ke El-Arish kelmarin.

“Kezaliman Mesir ini jelas membuktikan sokong mereka kepada tindakan Israel yang menutup pintu sempadan di Nahal Ozz di timur pusat bandar Gaza dan mengepung rakyat Palestin dengan hanya membenarkan satu laluan sahaja dibuka untuk memasuki Gaza iaitu melalui Kerem Shalom di tenggara Semenanjung Gaza,” katanya.

Tambahnya, tidak cukup dengan itu, Mesir juga didapati menutup mata dengan tindakan Israel yang meluluskan pembinaan empat bangunan apartmen baru untuk peneroka haram Yahudi di timur Baitulmaqdis yang berada dalam wilayah rakyat Palestin.

PAS, katanya kesal kerana sebagai sebuah negara Islam dan anggota OIC, Mesir tergamak bersubahat dalam menindas rakyat Palestin.

Musibah akibat pemimpin tolak syariat

( harakahdaily )
KOTA BHARU, 6 Jan: Pemuda Umno Kelantan didakwa cuba mencipta isu untuk 'berkokok' apabila mendakwa beberapa isu membabitkan kepimpinan Kelantan, berlaku akibat 'pantulan' doa musibah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan pemuda Umno itu tidak lebih dari cuba mengelirukan dengan hujah yang mencabar kuasa Allah.

"Pemuda Umno Kelantan nampaknya mencipta isu untuk 'berkokok'.

"Adakah wajar pemuda Umno membuat penilaian atas fakta yang bersandarkan pengamatan semata-mata untuk mengisytiharkan ”bencana" melanda Kelantan,?" soalnya.

Ujarnya jika hujah Umno itu diterima, maka beberapa peristiwa melanda Negara juga boleh dikatakan sedang terkena 'bencana' akibat doa Tuan Guru Nik Aziz.

"Jika mengambil kira hujah pemuda Umno itu sebagai ’bencana’, maka logiknya Negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib sekarang sedang kalut dengan fakta-fakta ’bencana’ selepas Tok Guru berdoa," katanya lagi.

Antara 'bencana' yang menimpa negara disenaraikan beliau seperti berikut:

Kematian pelajar yang tidak berdosa akibat runtuhnya jambatan gantung di Perak, negeri yang Mohd Najib mengetuai ’rampasan kuasa.’

Kemalangan dahsyat di lebuh raya utara selatan berlaku di Perak, negeri yang Mohd Najib mengetuai ’rampasan kuasa.’

Kini sudah terbongkar kehilangan dua enjin jet pejuang angkatan tentera (bernilai RM100 juta) semasa Mohd Najib jadi menteri yang menjaga angkatan tentera.

Perletakan jawatan tergesa-gesa ketua pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kematian TBH (Teoh Beng Hock) ekoran penyiasatan yang dipertikaikan yang tidak selesai sampai kini dan turut menjatuhkan imej SPRM di mata dunia.

Paling mensengsarakan lagi, ekonomi negara makin teruk, upaya kebajikan sudah punah bila mana gula ditarik subsidi dan harga dinaikkan sebanyak 20 sen sekilo yang sudah pasti membawa impak kenaikan harga barangan makanan lain yang berkait. Bencana makanan sebagai hak asasi sedang ditanggung rakyat buka sahaja di Kelantan malah seluruh negara.

Paling malang dan bala besar kepada umat Islam, berlaku pula keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada agama Kristian Katolik sehingga mencabar hak eksklusif umat Islam di Malaysia. Maka dimana maruah kehebatan Malaysia yang diisytiharkan Negara Islam!

Umno tegasnya perlu sedar bahawa kesemua musibah yang melanda negara ini berkemungkinan berpunca dari sikap pemimpin negara yang mengenepikan ajaran syariat Islam sebenar.

"Apakah ’mereka’ tidak berfikir kesemua itu adalah gara-gara pemimpin yang tolak dasar syariat?

"Semoga Tuhan Yang Esa membuka pintu kesedaran dan masukkan hidayah kepada mereka yang ’kabur mata dan tersumbat jantung hati’ di dalam menilai kebenaran," katanya.

3 Januari lalu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Sapian seperti dilaporkan media mendakwa beberapa kes yang berlaku di Kelantan mungkin disebabkan pantulan doa musibah Nik Aziz kepada Najib.

Antaranya termasuklah isu tajaan Haji kepada Menteri Besar, isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan isu saman RM800 juta terhadap kerajaan negeri.

Dua tidak mengaku salah curi enjin jet TUDM

Jan 6, 10 8:58am
kemaskini 11.01pm (malaysiakini)

Seorang sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan seorang pengarah syarikat dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini berhubung kehilangan dua enjin pesawat pejuang angkatan tentera itu.N Tharmendran, 42, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan laskar udara Mohamad Shukri Yusop atas tuduhan mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 milik TUDM.Manakala pengarah syarikat K Rajandran Prasad, 38, pula tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan dengan sengaja menolong menghapuskan barang curi milik TUDM.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail malam tadi berkata siasatan menunjukkan kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur hasil persuhabatan sarjan, dan keterangan juga menunjukkan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin pesawat itu yang diketahuinya merupakan harta curi.Katanya, berdasarkan keterangan-keterangan saksi dan dokumen-dokumen yang sedia ada, beliau mengarahkan pertuduhan dibuat terhadap kedua-dua tertuduh.
Abdul Gani berkata jika sabit kesalahan, anggota tentera itu boleh dihukum bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, manakala bagi kesalahan menolong melupuskan harta curi pengarah syarikat itu boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.Kehilangan dua enjin itu dilaporkan berlaku pada 2007 ketika dibawa keluar dari Pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth, Pulau Pinang untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.
Bagaimanapun kehilangan enjin jet itu hanya disedari oleh tentera pada 22 Mei 2008, diikuti siasatan segera sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos tahun yang sama.Enjin jet pejuang itu dipercayai dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Selatan.