Khamis, 11 Ogos 2011

Kes remaja ditembak mati: Keluarga buat laporan ketiga


malaysiakini
Tidak berpuas hati dengan kegagalan polis untuk bertindak, tiga keluarga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam pada November tahun lalu, membuat satu lagi laporan polis hari ini berhubung kejadian itu. “Kami menuntut supaya satu penyiasatan dimulakan segera ke atas anggota-anggota polis yang terlibat atas kesalahan membunuh. NONE“Kami juga mahu pegawai atasan yang mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini disiasat kerana memberikan maklumat palsu, kami menuntut keadilan atas kematian anak-anak kami,” kata Norhafizah Mad Razali bagi pihak keluarga tiga mangsa itu. Norhafizah, 37, ibu kepada Mohammad Shamil Hafiz Shapiei, seorang daripada tiga remaja yang ditembak mati itu berkata sehingga hari ini tidak ada tindakan konkrit dari polis untuk menyiasat lanjut. Selain Norhafizah dua keluarga remaja lain itu diwakili oleh Hamidah Kadar, 51, iaitu ibu Mohd Khairul Nizam dan bapa Mohamad Hanafi, Omar Abu Bakar, 58. Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang mengiringi keluarga mangsa membuat laporan polis berkata, beliau terkejut pihak polis masih belum menyiasat kes itu. Katanya, dalam kes tertentu seperti perhimpunan BERSIH 2.0, polis begitu cepat bertindak tetapi dalam kes seumpama ini mereka cukup lembap. NONESerhubungan itu, Nurul Izzah, yang juga naib presiden PKR mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan penjelasan berhubung peningkatan kes tembakan mati yang membabitkan polis. “Sudah tentu kita akan bawa perkara ini Parlimen tapi terlebih dahulu kita mahu penjelasan perdana menteri, menteri dalam negeri dan ketua polis negara dalam isu ini,” kata Nurul Izzah. Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira jam 4.15 pagi selepas didakwa menyamun sebuah stesen minyak pada 13 Disember lalu.

Izzah: Kenyataan Khalid serlahkan kejahilannya

malaysiakini
Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar membidas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata perhimpunan BERSIH 2.0 mungkin menyebabkan rusuhan seperti apa yang berlaku di kota London sekarang.

NONE“Kenyataan itu hanya menunjukkan kejahilannya,” kata Nurul Izzah kepada wartawan di luar ibu pejaag polis Petaling Jaya hari ini.

Dalam posting di laman web Facebook malam semalam, Khalid berkata rusuhan berterusan di London yang kini merebak ke beberapa bandar utama di Britain adalah bukti bahawa mimpi ngeri seumpama itu boleh dielakkan dengan menghalang protes jalanan.

Menurut Nurul Izzah kenyataan seumpama itu daripada seorang pegawai kanan polis, tidak boleh diterima dan memintanya menyemak fakta-fakta terlebih dahulu sebelum membuka mulutnya.

Katanya, punca rusuhan di kota London adalah kerana rasa tidak puas hati rakyat hasil pemotongan bajet kerajaan dan kadar pengangguran yang tinggi.

NONEIni, dakwanya berlainan dengan peserta BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu yang sebahagian besar mereka terdiri daripada rakyat golongan pertengahan.

Namun, satu persamaan antara situasi di UK dan Malaysia, menurut naib presiden PKR itu adalah kegagalan melakukan pembaharuan kepada sistem ekonomi yang menggalakan jurang perbezaan golongan kaya dan miskin semakin melebar.

Negara Berkebajikan: Jahil feqah politik jadi punca

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Orang yang jahil terhadap feqah politik Islam terus menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang ingin dibawa oleh PAS adalah sama dengan pentadbiran kerajaan Malaysia yang ada pada waktu ini.

Malah, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ada yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan adalah sama dengan istilah welfare state yang diamalkan di negara Britain dan Sweden atau liberal welfare state yang diamalkan di Amerika Syarikat.

Justeru, katanya buku kecil Konsep Asas Negara Berkebajikan perlu lahir untuk memberikan penjelasan bahawa Negara Berkebajikan yang ingin dibangunkan oleh PAS adalah tidak sama dengan negara kebajikan (welfare state) yang difahami oleh kalangan pengamal sains sosial dan sains politik pada waktu ini.

“Apa yang ingin ditekankan dalam buku ini ialah bahawa pemahaman terhadap konsep Negara Berkebajikan perlu bermula dengan memahami makna, dasar, konsep dan cara pelaksanaannya melalui sumber asasi ajaran Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan kepada seluruh agenda PAS mengikut perlembagaannya [Fasal 5(1) dan Fasal 7(1)] dan bukan hanya slogan politik pilihan raya semata-mata,” jelasnya dalam buku tersebut.

Hakikatnya, kata beliau bahawa Negara Berkebajikan adalah berbeza dengan Negara Kebajikan (welfare state) kerana banyak perbezaan dari segi dasar, objektif dan wawasannya walaupun terdapat sedikit persamaan tertentu dari aspek fizikal yang ingin dibangunkannya tetapi berbeza dari segi semangat rohnya.

Jelasnya, aspek fizikal mungkin ada kesamaan atau selari tetapi tamadun Barat meninggalkan aspek rohani atau pembangunan jiwa.

“Inilah yang difahami oleh umat Islam bahawa tugas manusia adalah untuk melaksanakan ibadah, amanah dan menegakkan agama dan seterusnya mentadbir urusan dunia menggunakan panduan agama dalam erti katanya yang sebenar dan universal,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, Islam mengajar orang yang beriman bukan sahaja menerima yang terbaik daripada al-Quran dan as-Sunnah tetapi juga menerima pandangan manusia terbaik dan kebijaksanaannya walau dari mana sekalipun.

Ini, ujarnya dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Kebijaksanaan itu laksana barang berharga yang jatuh tercicir kepunyaan seseorang yang beriman di mana sahaja sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak memungutnya.

Beliau menambah, penjelasan yang ringkas melalui buku Konsep Asas Negara Berkebajikan tentunya tidak mencukupi, maka berkewajipanlah kalangan ilmuan Islam memanjangkannya dengan kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.

Justeru, tambahnya perbincangan dan seminar sama ada secara kecilan atau lebih besar wajar dijadikan suatu medium untuk mencambahkan lagi penbendaharaan ilmu dan maklumat mengenai Negara Berkebajikan yang menjadi kepunyaan kita semua.

Usrah Ustaz Atan Gombang di Mtd Benut

"SEKIRANYA tidak adil pemerintah (kerajaan), maka (akan) berlaku kezaliman sepertilah makannya serigala akan kambing. Adilkah Barisan Nasional (BN)? Mereka ini zalim sekarang dan akan datang."

- Petikan kenyataan Ustaz Atan Gombang, Yang Dipetua PAS Kawasan Simpang Renggam merangkap Tuan Naqib MTD BENUT pada kuliahnya di Markas MTD lama Kg. Asam Kumbang Benut, baru-baru ini.

Isu PR: KDN diberi masa 7 hari

Hazayani Zakaria

PUTRAJAYA, 11 Ogos: Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi masa tujuh hari kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat penjelasan berhubung isu penduduk tetap (PR) menjadi warganegara dan didaftarkan sebagai pemilih.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya DPPM, Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya KDN gagal berbuat demikian, pihaknya akan membawa perkara tersebut terus kepada Perdana Menteri.

Jabatan Pilihan Raya DPPM hari ini menyerahkan memorandum kepada KDN menggesa siasatan dilakukan ke atas pendedahan dan laporan media berhubung isu ini.

Memorandum tersebut menuntut KDN menjalankan penyiasatan ke atas isu ini secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pengkhianatan terhadap negara.

Selain itu, KDN digesa memerangi tindakan ini semaksima mungkin dan tidak membiarkan tindakan in berlaku pada masa akan datang.

Turut dituntut agar pihak yang terlibat dalam konspirasi ini didedahkan kepda umum sebagai pengajaran kepada orang ramai dan memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

"Pemuda PAS merasakan tindakan menukar status taraf pemastautin tetap kepada warga negara adalah kerja politik untuk meneruskan kesinambungan tampuk kekuasaan parti yang memerintah.

"Ia bukan semata-mata kerana kesilapan teknikal yang menyebabkan status mereka dalam pangkalan data jabatan Pendaftaran Negara tidak dikemas kini sperti mana jawapan klise JPN sebelum ini," katanya selepas penyerahan memorandum di bangunan KDN, dekat sini.

Sany turut menegaskan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga gagal memberikan penjelasan, DPPM akan mengadakan perhimpunan aman ke Istana Negara meminta Yang di-Pertuan Agong campur tangan.

"Jika Perdana Menteri pun tidak mempedulikan tuntutan kita, pemuda akan mengadakan perhimpuann aman ke istana negara untuk menyerahkan memorandum ini kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Kesal isu dipandang remeh

Sementara itu, Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil kesal dengan sikap Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak serius untuk menyelesaikan isu ini mahupun sekurang-kurangnya menerima sendiri memorandum tersebut.

"Menteri hanya hantar pegawai yang masih muda dan ternyata tidak boleh membuat apa-apa kenyataan.

"Padahal kami sudah hantar surat awal-awal lagi, maklumkan untuk serah memorandum ini," katanya.

Memorandum mengandungi segala bukti mengenai PR mendapat kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pemilih itu hanya diserahkan kepada pegawai KDN, Mohd Faliq Mustafa Kamal.

Mengulas lanjut mengenai cadangan memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Ketua Penerangan DMPP, Suhaizan Kaiyat berkata, dalam lapan tuntutan Bersih 2.0, ada disebut mengenai pembersihan daftar pemilih namun tidak disebut mengenai 'pengkhianatan kepada negara' dengan memberi keraytan kepada warga asing.

Justeru katanya, DPPM sendiri harus membawa isu tersebut ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agung.

"Pemuda kena mendahului Bersih dalam perkara ini kerana tuntutan Bersih ada mengenai pembersihan daftar pemilih tapi tidak menyebut mengenai pemberian kad pengenalan kepada pemastautin tetap sekaligus boleh mengundi.

"Sejarah datuk kepada Hishammuddin, Datuk Onn Jaafar, beliau mencadangkan seseorang warga asing perlu mengambil masa 20 tahun untuk mendapat kerakyatan tapi masa cucunya (Hishammuddin), boleh sewenang-wenangnya beri kerakyatan untuk orang luar jadi warga negara," katanya.

Tidak mustahil 'SPR' didaftar sebagai pengundi

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Setelah 'Kg Baru' didaftarkan sebagai pengundi, suatu hari nanti tidak mustahil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dicatatkan sebagai seorang pengundi di tanah air.

Kejadian yang mengaibkan itu tidak mustahil berlaku berdasarkan perkembangan terkini yang jelas menunjukkan SPR semakin hilang kewibawaannya sehingga menjadi pertikaian pelbagai pihak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, kelucuan yang dicetuskan oleh SPR dengan mencatatkan 'Kg Baru' sebagai salah seorang pengundi di kawasan Besut berlaku awal minggu ini, susulan dari beberapa kesilapan lain yang dilakukan oleh badan itu.

Menurut beliau, sebelum ini, kewibawaan SPR sering menjadi pertikaian orang ramai apabila beberapa nama dikesan sebagai pengundian bertindih dengan jumlah yang amat besar di seluruh negara.

Katanya, namun kesilapan SPR mencatatkan 'Kg Baru' sebagai salah seorang pengundi ternyata lebih ketara sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada orang ramai sama ada kesilapan itu disengajakan atau tidak.

"Masalah pengundian bertindih sehingga kini masih belum dapat dibersihkan oleh SPR walaupun ia telah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

"Kegagalan SPR menyelesaikan masalah itu menjadikan orang ramai semakin hilang kepercayaan terhadap SPR, apatah lagi kini jumlah pengundian bertindih di negara kita semakin meningkat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

SPR sebagai badan pendendali pilihanraya di tanah air, menurut beliau, diyakini gagal menyelesaikan masalah pengundian bertindih ekoran menerima tekanan dari kerajaan BN yang ditunjangi Umno yang memerintah negara.

Katanya, kegagalan SPR menyelesaikan masalah itu samalah juga dengan kegagalannya menerima pandangan baik dari orang ramai termasuk Pakatan Rakyat, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan beberapa NGO lain agar SPR melaksanakan pilihanraya di negara kita dengan adil dengan melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Lapan tuntutan itu terdiri daripada bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Ketika tuntutan itu hangat disuarakan sehingga Bersih 2.0 turut menganjurkan himpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, SPR bukan sekadar tidak mengambil kira pandangan baik dari pelbagai pihak, tetapi memperkenalkan pula sistem biometrik untuk dilaksanakan dalam pilihanraya di negara kita.

"Ketika orang ramai sedang hangat memprotes cadangan untuk menggunakan sistem biometrik, nama 'Kg Baru' pula turut muncul sebagai pengundi. Pada hal 'Kg Baru' itu nama tempat, bukan nama orang, tetapi tiba-tiba dah bertukar menjadi orang.

"Kesilapan itu merupakan satu kesilapan amat besar dan tidak sepatutnya berlaku. Berlakunya kesilapan itu pula turut diyakini mempunyai muslihat tertentu.

"Jadi dengan itu, suatu hari nanti, tidak mustahil jika SPR yang juga bukan orang turut dicatatkan sebagai pengundi oleh SPR sendiri yang juga tentunya mempunyai muslihat tertentu untuk membantu memenangkan Umno BN dalam pilihanraya," katanya.

Semalam, pihak SPR seperti yang dilaporkan media tempatan bagaimanapun telah mengakui kesilapannya mencatatkan 'Kg Baru' sebagai pengundi dan memaklumkan nama sebenar individu yang dimaksudkan itu seperti yang terdapat dalam daftar pemilih terkini SPR yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Dalam menjawab protes rakyat termasuk PAS dan Pakatan Rakyat beberapa hari lalu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar tetap bertegas mengatakan SPR telah melaksanakan pilihanraya di negara ini dengan adil.

Alasan yang sering diulang-ulangnya itu, sekiranya SPR tidak melaksanakan pilihanraya dengan adil, tidak mungkin Pakatan Rakyat akan menang di empat buah negeri dan berjaya memerintah empat buah negeri tersebut dalam PRU Ke-12 lalu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, alasan yang diberikan oleh Datuk Wan Ahmad itu ternyata tidak berasas kerana tidak adil dalam pilihanraya dengan menang dalam pilihanraya dua perkara yang berbeza.

"Perkara ini samalah seperti pengadil yang tidak adil dalam perlawanan bola sepak. Disebabkan pengadil itu berpihak pada satu pihak, pemain pihak yang satu lagi yang tidak melakukan kesalahan pun dikatakan bersalah dan dikenakan tindakan.

"Pada hal pemain itu tak melakukan kesalahan pun dengan hanya mengambil bola di kaki, tetapi dikatakan mengasari pemain lawan, bola tak kena tangan dikatakan kena tangan hingga diberikan tendangan percuma kepada pihak lawan dan sebagainya.

"Namun kesudahannya, pasukan yang menjadi mangsa ketidakadilan dalam perlawanan itu juga yang menang. Disebabkan pasukan itu juga yang menang, bolehkah pengadil mengatakan dia sudah bertindak adil dalam mengadili perlawanan itu, sedangkan semua orang tahu dia tidak adil.

"Pada pandangan orang ramai sendiri, kemenangan itu sebenarnya bukanlah kerana pengadil yang adil, tetapi disebabkan kepandaian pemain-pemain yang menjadi mangsa ketidakadilan itu," katanya.

Keadaan itu, menurutnya, samalah juga dengan kemenangan yang diperolehi oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-12 lalu hingga berjaya memerintah Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang bukannya disebabkan sikap dan tindakan SPR yang adil kepada Pakatan Rakyat, tetapi kerana Pakatan Rakyat kuat dan disokong oleh majoriti pengundi.

"Dengan itu, kemenangan Pakatan Rakyat itu tidak boleh dijadikan bukti oleh SPR tentang keadilannya kerana dalam demokrasi, pihak yang menang adalah yang mendapat undi yang banyak dari rakyat.

"Begitulah juga di negara kita. Kemenangan Pakatan Rakyat itu adalah kerana Pakatan Rakyat disokong oleh rakyat yang tertindas akibat kezaliman Umno BN terhadap rakyat sejak sekian lama," jelasnya.

Beliau menasihatkan SPR agar tidak terus terpedaya dan membiarkan dirinya terus menjadi alat Umno BN bagi membolehkan SPR muncul sebagai pengadil yang adil, baik dan dihormati oleh seluruh rakyat negara ini.

"Kini kewibawaan SPR sudah semakin tercalar teruk. Jadi, SPR perlu memperbaiki dirinya agar tidak terus menjadi alat Umno BN yang ternyata sudah semakin ditolak oleh rakyat," ujar beliau.