Ahad, 23 Oktober 2011

Beri kebebasan ahli akademik berakademik - Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat

Nazri Abdullah (harakahdaily)

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober d untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

7 Keluarga Nelayan yang ditahan Berjaya disantuni oleh Yb Ir Khalid Samad dan Pimpinan PAS Pontian


PONTIAN – Kebuntuan yang dihadapi oleh 7 keluarga nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini telah memberi sedikit kelegaan apabila Yb Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam menyatakan kesediaan untuk membantu dengan kadar yang termampu.

Khalid ketika ditemui berkata, pihaknya telahpun menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara ini dengan harapan Anwar boleh memanjangkannya memandangkan beliau punyai rekod hubungun dengan kerajaan Indonesia sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun kes ini katanya membabitkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara maka sewajarnya kerajaan Malaysia dapat menyelesaikannnya dengan secepat yang mungkin.

“Saya baru saja menghubungi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sebentar tadi. Beliau minta segala maklumat berkaitan diserahkannya Isnin ini. Beliau tidak berjanji (boleh selesai) kerana ia membabitkan kerajaan. Namun (bantuan ini) dibuat atas nama peribadi.”‘ ujarnya lagi.

Akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai tujuh nelayan yang ditahan sejak 9 Mac lalu dihukum penjara dua setengah tahun dan dua bot mereka dirampas oleh Mahkamah Bengkalis, Indonesia.

Kesemua nelayan itu turut diarah membayar RM350 (Rp1 juta) setiap seorang dan jika gagal akan dipenjara tiga bulan.

Khalid menambah lagi dengan katanya, pihaknya amat bersimpati dengan penderitaan yang dialami oleh keluarga terbabit yang yang rata-ratanya mata pencarian yang diperolehi banyak kepada ketua keluarga yang ditahan.

Tambahan pula menurutnya lagi, kos bagi menampung perbelanjaan harian di penjara Indonesia cukup tinggi dan dianggap terlalu membebankan dan ini tidak mampu disalurkan oleh kaum keluarga terbabit yang kebanyakannya tidak bekerja.

“Bila saya berjumpa dengan keluarga nelayan ini, saya bersimpati kepada mereka. Sudahlah mata pencarian mereka terjejas. Malah saya difahamkan, kos sara hidup di penjara RM 10.00 sehari. Secara bulanan keluarga ini terpaksa hantar duit RM 1000.OO sebulan. Ini membebankan !” ujarnya lagi.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kebajikan kepada 7 keluarga nelayan yang ditahan di Pontian Besar, Pontian, dekat sini, semalam.

Beliau dalam rangka lawatannya ke Pontian selama 2 hari sebelum ini telah menghadiri Ceramah Perdana di Dun Benut, Program Jom Ngeteh di Pekan Sanglang dan Taklimat Pilihan raya di Markas PAS Kawasan Pontian.

Seramai 20 ahli rombongan turut menemani beliau dalam pertemuannya dengan keluarga terbabit.

MTD BENUT



sumber : www.ibn75.wordpress.com

Bajet 2012 : Bajet ‘Terbaik’???? – YB Ir Khalid Samad


BENUT,PONTIAN – YB Ir. Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam secara sinis menyifatkan bahawa Bajet 2012 yang dibentangkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak adalah yang ‘terbaik’ daripada sebelumnya.

Hal ini kerana katanya hutang negara ini berlaku selama 13 tahun berturut-turut mengakibatkan perbelanjaan negara melebihi pendapatan yang diperolehi.

”Hutang 200 billion pada tahun 2007, sekarang 2011 sudah melambung kepada 430 billion dalam masa empat tahun. Jadi hutang kita dua kali ganda. Oleh kerana bajet kali ini yang terbaik yang dibentangkan YAB Perdana Menteri.” ujarnya lagi.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa defisit juga boleh berlaku setelah melihatkan keadaan ekonomi dunia yang gawat namun bajet ‘terbaik’ BN memperlihatkan defisit tetap terjadi, sama ada keadaan ekonomi gawat ataupun memberangsangkan.

”Kita bukan kata bajet tak boleh defisit. Pakar ekonomi. Berpandangan perlu juga defisit dengan syarat keadaan ekonomi dunia gawat. Maka perlu keluarkan simpanan atau buat pinjaman.

”Tapi BN dalam keadaan ekonomi gawat dan baik defisit juga berterusan tiap-tiap tahun.” jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Ceramah Perdana Bersamanya di Pekan Tampok, Benut, Pontian, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu beliau menambah dengan katanya bahawa kerajaan harus bertanggungjawab menyelesaikan isu defisit ini dengan menghasilkan sumber lain sebagai alternatif untuk mengurangkan hutang negara.

”Apa yang nak diwariskan kepada anak cucu kita? Hutang tinggi. Kerajaan harus bertanggung jawab, kita ada sumber minyak dan gas. Tapi kena hasilkan sumber pendapatan baru. Sama ada pertanian, buat penyelidikan atau nak hasilkan pertanian berlipat kali ganda. Ada duit fikir sumber baru.” jelasnya.

Sementara itu, beliau meramalkan bahawa jika hal tersebut berterusan maka dibimbangi negara boleh menjadi muflis kerana sikap boros dalam urus tadbir negara tidak diatasi segera.

”Ini dok seronok berbelanja saja. Pemimpin UMNO tak kisah sebab dia kaya. Ada harta di Australia dan di tempat lain. Tapi yang terbeban adalah rakyat.

”Kita nak bagitahu rakyat. Buatlah perubahan supaya keadaan tidak lebih teruk. 5 tahun (kalau berterusan) lagi ramal pakar ekonomi, hancur negara-bangkrap.” ujarnya.

Pada majlis yang sama turut berucap ialah Sdr. M Subramaniam, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Johor.

MTD BENUT



oleh : www.ibn75.wordpress.com

Berkuasa Ikut Nafsu Sebab Tak Takut Allah


BENUT,PONTIAN – Manusia hari ini boleh bertindak sesuka hati dengan mengikut hawa nafsu adalah disebabkan tidak tumbul rasa takut kepada Allah swt, kata Bob Lokman, bekas selebriti terkenal.

Menurutnya lagi, akibat terpesona dengan pangkat, wang dan saham maka penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah berleluasa tanpa mengira batas dan pantang larang agama.

Malah paling menyedihkan lagi apabila dibacakan ayat suci al-Quran berkenaan soal syurga-neraka maka ada yang mempersenda-sendakannya kerana tidak merasai kekuasaan Tuhan pada diri masing-masing.

”Hari ini bila tak bersyukur, bila baca Quran, kita tak rasa gerun dan takut seperti ayat neraka. Sampai ada yang tanya. Panas sangatkah api neraka? Sudah rasakah? Mari nak cucuh api rokok. (ucapan sebegini) jahanam akidah.

”Semua percaya ada Allah tapi kenapa buat (ingkar suruhanNya) sebab tak ada rasa Allah ada. Orang tak rasa kehadiran Allah.” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, kesedaran yang timbul bermula dari melihatkan perkembangan anak-anaknya yang mula membesar. Hari ini ujarnya suasana yang tidak kondusif tidak wujud bagi melentur sahsiah anak-anak menjadi insan yang soleh menjadikannya lebih berhati-hati. Sehingga suatu ketika apabila beliau terlantar sakit di Hospital barulah disedari bahawa sedikit demi sedikit nikmat yang dikurniakan Allah selama ini mula berkurangan.

”Atuk saya ajar waktu kecil dahulu. Saya makan banyak. Dia tanya. Kenyang? Sebab apa kenyang? Saya kata, makan banyak. Dia kata bukan. Itu Allah yang bagi. Bertahun-tahun dia ulang perkara yang sama.

”Bila besar, saya sakit masuk wad. Teringat pesanan atuk. Kat Hospital nampak makanan sedap-sedap, tapi tak ada selera. Suruh isteri masak sedap-sedap. Isteri orang jawa Muar. Masak pula masakan kampung. Tapi bila saya cuit sikit, Tak berselera. Allah tarik rasa (sedap).” terangnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Kuliah Maghrib di rumah Saiful Amri, Ketua Penerangan Pemuda PAS, di Kampung Parit Hassan, Benut, dekat sini, Isnin lepas.

Kira-kira seratus orang yang kebanyakannya anak-anak muda berpeluang mendengar penyampaian bersahaja beliau pada program tersebut.

MTD BENUT



Oleh : www.ibn75.wordpress.com

Masuk PAS : Bukan Mahukan Kemuliaan – Bob Lokman


PONTIAN – Bagi Selebriti dan Penulis lirik terkenal Abdul Hakim Lokman menegaskan bahawa penggabungan diri kepada gerakan Islam PAS bukan untuk mendapatkan kemuliaan.

Disamping itu jelasnya, perjuangan yang menjanjikan kemewahan dan kenikmatan, tidak mampu bertahan lama malah penjawatnya akan menjadi lemah.

”Bila masuk PAS, inilah benteng terakhir. Berjuang bukan kerana kemuliaan.

”Berjuang untuk dapatkan kemewahan, dia lemah. Elakkan lah (mencari) yang cantik (tiada ujian) dan indah.” jelasnya lagi yang tidak henti-henti berceramah sejak mengisytiharkan diri sebagai ahli PAS pada 19 februari lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Bob Lokman itu turut menjelaskan bahawa PAS adalah satu-satunya jemaah yang menjadi pilihannya kerana tegas menegakkan perkara makruf dan berani mencegah kemungkaran.

Sedangkan katanya pemerintah yang mendiami bumi Tuhan kebanyakannya telah dihinggapi penyakit ‘takabur’ menatijahkan pelbagai kerosakan hati budi dan keyakinan.

”Bumi Tuhan dikuasai oleh kuasa yang takabbur. Oleh itu saya cari kumpulan yang bagaimana boleh bagi kesedaran.

”Banyak kumpulan. Ada jemaah yang hanya buat makruf, tidak mahu cegah mungkar. PAS memenuhi ciri tegak yang makruf, cegah yang mungkar.

”Oleh yang demikian, bagi saya, nak suruh orang buat baik kena ada kuasa. Macam bapa suruh anak solat. Anak akan solat sebab takutkan bapa. Bapa ada kuasa.” ujarnya yang dahagakan ilmu sejak tahun 2007 lagi.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 200 jemputan pada majlis Hi tea Bersama Selebriti Terkenal Bob Lokman di perkarangan Markas Cawangan Ayer Baloi, Pontian, dekat sini, semalam.

Sementara itu beliau dilaporkan berkata persepsi orang bukan Islam terhadap Islam amat mendukacitakan kerana terpengaruh dengan pembawakan nilai dan cara UMNO menjaga kemuliannya.

Dalam pada itu, dakwanya quran turut dibaca oleh kebanyakan orang namun kefahamannya tidak menepati apa yang dikehendaki dari isi kandungannya.

”Hari ini kita baca Quran tapi tak faham hingga orang kafirpun tak tahu dimana Islam itu baik. Kerana dulu tengok Islam (hanya) pada UMNO.” terangnya yang juga pemilik kepada 350 buah lirik lagu yang dikarangnya sebelum ini.

Turut hadir Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Hj. Mumazaini Misri, Timbalan Yang Dipertua PAS Pomtian merangkap bakal calon PAS DUN Pulai Sebatang, Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut.



Oleh : www.ibn75.wordpress.com

DHPP Antara Nadi Parti Islam – M.Subramaniam


BENUT – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan nadi kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) meskipun ramai yang tahu bahawa keanggotaan Dewan itu terdiri daripada orang bukan Islam.

Ketua Penerangan DHPP Johor, M. Subramaniam berkata PAS mengambil pendirian untuk menjadikan Islam sebagai penyelesai segala masalah menyebabkan ramai dikalangan orang bukan Islam melihat Parti Islam itu berupaya memerintah.

Menurut beliau lagi BN dianggapnya bahawa kesungguhan dalam melaksanakan Islam berada pada tahap yang terlalu rendah hingga kebejatan jenayah mahupun gejala sosial sukar untuk dibendung.

”3 tahun masuk DHPP, sekarang telah diiktiraf. Kita (DHPP) menjadi nadi dan naluri kepada Parti Islam walaupun kami bukan Islam.

”Dalam Islam ada banyak nilai-nilai murni daripada agama Islam. BN nampaknya tidak bersungguh terhadap agama sehingga jenayah sosial berleluasa.

”Dalam akhbar misalnya ada ibu yang campak anak dari atas flat hingga mati.

”Walaupun kami bukan Islam, kita sanggup belajar nilai-nilai yang ada dalam Islam. Ini perlu wujud, melainkan PAS saja yang bersungguh-sungguh, tapi BN tak bersungguh-sungguh” terangnya.

Justeru katanya lagi jika pemimpin UMNO masih lagi dilihat melengah-lengahkan tuntutan menegakkan perintah agama maka selagi itulah nasib rakyat tidak terbela.

”Bila sikap pemimpin (UMNO) tidak berubah (pembela agama), bila lagi nasib rakyat akan berubah” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan majlis Ceramah Isu Semasa ‘Membongkar Rahsia Cincin Rosmah 24 juta’ bersama Che’gu Bard di Pekan Parit Betak, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau menambah dengan katanya bahawa orang Melayu mempunyai kelebihan tersendiri kerana Islam.

Akan tetapi soalnya bagaimana mungkin UMNO yang mengaku beragama Islam dalam masa yang sama dilihat cuba lari dari prinsip dan dasar Islam seperti mengamal ‘Politik Islam’ sedangkan Nabi Muhammad saw sendiri berpolitik dalam kerangka agama yang diredhai Allah swt.

”Kan bagus (orang Melayu) ikut dasar Islam. Nabi (Muhammad saw) dulu ajar politik Islam. Kalau UMNO (boleh) solat lima kali dalam sehari tapi tolak Islam (tidak berpolitik cara Islam). Tengok sajalah kelab-kelab malam buka sampai dua pagi. Oleh itu, buatlah keputusan (tepat) dalam pilihan raya akan datang.” terangnya lagi.

Atas keyakinan itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa PAS kini dilihat lebih terbuka kepada kaum bukan Islam kerana terbukti pentas PAS boleh dihadiri oleh golongan itu tanpa sebarang halangan.

”Rakyat perlu bangkit. Restu Tuhan bersama kita sekarang. Kalau 15 tahun dulu, kita tak boleh tengok ramai (pendengar ceramah) macam ini. Hari ini lain. Sekarang orang Hindu boleh berada di pentas PAS. Parti Islam ini ditubuhkan ulamak berlandaskan Islam” tegasnya lagi.

Hadir sama Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut.



Oleh : www.ibn75.wordpress.com

Sabtu, 1 Oktober 2011

PAS bangga pemimpin berfikiran jauh, istiqamah

Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 1 Okt: "PAS berbangga memiliki kepimpinan yang melampaui masa iaitu berfikiran jauh ke hadapan, matang dan beristiqamah bersama rakyat merasai keperitan," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurutnya, contoh paling ketara ialah bekas Yang Dipertua PAS, Prof Zulkifli Mohamad yang memiliki pemikiran jauh yang tidak terfikir oleh orang lain, umpamanya idea penubuhan Bank Islam, Univesiti Islam, pajak gadai Islam dan sebagainya.

Katanya, apa yang disuarakan oleh almarhum kini Umno dan Barisan Nasional (BN) yang melaksanakan, seolah-olah semua itu adalah hasil gabungan pemikiran mutlak kepimpinan parti bangsa yang sewenang-wenangnya menolak Islam.

Tambahnya, begitu juga dengan Yang Dipertua PAS selepas itu sehinggalah kini semuanya mempunyai pemikiran yang unik, dapat menerima dan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Katanya lagi, Presiden PAS sekarang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak terlepas daripada acuan berkenaan dengan bertindak mengarahkan semua ahli parlimen pembangkang agar tidak berfikiran dalam ruang lingkup pembangkang malahan melebihi dari itu.

"Kita mahu memerintah. Bercakap, bertindak mesti ke arah itu," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian ketika berucap pada forum sempena Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas malam tadi.

Tambahnya, isu ketuanan Melayu yang ditonjolkan oleh Umno untuk menjerat orang Melayu supaya membenci PAS tidak berhasil kesan daripada penerangan yang berterusan.

Katanya, lagi banyak Umno bercakap mengenai ketuanan Melayu semakin banyak rasuah berlaku, ekonomi negara makin parah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak sampai ke tahap yang diharapkan serta banyak lagi skandal besar melibatkan kepimpinan negara.

Itu semua sambungnya, berpunca daripada pemikiran kepimpinan Umno dan BN yang sempit, tidak jauh dan hanya mementingkan periuk nasi sendiri sahaja.

"Jika biarkan Umno dan BN memerintah, rosaklah negara ini. Tiada jalan lain melainkan kuburkan mereka sahaja selepas pilihan raya umum ke 13 kelak," tegasnya yang .

Turut menjadi ahli panel dalam program berkenaan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

'Umno, I know who you are' - Nik Aziz

Nazri Abdullah

KEPALA BATAS, 1 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak mahu 'terjerumus dua kali' untuk menjalinkan hubungan politik dengan Umno BN.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS sudah serik dengan pengkhianatan Umno sewaktu PAS menyertai kerajaan campuran bersama parti itu pada tahun 1973 yang menyaksikan PAS ditendang keluar pada tahun 1977.

"Kita pernah bersama Umno dulu, saya sendiri sokong PAS bersama Umno sehingga PAS waktu itu pecah empat, kemudian PAS ditendang keluar.

"Sekarang (Umno) ajak kami balik, saya kata I know, who you are," katanya pada sidang media di sini.

Mengimbau sejarah perjuangan PAS lalu, Tuan Guru Nik Aziz berkata, Umno melakukan jenayah besar kerana mengharamkan lambang bulan dan bintang pada bendera PAS.

Ditanya apa alasan Umno untuk mengharamkan lambang itu, beliau berkata kerana parti nasionalis itu tidak mahu PAS membawa perjuangan agama.

"Ni kena tanya Umno la. Cuma Umno ni tak mahu ugama, bukan stakat hudud, Islam pun dia tak mahu," katanya.

Ditanya lagi adakah pintu hubungan politik dengan Umno ditutup selama-lamanya, beliau berkata PAS bersama Umno jika parti itu menerima Islam dan meninggalkan perjuangan nasionalis.

"(Nak tutup pintu) Selama-lamanya tak boleh lah. Kita berdoa agar Umno berubah dari nasionalis kepada Islam.

"Sekarang, orang bukan Islam pun terima perjuangan Islam PAS sehingga kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS," ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, tidak mustahil PAS akan datang bukan sahaja menjadi Parti Islam Se-Malaysia, malah akan berkembang menjadi Parti Islam Se-Dunia.

"Sikit lagi Parti Islam Se-Dunia sebab Islam bukan untuk orang Islam sahaja tapi untuk semua, rahmatan lil 'alamin," ujarnya.