Ahad, 29 April 2012
Jangan Gentar ! Tuntutan BERSIH Bakal Jadi Kenyataan
Oleh ibn_bacoks
KUALA LUMPUR – ”Perhimpunan hari ini dengan momentum kebangkitan rakyat. Jangan takut. Mudah-mudahan berkat keyakinan dapat serlahkan hasrat rakyat untuk bersihkan sebarang penyelewengan kepincangan Pilihan raya (PRU) ke 13,” demikian ucapan ringkas Normala Sudirman, Exco Dewan Muslimah PAS Negeri Johor di hadapan ratusan ribu peserta BERSIH 3.0 di Dataran Maybank, dekat sini, semalam.
Turut berucap, Ghazely Ayub, Ketua Penerangan PAS Johor, Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Ustaz Azam Razak, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Johor serta wakil-wakil daripada NGO mangsa masalah tanah di Johor sekitar jam 11.15 pagi.
Tinjauan turut mendapati, menara Maybank adalah lokasi pilihan bagi penyokong PAS yang beridentitikan TANAH, akronim bagi Gabungan Tanah Rakyat yang turut menyokong perhimpunan BERSIH 3.0.
Susulan daripada itu, organisasi TANAH turut menyeru kepada peserta BERSIH agar bersama mereka pada 5 Mei ini di pekarangan beli belah Plaza Angsana Johor Bahru.
Semalam, perhimpunan BERSIH 3.0 berjaya diadakan dengan menghimpunkan ratusan ribu peserta yang terdiri pelbagai kaum dan agama walaupun tidak berkesempatan ke Dataran Merdeka seperti jadual asalnya akibat dihalang pihak berkuasa.
Pengerusi bersama BERSIH 3.0, Datuk S Ambiga dilaporkan berkata, semalam adalah hari bersejarah buat penyokong BERSIH 3.0.
”Walaupun kita tidak sampai Dataran Merdeka, kita sudah berjaya. Desakan kita sudah didengari kerajaan dan seluruh dunia. Semua bangsa datang untuk (menyokong) pilihan raya yang bersih dan adil.
”Kita berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk anak-anak kita dan masa hadapan Malaysia,” ujarnya lagi yang dipetik Sinar Harian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan