Sabtu, 12 Mei 2012

UMNO Gagal Laksanakan Perubahan?


PONTIAN – Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian membidas dakwaan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Ir Hasni Mohammad bahawa Barisan Nasional (BN) telah melakukan banyak perubahan bagi memenuhi sebarang tuntutan sedangkan ada dikalangan penduduk di sini menagih janji sejak puluhan tahun lagi.
Akhbar Sinar Harian, 9 Mei lepas menyiarkan, Hasni ketika merasmikan penubuhan cawangan UMNO Taman Megah dilaporkan berkata ahli UMNO tidak perlu bimbang dan cemas dengan situasi dari perhimpunan BERSIH kerana ia dicetuskan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab walaupun BN telah melakukan banyak perubahan bagi memenuhi tuntutan mereka.
Mohd Faizul Hakim Ahmad, Ketuanya berkata, Hasni cuba menyembunyikan sesuatu kepada umum dengan menyelar pihak pembangkang seperti tuduhan menghasut rakyat supaya membenci UMNO.
Bagaimanapun, UMNO Pontian sendiri nyata buntu untuk menawan kembali hati rakyat berikutan masalah-masalah setempat yang belum diselesaikannya.
”Sebagai contoh. Di kawasan Peti Undi Parit Kahar. Ada satu kampung bernama Parit Rambai berhampiran dengan Sungai Sanglang.
”Masih lagi jalan tanah merah walaupun sebanyak 6 buah keluarga mendiaminya di situ. Seorang pengadu yang ingin dikenali sebagai Dol mendakwa sejak 26 tahun lalu masalah ini diajukan namun tiada perkembangan positif dibuat.
”Masalah utamanya apabila hujan, jalan berlecak. Ini menyukarkan pergerakan seperti ingin menghantar anak ke sekolah dan mengeluarkan hasil tanaman.
”Malah mereka turut berhadapan dengan risiko kemalangan dan sebagainya,” katanya lagi dalam program Jom Terjah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian baru-baru ini.
Pada program yang sama, konvoi DPPK Pontian telah melakukan jelajahnya ke kawasan terbabit dan berjaya menyantuni penduduk di situ dengan mengambil beberapa aduan berkenaan masalah yang mereka hadapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan