Khamis, 10 Mei 2012

Aset gelap kerajaan negeri Johor

Oleh : AMNI JAGAT

KELEMBAPAN sesebuah jabatan akan menimbulkan banyak persoalan dan prasangka buruk terhadap sesuatu tindakan yang dilakukan. Keupayaan sebuah kerajaan dalam mentadbir sesebuah negeri atau negara dilihat seumpama tidak berdaya dalam menangani sesuatu isu jika kelembapan itu berlaku.

Ternyata rakyat selama ini senantiasa dibutakan dengan maklumat berkenaan aset negara atau negeri yang ditadbir oleh sebuah kerajaan lembap.

Korupsi yang berlaku di dalam sesebuah jabatan adalah hasil tunjuk ajar dari seorang pemimpin yang suka atau kerap mengamalkan sistem yang sama. Prasangka seumpama inilah yang sedang bermain di minda penduduk di Ayer Hitam Johor.

Sebuah kerajaan ‘tua’ Johor dalam menangani isu berkenaan pembahagian tanah di Ayer Hitam dilihat seperti pincang dan tempang. Bukan hari ini, malah kepincangan dan ketempangan ini berlaku sejak dari tahun 1960an lagi.

Pemohonan pemilikan tanah dari tahun 1967 sehingga ke tahun 2012 menunjukkan dan membuktikan bahawa kerajaan negeri yang sedia ada pada hari ini adalah sebuah kerajaan negeri yang tidak pernah menghiraukan nasib serta mendengar suara rakyat di bawah pemerintahannya.

Seramai tiga puluh tujuh peneroka seperti ditipu berkenaan soal pemilikan tanah. Pemohonan demi pemohonan telah dilakukan, namun keputusan yang diterima ternyata hampa dan mengecewakan pihak penduduk atau peneroka asal.

Penduduk Mukim 8 Sri Lalang yang meneroka tanah tersebut sejak tahun 1967, telah membuat pemohonan pemilikan tanah yang diterokai mereka lebih dari lima kali pemohonan. Tetapi pemohonan mereka dilembapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dengan alasan ‘sedang dalam proses’.

Sehinggalah kemuncaknya pada tarikh 18 Februari 2012, suatu penyerahan pemilikan tanah dilakukan oleh Menteri Besar Johor di mana tanah yang dipohon telah diserahkan kepada satu pihak lain yang bukan penduduk atau penuntut asal tanah tersebut.

Perkara ini telah menyentap seluruh semangat penduduk dan peneroka asal tanah Mukim 8 Sri Lalang. Tindakan yang lembap dari PTG mengenai tuntutan mereka serta penyerahan milik tanah kepada pihak lain adalah dua perkara yang membuatkan penduduk kampung melihat seperti ada muslihat yang tersembunyi di sebalik isu tanah terutamanya di Ayer Hitam.

Isu ini sungguh mendukacitakan. Jika difahami dengan secara lebih dalam lagi, tanah tersebut telah diusahakan lebih empat puluh tahun lamanya. Peneroka telah mengusahakan tanah tersebut dari terbiar dengan menanam segala jenis buah-buahan dan sayur-sayur termasuk jelapang padi.

Siapa yang tidak kecewa jika tanah yang diusahakan mereka secara tiba-tiba menjadi milik orang lain tanpa pengetahuan jelas dari mereka. Sedang dalam mereka memohon untuk mendapatkan hak pemilikan tanah dan dalam pada itu juga tanah yang dipohon telah diserahkan kepada pihak lain yang menakung di air yang keruh.

Sudahlah lembap zalim pula tindakan yang dilakukan. Beginikah cara layanan sebuah kerajaan negeri terhadap rakyat yang telah mengangkat serta mengundi mereka? Kerajaan negeri yang diketuai oleh Abdul Ghani Othman jangan cuba melepaskan diri.

Dalam perlembagaan di Malaysia, soal berkenaan dengan tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri. Andai berlaku sesuatu isu berbangkit mengenai tanah maka kerajaan negeri yang seharusnya bertanggungjawab dalam masalah tersebut.

Dalam isu di Ayer Hitam ini dapatlah ditafsirkan bahawa tanah di negeri Johor ini adalah ‘aset gelap’ kerajaan negeri. Soal pengurusan yang lembap cukup tepat untuk mengambarkan seperti ada matlamat yang tersembunyi disebalik sesuatu isu yang berbangkit berkenaan tanah.

Dapat dikenal pasti, isu berkenaan dengan tanah dilihat seperti terlalu rumit serta berlaku banyak birokrasi dalam menuntut hak pemilikan tanah. Ternyata jika dilihat secara dasarnya, penyusunan fail di pejabat tanah dilihat seperti terlalu rumit serta susah untuk memberi kata putus.

Samalah perkara yang berlaku terhadap penduduk di Ayer Hitam. Sejak tahun 1967 lagi pemohonan pemilikan tanah telah disuarakan dengan mengikut landasan undang-undang yang betul. Namun akhirnya mereka gagal juga untuk mendapatkan hak pemilikan tanah yang dipohon.

Adakah ini yang dikatakan kerajaan yang prihatin? Kalau diperhatikan semula ucapan Abdul Ghani Othman yang menafikan Johor tidak akan muflis pada tahun 2015, Abdul Ghani beralasan Johor masih banyak aset untuk menyelamatkan keadaan muflis tersebut.

Apa sumber pendapatan negeri Johor dan apakah aset yang dimaksudkan oleh Abdul Ghani? Ternyata aset Johor hanyalah ‘tanah’. Jika benar tanah adalah aset untuk menyelamatkan hutang-hutang negeri Johor maka memang benarlah negeri Johor sekarang sedang tergadai.

Tanah adalah aset beku maka untuk mencairkan aset beku tersebut adalah dengan menjualkannya. Bolehlah dikatakan tanah di negeri Johor ini adalah aset gelap kerajaan negeri yang diperintah oleh UMNO dan Barisan Nasional hari ini.

Jadi tidak pelik dan ajaiblah perkara seperti di Ayer Hitam itu akan berlaku lagi di tempat-tempat yang lain. Sememangnya Abdul Ghani tidak melihat apakah masalah sebenar yang berlaku di negeri Johor ini. Hutang yang ditanggung oleh kerajaan negeri hari ini adalah disebabkan ‘kebocoran’ yang terlalu banyak dilakukan.

Kezaliman harus dibalas dengan ketidak percayaan. Dalam misi menyelamatkan Johor maka Himpunan Tanah Rakyat (TANAH) telah bersedia membantu dalam menangani isu-isu yang berbangkit berkenaan tanah di Johor ini.

Himpunan TANAH 5 Mei 2012 lalu di Plaza Angsana Johor Bahru pasti telah membangkitkan kesedaran masyarakat di Johor khususnya tentang masalah yang sedang dialami oleh rakyat di negeri ini. Tidak kira apa akan berlaku, suara rakyat harus dihimpunkan untuk menyelamatkan negeri Johor dari pengadaian aset tanah oleh kerajaan negeri yang memerintah hari ini.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan