Oleh ibn_bacoks
PONTIAN – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut dalam program Ekspedisi Dakwahnya berkesempatan mengunjungi seorang pesakit strok, Mohd. Som Abd Wahid, 72, di Kampung Parit Keroma, Unit Peti Undi (UPU) Parit Keroma Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Penyelianya, Ustaz Atan Gombang, kira-kira sepuluh bulan yang lepas Mohd Som merupakan seorang yang cergas aktif bagaimanapun menghadapi hidup yang sukar setelah terjatuh dalam bilik air.
Berikutan dengan itu, keadaan badan di sebelah kiri menjadi lumpuh dan dia hanya mampu terbaring di atas tilam dengan diurus oleh isteri dan anak-anaknya.
”Kata isterinya, dia strok sebelah kiri sejak sepuluh bulan lalu. Waktu itu dia nak solat isyak dan masuk bilik air. Tergelincir lalu jatuh.
”Daripada situ dia sakit sehinggalah sekarang. Setakat ini dia menggunakan khidmat perubatan tradisional dengan mengurut. Kos yang dikeluarkan lebih RM2000,” katanya lagi.
Terdahulu, kira-kira 11 orang ahli rombongan PAR Benut hadir sama dan sumbangan berbentuk wang tunai turut disampaikan oleh Ustaz Atan Gombang.
Dalam pada itu, kedatangan rombongan ini sedikit sebanyak membuatkannya berasa senang hati dan meringankan beban yang ditanggung.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai keprihatinan yang tinggi diminta tampil membantu atau terus salurkan sumbangan kepada PAR Benut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan