Jumaat, 25 Mei 2012

PAS Berjaya Robohkan Stigma 3P



Oleh ibn_bacoks

KULAIJAYA – PAS hari ini dilihat jauh terkehadapan dalam mendapatkan sokongan masyarakat terutamanya bukan Islam kerana berjaya membuang stigma 3P iaitu Pondok, Padi dan PAS suatu ketika dahulu cukup terkenal di bahagian utara dan pantai timur semenanjung.

Bagaimanapun Sallahuddin Ayub berkata kejayaan yang dikecapi ini akibat daripada pendekatan dinamik yang diguna pakai sehingga memikat kaum tersebut berjinak-jinak dengan parti Islam itu.

Walaupun PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tambahnya lagi, dasar dan prinsip tetap dipertahankan dan ia tidak sekali-kali menggadaikannya dengan harga yang murah.

”Bila mula dapat kejayaan kerana orang bukan Islam menyokong kita, mereka mula beri keyakinan dan nak menangkan PAS.

”Dulu, UMNO tak risau. Biarkanlah PAS kuat di Kelantan kerana mereka fikir PAS tidak boleh tersebar di tempat yang ada bukan Islam.

”Bagaimanapun, (ia meleset) pakar-pakar strategi berpendapat itu adalah fenomena yang berlaku dalam waktu terdekat ini. Hari ini, kita jadi rakan terbaik kepada mereka. Malah berjaya merobohkan tembok pemikiran dengan masyarakat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Sallahuddin turut menambah resepi keberhasilan seperti yang dikecapi kini kerana PAS telah menterjemahkan sifat benar, amanah, tabligh dan fatonah yang dimiliki Nabi Muhammad saw dalam mengurus hubungan dengan pihak terbabit.

”(ini hasil) pemuda buat perubahan. Dulu kita takut nak makan malam dengan DAP. Takut dihidangkan arak.

”Sebab itu kita dipercayai. Dulu Cina takut dengan PAS. Kenapa? (sebab) tak kenal maka tak cinta.

”(Kerana) kita tidak pernah tipu Cina dan India. Islam ajar apa yang terkandung dalam peribadi Nabi saw yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatonah. Sifat inilah yang perlu dimiliki pemuda untuk lahirkan pemimpin di masa hadapan,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, dekat sini, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan