Isnin, 7 Mei 2012

Himpunan TANAH Berjaya Kumpul Ribuan Mangsa Tanah



Oleh Ibn_bacoks

JOHOR BAHRU – Himpunan tanah rakyat yang dimulakan tepat jam 2 petang di pekarangan pusat beli belah terkenal Plaza Angsana, dekat sini, sabtu lepas telah menghimpunkan ribuan orang yang mewakili mangsa-mangsa yang berkaitan tanah, pimpinan parti politik, wakil NGO (badan bukan kerajaan) dan pengunjung.

Antaranya yang berucap seperti wakil Denai Pinggiran Sri Rahmat, 6 badan bukan kerajaan (NGO) Pengerang, Desa Kempas, Manong, Ayer Hitam, Felda Cahaya Baru, Batu 18 Mersing, Kampung Setingga sekitar Johor Bahru, Tanah Gatecore Negeri Sembilan, Paya Ledang, Felda Ayer Hitam Simpang Renggam, Felda Pasak Kota Tinggi, Kampung Plentong Tengah, Gelang patah dan Ceroboh hutan simpan bakau di Sanglang Pontian.

Selain itu, pimpinan daripada Pakatan Rakyat (PR) yang turut berpeluang membuat kenyataan seperti Dr Mahfodz Muhamed, Pesuruhajaya PAS Johor, Dr Boo Cheng Hoo, Pengerusi DAP Johor, Hassan Karim, Naib Pengerusi PKR Johor, Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Johor, Badrul Hisham Shaharin (Che’gu Bard), Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),

Dalam pada itu, himpunan yang berakhir jam 4.10 petang berada dalam keadaan aman itu turut menyaksikan kehadiran kira-kira 379 anggota keselamatan yang bertindak untuk memantau perjalanan majlis dengan diketuai sendiri oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru, ACP Ruslan Hassan.

Sementara itu, Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) menegaskan bahawa rakyat negara ini berasa curiga terhadap penjualan tanah strategik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada kerajaan Singapura. Demikian kata Ketua Sekretariatnya, Suhaizan Kaiat.

”KTMB mempunyai tanah pajakan selama 999 tahun yang bermula pada tahun 1932 sehinggalah ke tahun 2931 kira-kira 1000 tahun, seluas 217 hektar di Singapura. Tanah sepanjang 30 kilometer ini adalah daripada Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah (lot 76-2mk 16, lot 249 Mk 4 dan lot 32-10 Mk 16).

”Tanah ini cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura, terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar. Tanah bernilai sejarah ini telah dijual kerajaan Malaysia kepada Singapura. Rakyat Malaysia khususnya di Johor Bahru berasa curiga terhadap penjualan tanah strategik ini.” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin ayub, dalam kenyataan medianya menyebut himpunan tersebut mempunyai kesinambungannya dan program susulan akan diteruskan hingga ke peringkat akat umbi.

”Langkah seterusnya, kami akan adakan program road show secara besar-besaran seluruh Parlimen di Johor. Hal ini kerana untuk meningkatkan kesedaran rakyat berkenaan masalah tanah,” katanya lagi.

TANAH satu organisasi NGO mula mendapat perhatian umum setelah Dialog Masalah Tanah berjaya diadakan di Hotel Gode Hope bulan lepas dengan mengumpulkan mangsa berkaitan tanah di Johor.

Berikutan itu, pemilik UDA Holdings Berhad, Plaza Angsana, Datuk Nur Jazlan Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang perhimpunan yang melibatkan premisnya tidak dibenarkan sama sekali penganjurannya.

Bagaimanapun, Suhaizan dalam kenyataan balasnya mempersoalkan Jazlan di mana kewajaran bertindak sedemikian sedangkan premis itu merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), maka ini bermakna ia adalah milik rakyat. Oleh itu, rakyat berhak berhimpun di mana-mana tempat yang difikirkan perlu.

Dalam pada itu, beberapa hari sebelum perhimpunan, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilaporkan berkata pihaknya mengingatkan kepada mana-mana penganjur perlu mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.

Malah, Ketua Polis Daerah Johor Bahru, ACP Ruslan Hassan ketika bercakap kepada pemberita selepas himpunan berkata penganjur perlu menghantar notis pemberitahuan 10 hari sebelum sebarang perhimpunan diadakan bagi mempamerkan kepada umum jika terdapat sebarang bantahan.

Difahamkan, beberapa hari sebelum perhimpunan, pihak penganjur telahpun menghantar notis kepada polis sebagai memaklumkan yang perhimpunan bakal diadakan pada premis milik UDA tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan