Sabtu, 19 Mei 2012

DISKUSI KITAB : Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

Oleh Ibn_bacoks

AKIDAH yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama kepada pengakuan seseorang yang telah menerima Islam sebagai agama yang mengatur hidupnya.

Akidah tersebut mestilah sejajar dengan apa yang telah termaktub dalam kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Saya mestilah beriman dan mempercayai perkara yang telah diimani yang telah terbukti kebajikan, kebaikan, ketaqwaan dan kefahaman mereka yang tepat dan benar terhadap Islam.

Untuk menjadikan akidah saya benar-benar diiktiraf sebagai akidah seorang Muslim, saya mestilah :

1) Mengimani dan menyakini bahawa pencipta alam ini ialah Allah yang Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan pertolongan orang lain. Kesemua ini dapat dibuktikan melalui keindahan, kerapian dan keselarasan alam ciptaan Allah, yang mana setiap unit ciptaan Allah ini memerlukan unit yang lain untuk menjamin kewujudan dan kestabilannya. Satu unit kejadian alam ini tidak mungkin wujud dalam keadaan stabil tanpa kewujudan unit lain.

Kewujudan alam ini yang seindah dan sekemas ini tidak akan terjamin keselamatan dan kesejahteraannya tanpa tadbir dari Allah yang Maha berkuasa. Dalam hubungan ini Allah telah berfirman :

”Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah tentulah keduanya itu telah rosak binasa, maka Maha suci Allah yang mempunyai arasy daripada apa yang mereka sifatkan,” (anbiyak. 21 : 22)

2) Saya mestilah mengimani dan menyakini bahawa Allah tidak mencipta Alam ini tanpa tujuan atau untuk bermain-main sahaja, kerana perbuatan sia-sia dan main yang tidak mempunyai tujuan itu tidak layak bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan.

Matlamat dan tujuan Allah menciptakan alam ini sukar difahami secara terperinci kecuali melalui seorang Rasul yang diutuskan Allah atau melalui wahyu Allah. Dalam hubungan ini, Allah berfirman dengan maksudnya,

”Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia,” (al-mukminun 115-116)

3) Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa Allah telah mengutuskan para Rasul dan menurunkan kitab untuk tujuan mengajar manusia mengenal Allah dan memberitahu mereka tentang matlamat dari kewujudan mereka di dunia ini, dan ke mana akhirnya penghidupan mereka.

Saya mestilah beriman bahawa Nabi Muhammad saw adalah Rasul yang terakhir dari para rasul yang diutuskan Allah. Baginda telah dibantu dan diperkuatkan Allah dengan al-Quran sebagai mukjizat yang kekal abadi.

Firman Allah yang bermaksud,

”Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul apabila tiap-tiap umat (untuk menyeru) sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut itu. Maka diantara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya,” an-Nahl 16:32

4) Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa matlamat hidup manusia dalam kehidupan dunia ini ialah untuk mengenal Allah sebagaimana sifat-sifatNya yang telah diterangkan Allah, taat kepada Allah dan mengabdikan diri kepadaNya. Dalam hubungan ini Allah telah berfirman :

”Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahku, Aku tidak sekali-kali menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh,” az-Zariat 51;56-58

5) Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa syurga adalah balasan dan ganjaran bagi mukmin yang taat dan neraka adalah balasan dan ganjaran siksa bagi orang-orang Kafir. Dalam hubungan ini, Allah menyatakan dengan maksudnya,

”Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka,” as-Syura 42:7

6) Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa manusia itu dapat dan boleh mencapai kebaikan dan kejahatan melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya. Tetapi sungguhpun demikian pada hakikatnya saya tidaklah mendapat mencapai kebaikan kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah.

Begitu juga saya tidak akan terjerumus ke dalam kejahatan kecuali dengan kehendak Allah. Kesemua ini adalah dalam lingkungan izin dan kehendak Allah. Dalam hubungan ini Allah berfirman dengan maksudnya,

”Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorikannya,” as-Syamsu 91:7-9

FirmanNya yang lain bermaksud,

”Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya,” al-Muddathir 74:38

7) Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa pensyariaatan (penciptaan dan penggubalan) undang-undang adalah hak mutlak bagi Allah. Syariat dan undang-undang Allah ini tidak boleh dilewati atau dilanggar.

Satu-satunya yang harus bagi muslim ialah melakukan ijtihad untuk mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas syariat Allah dalam lingkungan yang dibenarkan oleh Syariat itu sendiri.

Dalam hubungan ini, Allah berfirman dengan maksudnya,

”Tentang sesuatu apapun kamu berselisih maka putusannya (terserah) kepada Allah (yang mempunyai sifat-sifat demikian) itulah Tuhanku, kepadaNyalah aku bertawakkal dan kepadaNyalah aku kembali,”

8) Saya mestilah mempelajari dan berusaha untuk mengetahui nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah dalam hubungan ini, Abu Hurairah ra telah meriwayatkan hadis yang mana Rasulullah saw telah bersabda,

”Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu, tidak seorangpun yang menghafaznya kecuali dia akan masuk syurga. Allah yang ganjil (yakni tidak genap) dan Allah menyukai perkara yang ganjil (tidak genap),”

9) Saya mestilah berfikir tentang makhluk ciptaan Allah, bukan berfikir tentang zat Allah. Ini saya lakukan kerana patuh dan tunduk kepada perintah Rasullullah sebagaimana yang tersebut dalam hadisnya yang bermaksud,

”Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kemu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak dapat mentakdirkan (menentukan zat) Allah sebenarnya,” hadis diriwayatkan oleh Abu Nuaim dalam hilyah dan diriwayatkan juga oleh Ashbihani dalam Targhib Wat Tarhib.

10) Mengenai sifat-sifat Allah pula telah banyak ayat-ayat Quran yang menunjukkan sifat-sifat Allah dan kesempurnaan sifat uluhiahNya. Diantara ayat-ayat yang menunjukkan wujudnya Allah itu ada ayat-ayat yang menunjukkan sifat Qidam (sedia) dan Baqa’ (kekal) bagi Allah.

Ada pula ayat-ayat yang menunjukkan bahawa Allah berdiri sendiri dalam erti kata bahawa Allah tidak memerlukan pertolongan dari makhluk ciptaanNya, malah makhluk ciptaanNya itulah yang berhajat kepadaNya.

Ada juga ayat-ayat yang menunjukkan wahdaniat (keesaan) Allah baik pada zatNya, sifatNya, perbuatanNya dan urusan tadbirNya.

Ada ayat-ayat yang menunjukkan keluasan ilmu Allah yang mencakup segala sesuatu, ayat-ayat yang menunjukkan iradah (kehendak) Allah yang mengatasi iradah dan kehendak makhluk ciptaanNya dan ada ayat3at yang menunjukkan Allah bersifat hayat (hidup) yang kamil (sempurna), malah masih banyak terdapat ayat-ayat yang menunjukkan sifat-sifat dan kesempurnaan Allah yang tidak putus-putus dan tidak diketahui hakikatnya oleh akal manusia. Kita tidak membataskan pujian kita kepada Allah sebagaimana Allah telah memuji diriNya.

Bersambung…

Sumber : Kitab Maza Yakni Intimaie Lil Islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan