Oleh ibn_bacoks
JOHOR BAHRU – Satu lagi siri sabotaj pihak tertentu telah dikesan di sekitar tapak ceramah Salahuddin Ayub di Taman Puteri Wangsa, dekat sini dengan membabitkan kenderaan milik orang awam.
Dalam kejadian lontaran bungkusan dipercayai asid pada kenderaan dilakukan ekoran tidak senang dengan kehadiran rakyat ke majlis penerangan pembangkang.
Menurut Shamsul Bakri, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, pihaknya mengesan bungkusan plastik berisi asid ditinggalkan dan terkena pada cermin di bahagian tepi dan belakang milik seorang ahli PAS.
”Kita juga khuatir tindakan mensabotaj ceramah atau program dianjurkan Pakatan Rakyat (PR) didalangi pihak tertentu kerana motif politik, malah paling membimbangkan ia terkena pada orang awam yang melalui kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Chua Chein Loon, 30, mendakwa kereta miliknya rosak akibat dilontar asid selepas meletakkan kenderaan di tapak ceramah yang jaraknya kira-kira 30 meter.
Katanya, dia menyedari insiden pada keesokan harinya apabila ternampak beberapa kesan asid pada pintu hadapan dan belakang sebelah pemandu kira-kira jam 10 pagi.
”Saya memeriksa bahagian lantai garaj namun tidak menjumpai sebarang kesan asid lalu saya mengambil keputusan pergi ke lokasi ceramah selepas berasa ada sesuatu yang tidak kena.
”Tiba di lokasi tersebut, saya terjumpa beberapa bungkusan plastik disyaki berisi asid bersepah berhampiran tempat saya meletakkan kereta pada malam tersebut.
”Saya percaya ia perbuatan sabotaj individu tertentu yang tidak senang dengan ceramah yang dianjurkan PR,” katanya lagi.
Chien Loon turut membuat laporan polis di Balai Polis Pelangi Indah, di sini, baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan