Oleh ibn_bacoks
PONTIAN – Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor diselar berhubung kenyataannya mempertikai kemampuan pembangkang mentadbir negara ini sedangkan beliau didakwa gagal menunaikan tanggung jawabnya sebagai pemerintah di negeri Johor.
Akhbar Sinar Harian 24 April lepas menyiarkan kenyataan Abdul Ghani Othman memperlekeh pembangkang sebagai menyebut ‘Tidak Mampu Mentadbir’ lalu mendakwa pelbagai cara dilakukan untuk tolak kerajaan sedia ada.
Menurut Ustaz Atan Gombang, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut bahawa pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kegagalan UMNO melengkapkan prasarana dan kemudahan kepada rakyat terutamanya di kawasan pedalaman.
Katanya lagi, di Kampung Pekan Tampok yang berkedudukan di Parlimen Pontian, bersempadanan dengan Parlimen Batu Pahat seolah-olah terpinggir dari arus kemajuan kerana ada jalan yang separuh diturap dan keadaan ‘jiran’nya jauh lebih baik.
”Pekan Tampok berada di Dun Benut. Manakala di Kampung Parit Wak Kawek pula, Dun Rengit. Prasarana di Dun Rengit jauh lebih baik dari di Benut.
”Kami terima aduan. Kampung Parit Lapis Tampok banyak yang berlubang. Dewan orang ramai pula tidak menampakkan bayang. Begitu juga Jeti memancing yang sudah reput. Penduduk mendakwa, walaupun peruntukan telah diluluskan untuk membaikinya tapi kenapa dialih ke Tanjung Piai?.
”Malangnya, Kampung ini adalah kubu kuat UMNO. Bekas wakil rakyatnya adalah orang sini. Tapi apa penghargaan UMNO kepada penduduk di sini?,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Dialog Bersama Penduduk Tampok Laut Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama, penduduk telah mencapai kata sepakat dengan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi mendesak kerajaan memenuhi tuntutan mereka.
Antara tuntutan penduduk seperti mengadakan gelanggang futsal, dewan orang ramai, mewujudkan industri Kecil Sederhana (IKS), tangani isu jalan dan membaiki jeti di kuala sungai Tampok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan