Selasa, 1 Mei 2012

Pengundi Baru Cenderung Kepada PR, Malapetaka buat BN Johor?



JOHOR BAHRU – UMNO-Barisan Nasional (BN) negeri kini terpaksa berhadapan dengan dua masalah besar iaitu kecenderungan pengundi baru kepada Pakatan Rakyat dan orang Melayu antara paling ramai yang tidak mendaftar sebagai pengundi bagi mencipta kembali kemenangannya di Johor.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, orang Melayu paling ramai dikenal pasti tidak mendaftar sebagai pengundi sehingga menafikan kuasa sendiri untuk menentukan masa depan pentadbiran negara.
Katanya lagi, ramai yang menganggap kepentingan mengundi sebagai sambil lewa sehingga tidak timbul rasa tanggungjawab untuk mengundi.
Ketara dengan kekhuatirannya itu, Khaled menambah lagi, bagaimana orang Melayu hendak bersaing dengan kaum lain, sedangkan penguasaan politik mereka sendiri tidak mahu mendaftar sebagai pengundi.
”Kita khuatir kalau orang Melayu tidak berjaya bersaing dengan pelbagai kaum lain di negara ini, kaum lain akan mendominasi dan kita akan keciciran dalam negara sendiri.
”Kita perlu bersedia sama ada dari segi penguasaan ilmu, pendidikan, kebajikan, ekonomi, sosial dan agama serta yang paling penting politik kerana masa depan pentadbiran negara bergantung kepada undi kita,” katanya lagi dipetik Sinar Harian, 16 April lalu.
Sementara itu, seorang lagi ahli Parlimen Gelang Patah (BN), Tan Ah Eng berkata, terdapat penambahan lebih 20,000 pengundi baru di kawasannya yang perlu diberi perhatian.
Selain kawasanya itu katanya, menjadi tumpuan rakyat luar Johor untuk bermastautin kerana bekerja di Singapura.
Beliau mendakwa mereka turut datang dari pelbagai kawasan termasuk dari negeri yang dikuasai pembangkang.
Berikutan itu, BN telah menjadikan pengundi baru sebagai tumpuannya kerana dikhuatiri mereka membawa pendirian PR dan boleh melakar kejutan dalam PRU nanti.
”Tumpuan kini adalah pengundi baru kerana khuatir mereka masih terbawa-bawa untuk menyokong pembangkang. Begitu juga pengundi tempatan yang bekerja di Lembah Klang atau negeri dikuasai pembangkang,” ujarnya lagi dalam yang turut dipetik Sinar Harian.
Dalam pada itu, para penganalisis politik berpendapat pemimpin tertinggi BN itu terpaksa membayangkan kebimbangannya kerana kedua-duanya dijangka bakal menghadapi persaingan yang sengit apabila pembangkang meletakkan ia sebagai kawasan ‘tumpu’ di situ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan