Selasa, 7 Februari 2012

PAR Permas Mengesyaki Ada Unsur Pemerdagangan Manusia


Oleh ibn_bacoks
PASIR GUDANG – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas mengesyaki ada sindiket pemerdagangan orang berhubung kes seorang ibu malang Wanchik Ibrahim yang mendakwa diperdayakan seorang wanita untuk menjaga bayinya ketika bekerja di Singapura.
Menurut Penyelianya, sdr. Syed Othman Syed Abdullah pihaknya mendapati ada unsur-unsur penipuan dalam hal jagaan anak itu kerana tiada peruntukan undang-undang yang melibatkan penyimpanan dan menukar status seorang anak.
”Atas kuasa apa yang boleh menyimpan dan menukar status anak orang?” soalnya lagi selepas menerima aduan daripada wanita terbabit di pejabatnya, dekat sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya bersedia menyediakan khidmat guaman kepada mangsa sekiranya berlaku proses mahkamah dalam penyelesaian isu berkenaan.
Selain itu, pertemuan dengan pihak berkuasa akan diatur sebelum membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Polis untuk  melakukan siasatan dan mengharap kes seumpama ini tidak berulang kembali.
”Kami gesa Polis tegas dalam isu ini dan membuat siasatn sehingga ke akar umbi agar tiada lagi yang mwenjadi mangsa,” tegas beliau yang juga ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Johor.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang ibu merayu agar bayinya dikembalikan setelah hampir setahun ‘disembunyikan’ penjaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan