Isnin, 13 Februari 2012

Hutan Di Empangan Sembrong Telah Dinodai? Pihak Berkuasa Digesa Bertindak


AYER HITAM – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ayer Hitam menggesa pihak berkuasa menyiasat aktiviti pembalakan yang didakwa telah diceroboh pihak tertentu di kawasan hutan di Embangan Sembrong, dekat sini.
Kejadian ini berlanjutan sejak awal Disember lalu turut menjadi tanda tanya berkaitan aktiviti penebangan balak dan pergerakan lori keluar masuk seolah-olah mendapat ‘kebenaran’ kerana dijalankan pada waktu siang.
Seorang Ahli Jawatankuasanya, Muhammad Abdullah berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penduduk di kawasan Sri Lalang dan perkara ini sudah lama berlaku.
Malah kawasan yang telah dilapangkan itu dibakar dan dikhuatiri mengakibatkan pencemaran kerana kemungkinan jika hujan, air daripada pembakaran itu akan mengalir ke dalam empangan.
Selain itu, kawasan tersebut dilarang untuk diceroboh kerana ia berdekatan dengan tempat tadahan air, bahkan aktiviti tersebut boleh menjejaskan kawasan tadahan air terbabit.
Sehubungan itu, ujarnya lagi siasatan harus dilakukan bagi mengesahkan sama ada ia dilakukan dengan kebenaran atau sebaliknya kerana penduduk setempat mahukan kepastian.
”Walaubagaimanapun, kami telah membuat laporan di Balai Polis Sri Lalang tiga hari lalu berkaitan pencerobohan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Pada 10 Februari lepas, laporan Sinar Harian menyebut para penduduk Sri Lalang mendakwa hutan yang menjadi sebahagian daripada kawasan tadahan Empangan Sembrong diceroboh pihak tertentu.
Difahamkan, berpuluh-puluh pokok berkualiti tinggi ditebang dan dilonggokkan di beberapa tempat yang terletak 50 meter dari kawasan empangan dipercayai untuk dibawa keluar.
Kelihatan lori balak keluar masuk membawa kayu melalui beberapa kampung antaranya Kampung Banjir Bersatu sebelum keluar mengikut Kangar Baru di Yong Peng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan