Jumaat, 3 Februari 2012
Orang Asli Dakwa Terpinggir, Tamparan Hebat Buat MP Parit Sulong?
Oleh ibn_bacoks
PARIT SULONG – Barangkali dengan dakwaan lima keluarga Orang Asli dari keturunan Jakun yang masih lagi belum menikmati bekalan elektrik telah memberi satu tamparan hebat buat Dato’ Noraini Ahmad selaku Ahli Parlimen di situ.
Adakah beliau tidak prihatin terhadap masalah rakyat di kawasannya sendiri? Itu adalah persoalan yang ditujukan kepada beliau.
Hal ini, kerana keadaan penempatan di Kampung Parit Jidin yang bermasalah itu dikatakan telah berlarutan sehingga 10 tahun menyebabkan bekalan air bersih juga tidak diperolehi.
Banyak pihak berasa terkejut kerana setelah negara mencapai kemerdekaan 54 tahun yang lalu masih ada golongan yang mengalami keadaan seumpama ini.
Malahan ada dikalangan anak mereka yang tidak bersekolah akibat kesempitan hidup.
Paling menyedihkan apabila malam menjelma, parit yang berhampiran dengan penempatan mereka itu telah dijadikan tempat bermandi manda hanya berbekalkan cahaya bulan.
”Apabila hendak mandi, kami akan pergi ke parit berhampiran dan malam kami tidak diterangi dengan lampu,” kata Mohd. Amin Abdullah yang dipetik Sinar Harian.
Semalam, akhbar itu melaporkan lima keluarga Orang Asli masih hidup dalam keadaan bergelap dan tiada bekalan air bersih di Parlimen terbabit.
Sehubungan itu, sebagai sebahagian daripada rakyat negara ini mereka juga berhak menikmati kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan.
”Diharap dalam masa terdekat ini, kami boleh menerima kemudahan berkenaan,” ujarnya lagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan