Selasa, 7 Februari 2012

Kenyataan Ahmad Maslan Disanggah



PONTIAN – Kenyataan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri disanggah berhubung isu Salahuddin Ayub dakwanya sejak pilihan raya umum lalu tidak pernah datang melawat kawasan parlimen di dalam daerah Pontian.
Sedangkan Naib Presiden itu mempunyai keluarga, rumah di kampung Serkat dan tempat kelahirannya pula di daerah ini.
Menurut Hj Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian adalah suatu yang tidak benar mempersoalkan kedudukan Salahuddin kerana beliau sendiri  salah seorang ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan dalam masa yang sama bergelar ahli Parlimen Kubang Kerian sudah tentu punyai jadual kerja yang tersendiri.
“Tiga hari lepas saja YB Salahuddin berada di Simpang Renggam pada program Pelancaran Borang Masalah Tanah,” katanya lagi.
Beliau mengulas laporan Sinar Harian semalam terhadap respon Ketua Penerangan UMNO itu berhubung  hasrat YB Salahuddin mahu kembali bertanding ke negeri kelahirannya pada pilihan raya umum (PRU13) ini dan mempertikai soal kepulangannya ke Parlimen itu.
“”Tetapi jika beliau (Salahuddin) ingin bertanding di Pontian pun boleh, dulu lawan saya calon dari PKR, tapi saya yakin calon Umno jika bukan saya pun masih boleh menang di Parlimen Pontian,”” ujarnya dipetik akhbar itu.
Sementara itu, Hj. Raden turut mempersoalkan cara Ahmad mengeluarkan kenyataan yang mana kononnya banyak mengadakan program turun padang sedangkan banyak lagi isu yang belum diselesaikannya sepanjang empat tahun bergelar Yang Berhormat.
“Ahmad Maslan nampak saja hebat. Mana janji-janji dia dengan sekolah-Masjid? Tengok Balai Raya di Kampung Parit Gantong, Sanglang. Tunggu masa saja rebah. (Janji) nak buat Balai raya. Berapa (banyak) yang dia buat?
“BR1M bukan UMNO punya. Tapi kerajaan punya. Berucap dekat Ayer Baloi. Dia kata, apa yang boleh PAS bagi?.
“Kalau handal, cuba naik taraf dahulu Hospital Pontian yang telah berusia lebih 100 tahun, masih berkeadaan seperti dahulu. Ada nak bikin?” soal beliau lagi.
Beliau berkata demikian pada majlis Khidmat Rawatan Alternatif secara Percuma PAS Kawasan Pontian di perkarangan Markas PAS Cawangan Ayer Baloi, Pontian, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Prof Dr Hj. Muhazaini Misri, Timbalan Yang Dipertua, Prof Dr Hj. Ungku Mohammad Noor Ungku Mahmud, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pulai Sebatang.
Pada majlis itu, pelbagai rawatan alternatif yang disediakan kepada masyarakat antaranya Homeopathy, Asyifa`, Derma darah dan Refleksiologi.
Kira-kira lebih seribu pengunjung hadir bagi memeriahkan program dengan dijamu bariani gam dan gulai kambing.
Hj. Raden menambah dengan katanya Ahmad Maslan mempunyai personaliti yang diketahui ramai sama ada dikalangan lawan mahupun kawan dalam soal kedudukannya di daerah ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati Ahmad supaya ‘cermin diri’ terhadap kenyataan yang bersifat meninggi diri sebelum ini.
“Orang Pontian sangat arif dengan Pontian. Dalam Pilihan raya ke 13 ini, Pakatan Rakyat ada calon berwibawa dan baik untuk melawan Ahmad Maslan,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan