Khamis, 23 Februari 2012

Berpolitik Kena Ikhlas, Sama Dengan Solat



Oleh ibn_bacoks

KUALA PILAH – Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menegaskan bahawa bukan sahaja suruhan sembahyang itu memerlukan keikhlasan malah mengamalkan politik juga perlu ke arah itu.

”Bukan sahaja ikhlas dalam bersolat, tetapi dalam politik juga kita perlu ikhlas. Ada orang berjuang dalam politik hendak dapatkan nama, pangkat, projek atau harta, ini adalah tidak betul dan sudah tentu tidak dapat pahala,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri Majlis Pelancaran Dokumen Negara Berkebajikan dan Meyuarat Agung Cawangan-cawangan PAS Kawasan Kuala Pilah, dekat sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, PAS sebuah gerakan Islam tidak pernah menjadikan agama sebagai senjata politik untuk meraih kuasa.

Sebaliknya, politik itu adalah sejuzuk dalam Islam dan menjadi tanggungjawab pengamalnya melaksanakan semua tuntutan agama termasuk dengan cara berpolitik.

Justeru, segala persepsi mengatakan PAS mempergunakan agama untuk kepentingan politik adalah disangkal sama sekali.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian yang menyebut kenyataan bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang menggesa pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan agama sebagai senjata politik.

Bagaimanapun, Dr Asri tidak menyebut secara khusus daripada kalangan pemimpin pembangkang atau kerajaan dalam kenyataannya itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan