Isnin, 6 Februari 2012

DPPK Pontian Desak Ahmad Maslan Campur Tangan



PONTIAN – Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian mendesak Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Datuk  Ahmad Maslan campur tangan berhubung masalah yang dihadapi orang Asal di Kampung Sri Mahkota, Pontian Besar, dekat sini.
Menurut Ketuanya, Ustaz Mohd. Faizul Hakim Ahmad, Penduduk di situ mendakwa  Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) berjanji membina sebuah dewan bagi memudahkan penduduk setempat menjalankan aktiviti kerana hingga kini tidak mempunyai kemudahan tersebut termasuk bagi mengadakan mesyuarat.
Disamping itu, selain masalah sampah, ketiadaan longkang dan sistem perparitan yang baik juga menimbulkan keresahan penduduk kerana sering berlaku banjir kilat semasa hujan lebat sehingga menyebabkan penduduk terpaksa meninggikan lantai rumah masing-masing bagi mengelakkan air memasuki kediaman mereka.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) diminta segera membina sebuah dewan orang ramai di Kampung Sri Mahkota, Pontian Besar yang dijanjikan sejak lapan tahun lalu.
“Kami kesal kerana janji tersebut belum ditunaikan walaupun pelbagai surat susulan telah dihantar kepada JKOA bagi memaklumkan keperluan tersebut,” ujar Penghulu Orang Asli, Othman A. Bakar yang dipetik Utusan Online hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Penerangan UMNO itu turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat di situ.
”Ahmad Maslan pernah kata yang beliau selalu turun padang. Dakwa menjuarai isu rakyat. Saya cabar beliau supaya turun dan segera selesaikan isu setempat di sini,” tegas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan