Khamis, 9 Februari 2012

BN Didakwa Gagal Bela Nasib Rakyat : Jui Meng



Oleh ibn_bacoks

MUAR – Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membela nasib rakyat terutama yang berpendapatan RM3000 ke bawah berikutan masih ramai yang tidak menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, dakwa Datuk Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Johor.

Katanya lagi, rakyat menjadi semakin terbeban lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan yang seolah tiada kesudahannya.

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat (PR) bersedia menawarkan banyak bantuan berupa kebajikan sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk menerajui Putrajaya.

”Kami mengutamakan keluarga miskin, warga emas, suri rumah yang berpendapatan bawah RM1.500 akan menerima bantuan sekurang-kurangnya RM1.000 setiap tahun.

”Manakala, keluarga miskin yang mempunyai anak berusia 12 tahun akan diberikan bantuan RM1.000 setahun,” ujar beliau yang dipetik Sinar Harian.

Jui Meng yang juga bekas Menteri Kesihatan turut dilaporkan berkata bahawa rakyat boleh memanfaatkan bantuan yang disalurkan dengan menghantar anak ke pusat jagaan.

Manakala ibu pula, ujarnya boleh menambah pendapatan keluarga dengan keluar bekerja.

”Kami tidak mahu lagi melihat rakyat hidup dalam kemiskinan terutamanya kaum Bumiputera yang paling ramai miskin,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Bakti Bakri di Hotel Muar Traders di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Dr Mohamad Taslim (PAS), Adun Bentayan, Gwee Tong Hiang (DAP).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan