Selasa, 24 Januari 2012

Tindakan Halang Guna Gelanggang Futsal Diselar


Oleh ibn_bacoks

PARIT SULONG – PAS Kawasan Parit Sulong menyelar tindakan salah seorang Ketua Kampung di Parlimen itu yang tidak membenarkan penggunaan gelanggang Futsal bagi membolehkan penganjuran Sukan Futsal itu dianjurkan.

Menurut Yang Dipertuanya, Tn. Hj. Hairuddin Abd. Rahim mempersoalkan tindakan tersebut yang nyata gagal membezakan kemudahan awam itu telah disediakan oleh kerajaan atau ia milik UMNO.

”Ada Sukan Futsal dari sabtu lepas di Parit Kuda Barat. Walaupun ada halangan daripada UMNO untuk guna padang Futsal. UMNO kata itu milik mereka. Padahal ia milik kerajaan.

”Peringkat awalnya, Ketua kampung tak bagi (benarkan). Bila kita mohon kepada Pegawai Daerah dia bagi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Sambutan Karnival PAS 60 Tahun peringkat PAS Kawasan Parit Sulong, di perkarangan Markas PAS Cawangan Parit Bisu, Parit Semerah, Batu Pahat, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Ustaz Ahmad Rosdi, Setiausaha PAS Kawasan Parit Sulong, Sdr. Zamzuri, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Sulong.

Terdahulu beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan Sukan Futsal bagi merebut Piala YDP apabila pasukan Peserai A dinobatkan sebagai juaranya.

Pertandingan yang melibatkan 14 pasukan itu terdiri daripada pasukan seperti Sungai Balang A yang muncul sebagai naib juara. Kemudian diikuti Rimba laut tempat ketiga. Manakala pasukan Makmur FC hanya mampu meraih tempat ke empat.

Difahamkan, Sambutan Karnival itu telah dilaksanakan selama tiga hari dua malam dengan menampilkan pelbagai acara seperti di hari pertamanya, Konsert Suara Anak Muda, pertandingan muslimat, acara PASTI, pertandingan Karaoke, persembahan Alternatif Band Club (ABC), Sukan Rakyat, Rawatan Perubatan Percuma, Pertandingan Tea tarik dan Menebar roti canai.

Manakala pada hari berikutnya, Himpunan KERABAT, Pelancaran We Care, Anugerah Tokoh telah diadakan dan kemuncaknya pula diadakan Ceramah Perdana daripada Naib Presiden PAS, Sdr. Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Muhammed, Sdr. Hasni Abas, Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI.

Program turut diserikan dengan kebanjiran gerai pameran dan jualan bagi menarik perhatian pengunjung.

1 ulasan:

  1. Bila pula parit kuda darat ada gelanggang futsal.. Gelanggang badminton ada la..mana ada org main futsal kat gelanggang badminton

    BalasPadam