Selasa, 31 Januari 2012

Maniam Bertekad Menangkan PAS Johor



Oleh ibn_bacoks

KULAIJAYA – M Subramaniam, Ketua Penerangan, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri Johor telah menyatakan kesungguhan untuk memenangkan PAS agar beroleh kejayaan dalam PRU.

Menurutnya, DHPP sudahpun menurunkan jenteranya ke setiap kawasan Dun dan Parlimen bagi memberikan penerangan kepada rakyat khususnya masyarakat bukan Islam mengenai PAS.

Seramai 80 orang ujarnya sudahpun dikenal pasti berfungsi sebagai pegawai penerangan dan mereka kini bergerak ke setiap rumah pengundi kerana yakin BN kini tiada berkemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

”Kami akan membawa isu-isu ini kepada rakyat kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat.

”DHPP Johor akan bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan calon PR yang bertanding pada PRU akan datang,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Semalam, 30 Januari, akhbar itu melaporkan beberapa nama dari DHPP sudah disenaraikan sebagai calon bukan Islam yang bakal bertanding di atas tiket PAS.

Penjelasan yang dibuat itu nyata berjaya meneguhkan persepsi bahawa pimpinan PAS mempunyai hubungan erat dengan masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, Subramaniam menambah dengan katanya penumpuan gerak kerja lebih terarah kepada kaum India.

Justeru, beliau akan memastikan Dun yang ditandingi calon BN dari parti MIC tidak diberi kemenangan percuma sebaliknya mereka akan menghadapi saingan yang lebih sengit lagi.

”Kami akan bekerja keras di kawasan di mana MIC akan bertanding,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan