Isnin, 30 Januari 2012

MBJB Digesa Beri Penjelasan Isu Flet Taman Rinting


Oleh ibn_bacoks

PASIR GUDANG – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) digesa memberikan penjelasan berhubung satu masalah yang dihadapi para penghuni sebuah Flet di Taman Rinting, dekat sini.

Perkara ini disuarakan oleh Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Permas, Syed Othman Syed Abdullah bahawa pihaknya amat prihatin pada permasalahan penduduk dan akan menjadi orang tengah bagi menyuarakan isu itu kepada pihak berwajib.

Malah desakan daripada pihaknya dibuat agar MBJB menyelesaikan isu ini kerana ia melibatkan kesihatan penduduk ekoran limpahan air najis memenuhi ruang di hadapan kediaman mereka.

”Setakat ini lima pengadu berjumpa saya mengenai masalah kumbahan yang tidak diselesaikan sejak lebih tiga bulan lepas sehingga terpaksa mengambil inisiatif sendiri menjolok saluran utama yang tersumbat.

”Kita juga akan menghantar surat kepada pihak Biro Pengaduan Awam untuk memastikan masalah itu dapat diselesaikan segera.

”Kita rayu pihak bertanggung jawab turun padang melihat kepayahan yang dihadapi di kawasan ini dan mencari jalan penyelesaian agar masalah ini tidak terus dibiarkan berlarutan,” jelas ahli jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Johor itu yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Semalam, 29 Januari, akhbar itu melaporkan seramai 15 keluarga dari Flet Jalan Ketapang Taman Rinting, di sini hidup dalam tekanan apabila saluran kumbahan tersumbat sehingga melimpah ke atas permukaan berhampiran penduduk.

Kesusahan yang mereka alami telah menyebabkan keadaan tidak selesa antaranya seperti menghidu bau busuk dan masalah lalat yang terpaksa dihadapi sejak 3 bulan lepas.

Rata-rata penduduk memohon kerjasama daripada pihak bertanggung jawab untuk mencari jalan penyelesaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan