Isnin, 23 Januari 2012

Tahun Baru Cina : Kukuhkan Kerjasama Dalam Pakatan Rakyat


Oleh ibn_bacoks

PONTIAN - Pendokong Pakatan Rakyat (PR) disaran supaya mengukuhkan kerjasama politik bagi mengorak langkah menumbangkan UMNO-Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

Perkara ini ditegaskan oleh Ustaz Mohd. Faizul Hakim Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian dengan menyetujui kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghoa di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru semalam iaitu sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan," ujar beliau ketika diminta mengulas tentang perayaan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, peranan diplomasi amat penting jika melibatkan isu sensitif antara komponen PR. Justeru itu katanya ia haruslah diselesaikan di meja rundingan bukan dengan mengeluarkan kenyataan di media massa milik UMNO-BN.

Beliau menegaskan perkara ini dengan merujuk kepada sirah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bagaimana sikap bijaksana baginda dalam melakukan perundingan dengan wakil-wakil daripada negara bukan Islam.

"Baginda melayan diplomat asing dengan layanan baik dan istimewa. Disebabkan layanan yang baik, musuh-musuh Islam tidak berasa bimbang untuk menghantar wakil mereka berunding dengan baginda.

"Malah ada diantara utusan dan yakin tersebut yang terus memeluk Islam seperti yang terjadi kepada Abu Ra`fi, seorang wakil Quraisy. Dia menyatakan keIslamannya dan enggan pulang ke Mekah. Baginda bersabda `Kamu adalah seorang utusan. Kamu mesti pulang. Sekiranya kamu masih kekal dan yakin seperti sekarang, kamu sentiasa mempunyai kebebasan untuk pulang sebagaimana orang-orang Islam yang lain," terangnya lagi.

Beliau menambah lagi dengan katanya politik perkauman pihak pemerintah yang diamalkan ternyata menyumbang ketidak selesaan kepada kaum bukan Melayu.

Bahkan ujarnya, semangat perkauman itu nyata memberi kesan negatif kepada agama Islam kerana ia tidak menjadikan kepentingan penyatuan membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah SWT.

"Ia adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya di akhirat kelak," tegas beliau lagi.

Sinar Harian 21 January 2012 lalu melaporkan kenyataan Presiden PAS mendakwa pemerintahan negara selama puluhan tahun ini masih belum mampu mewujudkan perpaduan nasional yang mantap.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan