Ahad, 8 Januari 2012

Risalah Provoke VS Risalah Nasihat


Oleh : ibn_bacoks

PONTIAN - Pada penghujung tahun 2011 yang lalu, Parlimen Pontian telah dikejutkan dengan edaran risalah berbentuk provokasi yang telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu kerana bimbang dengan sokongan rakyat yang mula berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Namun, bagi pihak PAS Pontian pula, pendekatan bijak telah diambil dengan turut mengedarkan bahan risalah namun ia berbeza dari sudut pengisiannya. Umum sudahpun maklum bahawa PAS bukan sekadar sebuah parti siasah, akan tetapi lebih dilihat pada imej dakwahnya.

Tiada siapa yang mahu menyangkal bahawa tugas 'Amar Makruf Nahi Mungkar' sememangnya amat sinonim dengan parti itu.

Tambahan pula, perkataan Islam yang terselit pada namanya sudah jelas memberi erti bahawa kesungguhan untuk melaksanakan perintah Allah SWT merupakan prioriti yang tiada penghujungnya.

Perkara ini telah dinyatakan secara tegas oleh Ustaz Muhammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian yang katanya sebagai sebuah gerakan Islam sudah pasti perlu kepada suatu tindakan yang tegas jika ia membabitkan krisis keyakinan mahupun kerosakan moral dalam sesebuah masyarakat.

Menurutnya, kadangkala tindakan itu dianggap tidak popular bagi sesetengah pihak, namun untuk tidak mahu mendapat kemurkaan Allah SWT maka ia harus dilakukan.

''Sebagai contoh. Petang nak sambut tahun baru, kami telah mengedar risalah berbentuk nasihat di sekitar bandar Pontian bertujuan supaya masyarakat khasnya anak muda tidak melakukan sesuatu yang merosakkan imej agama mahupun maruah diri.

''Disamping itu, kami ingin sarankan agar budaya barat ketika menyambut tahun baru yang lebih kepada hiburan yang melampau dan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan dapat dielakkan,'' tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas program XPDC Dakwah sempena dengan sambutan tahun baru 2012 di Bandar Baru Pontian, dekat sini, baru-baru ini.

Mtd-benut.blogspot.com difahamkan, program itu juga telah melibatkan sayap kanan PAS Pontian seperti Dewan Pemuda, Nisa' dan Dewan Muslimatnya.

Turut kelihatan Sdr. Abd. Rashid Taib, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Pn. Hjh Zabedah, Ketua Dewan Muslimat dan Cik Nor Asyikin Badrul Hisham, Ketua Nisa' PAS Pontian.

Katanya lagi, program ini merupakan aktiviti berkala dan ia sebahagian dari agenda penting dalam melaksanakan misi dakwah kepada masyarakat.

''Sebelum ini, waktu malam sambutan kemerdekaan negara, kami (DPPK) turut mengadakan aktiviti yang sama. ''Secara kebetulannya terserempak dengan pasukan penguatkuasa tempatan seperti Polis, Jabatan Agama dan lain-lain yang sedang melakukan operasi pencegahan maksiat di sekitar hotel-hotel bajet di Pontian ini.

''Harapan kami pada masa akan datang ialah dapat bekerja sama dengan agensi kerajaan berkenaan bagi sama-sama cegah kemungkaran yang ada,'' katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan