Khamis, 26 Januari 2012
Misi PR tawan Johor
TIMBALAN Presiden PKR, Azmin Ali berkata, adalah tidak mustahil untuk merampas negeri Darul Takzim itu kerana yakin rakyat Johor telah mula ingin melihat wahana politik baru di negeri itu.
Sinar Harian hari ini bagaimanapun hanya melaporkan bahawa Pakatan Rakyat kini menyasarkan sebuah lagi negeri yang menjadi kubu kuat BN - Johor.
Laporan itu memetik sebagai berkata Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR Selangor memberi keyakinan itu berdasar situasi dan perkembangan semasa yang berpihak kepada PR.
“Jika Johor berjaya dirampas, ini merupakan permulaan yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) menyusun langkah bagi menawan Putrajaya tetapi perkara ini tidak mungkin berlaku jika Sabah dan Sarawak tidak berada dalam genggaman,” kata beliau dalam satu wawancara bersama Sinar Harian Online.
“Dalam usaha untuk menawan Johor, kami juga akan berusaha untuk mempertahankan Selangor dan dalam masa yang sama kami akan memperluaskan pengaruh ke daerah-daerah yang telah ditakluki,” katanya.
Sementara itu, Azmin turut mengulas kenyataan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor yang meminta kepimpinan BN Selangor untuk merampas Selangor dengan apa cara sekalipun.
“Jelas kenyataan itu menunjukkan Najib menggalakkan ahlinya boleh menghalalkan apa cara sekalipun termasuk rasuah, mengugut ataupun merampas demi mencapai matlamat yang ingin dicapai.
“Jika beliau (Najib) merupakan kelompok yang sederhana, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana boleh membimbangkan rakyat,” kata Pengerusi PKR Selangor ini.
Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak menambah, Najib sebagai seorang pemimpin yang demokrat sewajarnya menghormati keputusan rakyat Selangor yang telah memilih PR sebagai peneraju baru negeri itu.
Beliau bagaimanapun tidak bimbang tentang situasi ini kerana merasakan apa yang berlaku sekadar retorik dalam politik semata-mata.
Katanya, maklum balas yang diterima oleh rakyat Selangor terhadap kepimpinan PR adalah sangat positif terutamanya kini rakyat Selangor dapat merasai hasil dari khazanah negeri itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan