Sabtu, 28 Januari 2012

Prasarana Untuk Padang Bola Akan dipertingkatkan : Adun Maharani

Oleh ibn_bacoks

MUAR – Padang bola Sepak Sri Kumbang yang terletak di Muar dekat sini sangat berpotensi untuk dijadikan satu lagi padang bagi sebarang kejohanan dan juga aktiviti sukan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Maharani, Y.B Dr Mohammad bin Taslim daripada PAS.

Ujarnya lagi,pihaknya mengharapkan bantuan daripada pihak berwajib dan orang ramai bagi merialisasikan impian anak-anak muda di situ untuk aktif bersukan.

Hal ini, kerana menyedari bahawa Muar kekurangan padang yang luas untuk aktiviti sukan dan tempat ini sangat sesuai untuk dibangunkan.

“Kampung Asam Kumbang di Jalan Junid Muar mungkin kurang dikenali oleh ramai penduduk Muar kerana kedudukannya yang agak jauh di Jalan Junid bersebelahan Parit Bakar. Kawasan di sebelah laut merupakan kawasan tanah kerajaan yang rasmi dikurniakan kepada penduduk pada tahun 1980an.

“Di kawasan ini telah direzabkan tanah seluas 3 ekar khusus untuk padang permainan yang dinamakan Padang Bola Sepak Sri Kumbang. Ia telah dirasmikan oleh seorang Wakil Rakyat, Allahyarham YB Hj Shahdan Sabtu. Sebuah padang bola, grand stand, tandas dan bilik mandi serta sebuah setor terdapat di sini .

“Ia dikelolakan oleh KRT Desa Wawasan Asam Kumbang. Walaubagaimanapun tiada bekalan air atau elektrik di sini,” ujar beliau menerusi laman blognya dun-maharani.blogspot.com.

Terdahulu beliau berkesempatan menyampaikan sumbangan berupa 5 biji bola sepak, jersi dan kon latihan sebagai bantuan permulaan pada program YB Turun Padang, di Jalan Junid, Muar, di sini, baru-baru ini.

Katanya lagi, Sempena dengan Kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda PAS Muar yang dijadualkan berlangsung pada 29 Januari 2012 ini, maka 2 buah pasukan di kampung itu akan ditaja sebagai langkah mengaktifkan kembali aktiviti sukan dan rekreasi pada masa akan datang.

“Insya-Allah beberapa aktiviti akan diaturkan bagi memakmurkan tempat ini,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan