Selasa, 10 Januari 2012

Khidmat Rawatan PERCUMA PAS Pontian


Oleh ibn_bacoks

PONTIAN – PAS Pontian telah berjaya menganjurkan program Rawatan Perubatan Alternatif secara percuma sebagai satu inisiatif untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat.

Program yang mengambil masa sepetang itu telah melibatkan beberapa pengamal perubatan seperti Dr Mumazaini Misri, Pengamal Homoeopathic, Sdr. Abd. Wahab Taib, Pengamal Urutan Refleksi dan Ust. Fadhil Pengamal Perubatan Islam As Syifa’.

Menurut setiausaha programnya, Sdr. Zainuzabha Baharom, program itu telah dirancang selain membolehkan masyarakat setempat membuat pemeriksaan kesihatan, ia turut menerangkan tentang kepentingan menjaga kesihatan diri dengan baik.

”Program ini dibuat sebagai khidmat sosial kami kepada masyarakat. Ada juga yang kami temui bertanyakan tentang bayarannya namun kami menyatakan ini adalah pertolongan kecil sebagai kebajikan yang mampu kami berikan,” ujarnya ketika ditemui Mtd-Benut.blogspot.com di Pekan Parit Sikom, Pontian, dekat sini, ahad lepas.

Sementara itu, bagi pesakit jantung, Hatipah Dahlan, 73, berkata program seumpama ini amat baik buat dirinya dan ia patut diteruskan pada masa mendatang.

”Makcik ucapkan terima kasih sebab sudi periksa. Rawatan ini bagus. Selalunya pergi klinik kena bayar, tapi hari ini diberi percuma,” ujarnya lagi.

Saiful Marie, 36, yang menerima rawatan urutan refleksi dan As Syifa menyifatkan program ini amat bermanfaat buat orang awam sepertinya.

Tambahan pula ujarnya, Klinik Kesihatan biasa jarang menyediakan perkhidmatan seperti itu dan menyarankan supaya PAS Pontian membina satu premis tetap bagi memudahkan orang ramai membuat pemeriksaan sebagai saluran perubatan alternatif.

”Harapan saya, sebulan sekali buat program macam ini. Ia amat bagus untuk orang awam dapatkan rawatan. PAS kena ada pejabat (Pusat Rawatan) di Pontian,” katanya lagi.

Tinjauan mendapati, tidak kurang 50 orang daripada masyarakat Kampung Parit Sikom menerima khidmat pemeriksaan kesihatan tersebut. Manakala Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pontian merupakan penganjur bersama bagi memperlicinkan lagi program yang diadakan.

”Program susulan akan dilakukan di Kampung Kayu Ara Pasong dalam masa terdekat lagi,” kata Zainuzabha yang juga merupakan Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Benut.

Hadir sama, Hj. Ungku Mohd. Noor Ungku Mohammad, Bendahari Badan Perhubungan PAS negeri Johor merangkap bakal calon PAS DUN Pulai Sebatang, Parlimen Pontian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan