Selasa, 20 Mac 2012

Tinggal Di Pondok : Ahmad Maslan Diselar



PONTIAN – Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian menyelar tindakan Datuk Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian yang membuat kenyataan bagaimana kejayaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan baik sedangkan di Parlimennya sendiri masih ada manusia yang mendiami pondok sebagai tempat berteduh.
Menurut Ketuanya, Mohd Faizul Hakim Ahmad, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu sewajarnya lebih prihatin pada nasib rakyat di kawasannya sendiri dari mencanang pelbagai janji manis yang di jajanya ke seluruh negara.
”Apa Ahmad Maslan pandang sebelah mata saja melihat keperitan rakyat di kawasannya sendiri?,” tanya beliau lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan bantuan kebajikan kepada seorang warga emas, Ali Laufek,78, di Parit Betak, dekat sini, baru-baru ini.
Difahamkan, rombongan Faizul bersama Jawatankuasa Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut sudahpun mengadakan lawatan sebanyak tiga kali sebelum ini dan berkesempatan menemukan wartawan Sinar Harian dengan Pak Ali.
Menurutnya, Pak Ali juga merupakan pemain muzik kugiran, menghabiskan sisa usia tinggal bersendirian di sebuah pondok usang terletak jauh dalam kebun kelapa sawit dengan bergelap pada waktu malam dan hanya menadah air hujan sebagai sumber air harian.
Ketika dikunjungi ujarnya lagi, Ali sempat menyanyikan beberapa buah lagi tanpa iringan muzik meskipun perkataan yang disebut dalam lagu kurang jelas kerana suaranya yang semakin serak dan penglihatannya yang makin kabur.
”Kita akan berunding dengan waris untuk mencari penyelesaian bagaimana kehidupan Pak Ali lebih terurus pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan