Selasa, 27 Mac 2012

Dialog Masalah TANAH : Pak Samad Akan Hadir



SIMPANG RENGGAM – Pusat Aduan Rakyat Johor akan mengadakan Dialog Masalah Tanah Rakyat Johor yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac ini di Hotel Good Hope, Skudai jam 2.00 hingga 5.00 petang.
Menurut Penyelianya, Suhaizan Kaiat, selain bertujuan untuk mengumpulkan maklumat dan merangka plan bertindak, ia turut dihadiri oleh seorang tokoh terkenal, A Samad Said, Sasterawan Negara.
Tambahnya lagi, hasil dari pertemuan itu diharap bakal merumuskan cadangan sekaligus membantu menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi rakyat Johor.
”Dialog itu berkonsepkan, setiap kumpulan rakyat bermasalah dengan isu tanah yang diberikan masa 7 minit untuk memberikan maklumat berkenaan,” tegas beliau lagi.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Masalah Tanah Kali Kedua di pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Taman Renggam Jaya, Simpang Renggam, dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, Ustaz Mohd Azam Abd Razak, Timbalan Ketua Pemuda Johor, Faizul Salleh, Naib Ketua Pemuda Johor dan Mahadzir Mat Zili, Setiausaha Pemuda Johor.
Sementara itu, beliau menambah dengan katanya  antara peserta yang dijangka bakal menyemarakkan lagi sesi perbahasan seperti YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Mazlan Aliman, ikon tanah negara, Hj. Dzukefly Ahmad, Perunding Hartanah, A Samad Said, Sasterawan Negara, Hassan Karim, Peguam, wakil PERKASA dan kumpulan rakyat yang bermasalah dengan tanah di seluruh negeri ini.
”Pak Samad sudah menyatakan kesediaan hadir untuk sama-sama menyelami denyut nadi dan rintihan rakyat.
”Oleh itu, saya menyeru kepada semua yang pernah menjadi mangsa berkaitan tanah supaya dapat bersama-sama menjayakan program tersebut,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan