Selasa, 6 Mac 2012

PR Nafi Sebagai Pemecah belah Masyarakat



Oleh ibn_bacoks
SENAI – Pakatan Rakyat (PR) menafikan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman apabila mendakwa pakatan pembangkang telah menjadi pemecah belah masyarakat melalui siri-siri penerangan parti itu di negeri ini.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Suhaizan Kaiat, tujuan siri ceramah dianjurkan untuk menjelaskan sesuatu isu dan menerangkan dasar-dasar PR sekali gus tidak langsung berniat memecahbelahkan rakyat.
”Kita lihat sahaja media arus perdana tidak kira di dada akhbar atau kaca televisyen, mereka terang-terangan membuat serangan. Apabila kita mengadakan ceramah, dituduh pula menghasut.
”Saya sendiri menafikan tuduhan Menteri Besar ini. Kalau mereka takut PR turun padang bertemu rakyat dan berceramah, buka ruang kepada kami memberi penjelasan dalam media secara bebas demi rakyat,” katanya lagi dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor menggesa BN membenarkan rakyat membuat penilaian menerusi maklumat yang disampaikan pada sesi-sesi ceramah yang diadakan.
Tambah beliau lagi, pimpinan UMNO perlu sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi sekaligus mana-mana rakyat berhak bersuara atau mendengar apa jua maklumat yang disampaikan.
”Rakyat ada hak untuk mendengar apa yang pimpinan PR sampaikan dalam siri ceramah yang dianjurkan.
”Jadi kenapa beliau (MB) mahu mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan apa yang kami sampaikan sekali gus menyifatkan usaha kami sebagai pemecah belahkan rakyat? Saya fikir kenyataan beliau ini kurang matang,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan