Khamis, 22 Mac 2012

Konvoi Kebajikan Jelajah Dun Benut Berjaya


Oleh ibn bacoks
PONTIAN – Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian dengan kerjasama Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut telah mengadakan program Konvoi Kebajikan dengan menjelajahi sekitar kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.
Menurut Setiausahanya, Mohd. Firdaus Ismail, program tersebut dibuat secara berkala dengan dimulakan di Kawasan Benut terlebih dahulu.
Manakala di peringkat Dun Pulai Sebatang pula jelasnya, bakal diadakan pada minggu yang berikutnya dengan melibatkan PAR Zon tersebut.
”Kita akan gerakkan anak muda di Pontian bersama kita menyantuni masyarakat tanpa mengira aliran politik,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Konvoi Kebajikan Jelajah Dun Benut di Pekarangan pejabat Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut, di Kampung Asam Kumbang, dekat sini, Ahad lepas.
Hadir sama, Ustaz Atan Gombang, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut, Nor Azan Mohmad, Bendahari Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian.
Difahamkan, dua buah Ranger dan tiga buah kereta telah digunakan bagi mengangkut barangan sumbangan ke Unit Peti Undi (UPU) Pt. Abdul Rahman, UPU Tampok, UPU Pt. Kahar dan UPU Sanglang.
Lebih 25 individu dikenalpasti sebagai penerima dalam program sehari tersebut antaranya ibu tunggal, anak yatim dan warga emas serta mereka yang mengalami kehidupan yang dhaif.
Beliau berkata, antara UPU yang menjadi tumpuan adalah kawasan yang dikenalpasti ‘gelap’ bagi PAS namun berjaya jua akhirnya ditembusi.
Dari perkembangan terbaru itu terangnya lagi, nyata menunjukkan pendekatan mesra pihaknya dengan masyarakat telah berlaku hasil dari program sebegini.
”Kalau sebelum ini, UPU Pt. Kahar adalah kawasan yang sukar ditembusi. Pernah dalam PRU lepas kita pacak bendera pada sebelah malamnya tapi kesal apabila siang hari hanya tinggal abu saja.
”Alhamdulillah, dengan program ini masyarakat di situ tidak segan lagi dengan PAS dan kejadian yang lepas mungkin tidak berlaku lagi,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan