Oleh ibn_bacoks
SIMPANG RENGGAM – Gabungan Selamatkan Tanah Rakyat Johor (TANAH) akan ditubuhkan pada program Dialog Masalah Tanah Johor yang dijadualkan perjumpaan kali pertamanya di Hotel Good Hope sabtu ini dijangka akan merumuskan satu tuntutan secara bersama.
Menurut Pengarah, Sekretariat Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor, Suhaizan Kaiat yang bertindak selaku penganjur, cadangan daripada tuntutan itu adalah menepati dengan manifesto Pakatan Rakyat (PR) negeri ini yang memberi tumpuan kepada masalah tanah yang dihadapi rakyat hari ini.
”Antara tuntutannya seperti tebus balik tanah rizab Melayu yang telah digadai, mengurangkan karenah birokrasi dalam hal penganugerahan dan pemprosesan, mendesak kerajaan anugerahkan satu keluarga memiliki satu unit tanah atau rumah.
”Selain itu, maksimumkan proses pemberian tanah hanya tiga tahun, diberi hak milik tanah dalam tempoh 6 bulan selepas bayaran premium dan proses pengambil balikan tanah yang disifatkan boleh menguntungkan rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas program Dialog Masalah Tanah Rakyat Johor yang bakal dihadiri lebih 100 orang peserta yang bermasalah tanah di seluruh Johor.
Suhaizan yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berkata, pihaknya sudahpun menggariskan beberapa kategori yang difikirkan sesuai bagi memudahkan proses perbahasan dalam pertemuan itu nanti.
Tambahnya lagi, masalah yang berkaitan tanah yang melibatkan isu Setinggan, Permohonan Tanah Bertindan, Isu Orang Asal, Isu Tanah Felda, Projek Kerajaan Di atas Tanah, Birokrasi Urusan Tanah dan Penipuan Tanah wajar diketengahkan oleh para peserta bagi memudahkan proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
”Banyak isu yang boleh diketengahkan oleh kumpulan rakyat yang bermasalah tanah antaranya di Labis sendiri isu tanah generasi kedua di Felda Cempelak dan Cempelak Barat,” katanya lagi.
Pertemuan yang bakal melakarkan satu sejarah itu dipercayai akan dijadikan sebagai perintis dan pencetus bagi membangkitkan kesedaran serta memperjuangkan hak rakyat Johor yang selama ini sebahagiannya menjadi mangsa kepada ketidakadilan dan terpaksa menghadapi karenah birokrasi yang amat merumitkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan