Isnin, 26 Mac 2012
SENIMAN Dakwa Dipinggirkan
Oleh ibn_bacoks
PONTIAN – Seorang penggiat seni mendakwa diri diabaikan kerajaan berikutan hasratnya ingin mendapatkan tapak kediaman yang selesa menemui kegagalan gara-gara permohonannya tidak diluluskan.
Abidin Hj. Mehad, 53, seorang pelukis dan bekas Duta Kemerdekaan sempena Perayaan 50 tahun kemerdekaan yang dilangsungkan di Melaka berkata tapak rumah yang dijanjikan sebelum ini telah mendapat sokongan daripada Balai Seni Lukis Negara juga dengan harapan untuk menjadikan sebagai pusat latihan bagi aktiviti kesenian.
”Saya anak tempatan. Mohon tanah ke pejabat tanah pada tahun 2002 tidak diluluskan kerana alasannya tapak rumah berkenaan berhampiran dengan sungai Sanglang.
”Saya pertikaikan tindakan ini kerana ada sebuah padang bola sepak yang turut dibina berhampiran dengan sungai lebih kurang 130 meter dan diberi peruntukan RM50,000 tapi terbengkalai serta tak terurus.
”Malah, projek Rumah Mesra Rakyat juga berhampiran dengan sungai kenapa boleh diluluskan?,” tanyanya lagi bernada kecewa.
Beliau berkata demikian sewaktu datang sendiri ke Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut untuk melakukan aduan berhubung hal itu, di Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Katanya lagi, pelbagai ikhtiar telah dilakukan semata-mata untuk mendapatkan sebidang tanah termasuklah dengan datang sendiri ke pejabat Menteri Besar Johor di bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di Nusajaya.
”Tujuan saya ke sana untuk mengesahkan kedudukan permohonan tanah no. Fail PTDP.5/28/2007, malangnya sampai sekarang tiada jawapan,” katanya lagi.
Tambah Mentor Kesenian itu lagi, rasa bimbang turut menghantuinya kerana rumahnya pernah dipecah masuk sebanyak 3 kali sebelum ini.
Tambahan pula, mata pencariannya hanya diperolehi dari hasil kebun yang sekangkang kera dengan dibantu isterinya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan telah menghimpitkan lagi keadaan.
”Walaupun saya pernah terima sumbangan RM5000 dari Tabung Kesenian Skim Penggiat Seni namun ia tidak cukup untuk menampung sara hidup saya.
”Dulu, kita buat kerja dengan Kementerian (KEKWA), last-last rumah kita tak terurus,” kesal beliau yang mesra dengan panggilan Pak Bid lagi.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin membantu, bolehlah menghubungi PAR Benut untuk mengurangkan beban yang dihadapinya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan