Khamis, 22 Mac 2012

Isu Jalan : GHANI Terus Diselar



Oleh ibn_bacoks
PONTIAN – Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Pontian menyelar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor setelah kenyataan yang dibuatnya berhubung soal jalan kampung di negeri ini yang sudahpun diturap sedangkan masih ada lagi rakyat yang belum menikmati kemudahan asas sedemikian.
Menurut Timbalan Ketuanya, Abdul Rashid Taib, kerajaan UMNO digesa membina jalan alternatif sebagai jalan kedua yang menghubungkan Tampok dan Parit Betak sepanjang lebih kurang enam kilometer ini memandangkan Sungai Tampok yang berkeluasan lebih kurang 30 meter itu ini tidak memungkinkan penduduk  mampu membina jambatan masing-masing.
”Ghani pernah keluarkan kenyataan di Batu Pahat 19 Februari lepas yang dahulu sekitar 20 tahun, kerajaan UMNO sibuk dengan menurap jalan terutamanya jalan kampung, tetapi kini mula membesarkan jalan.
”Kata-kata itu seolah-olah seperti meludah ke langit. Buktikan slogan ‘rakyat didahulukan’. Ini retorik politik semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas isu yang membabitkan lebih 30 penduduk di jalan Tampok Darat, Benut menuntut kerajaan menyelesaikan masalah mereka berhubung soal pembinaan jalan alternatif.
Penduduk mendakwa sejak 30 tahun lalu hinggalah sekarang aduan dan permohonan sudah diajukan namun jangankan bayang-bayang jalan yang muncul malah sebutir batupun tidak kunjung tiba.
Malah penduduk juga terpaksa menggunakan jambatan kayu yang hanya boleh dilalui motosikal dan pejalan kaki sahaja.
”Nak bina jambatan sendiri kosnya mahal hinggakan penduduk terpaksa hadapi risiko kehilangan kenderaan. Lebih membimbangkan lagi mereka berdepan dengan ancaman maut.” katanya lagi.
Beliau berkata, beberapa bulan yang lepas ada seorang penduduk telah mati lemas setelah jatuh ke dalam sungai.
”Kita tidak mahu lebih ramai lagi mangsa yang terkorban gara-gara kerajaan UMNO gagal melaksanakan tugasnya dengan baik,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan bersama Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut, Ustaz Atan Gombang, di Tampok Darat, Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, pihaknya bersama penduduk akan membawa perkara ini ke peringkat atas bagi menimbang dan mengkaji keperluan semasa penduduk di situ dan didengari oleh pihak-pihak terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan