Sabtu, 17 Disember 2011

Terap Konsep Negara Berkebajikan Hingga ke akar umbi


Oleh : ibn_bacoks

PONTIAN - Banyak dakwaan yang mengatakan konsep negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS adalah menyamai dengan istilah Negara Kebajikan yang diamalkan di negara Britain dan Sweden serta di Amerika Syarikat.

Sebaliknya, Negara Berkebajikan adalah berbeza dengan Negara Kebajikan kerana banyak perbezaan dari segi dasar, objektif dan wawasannya walaupun terdapat sedikit persamaan tertentu dari aspek fizikal yang ingin dibangunkannya tetapi berbeza dari segi semangat rohnya.

Walaupun aspek fizikal mungkin ada kesamaan atau selari tetapi tamadun Barat meninggalkan aspek rohani atau pembangunan jiwa.

Perkara ini diturut diakui oleh Ustaz Muhammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian dengan katanya bahawa penerapan itu telah berjalan dan berjaya direalisasikan hingga ke akar umbi berikutan dengan pelaksanaan program XPDC Kebajikan dan Jejak Veteran anjuran PAS Kawasan Pontian.

Katanya lagi, selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban pesakit yang dilawati, penekanan dari sudut semangat ruhiyyah melalui tazkirah penjagaan kesihatan dan pembacaan doa juga merupakan konsep kebajikan yang dituntut oleh agama.

"Dalam sesi lawatan itu, pihak kami turut menyediakan khidmat perubatan secara Islam dengan iringan doa-doa yang ma`thur serta ucapan-ucapan yang boleh menguatkan jiwa dan fizikal," ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui Mtd-benut.blogspot.com sebagai reaksi kepada program XPDC Kebajikan dan Jejak Veteran di Kampung Parit Kerimun, Benut, baru-baru ini.

Hadir sama, Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Dr. Hj. Mumazaini Misri, Timbalan Yang Dipertua PAS Pontian dan Ustaz Fadhil Sarnap, Ketua Urusan Ulamak PAS Pontian.

Menurutnya lagi, program bermula dengan menziarahi pesakit strok iaitu Hj. Fuad Alias, Guru Besar di salah sebuah sekolah di daerah ini yang hanya terlantar di rumah sewaktu dilawati.

Sementara itu, ahli rombongan turut berkesempatan melakukan lawatan ke atas seorang lagi yang mengalami penyakit yang sama iaitu Harun Sanusi. Sepanjang sesi lawatan itu, Harun diberi peluang dengan pengubatan cara Islam daripada Ustaz Fadhil kerana penyakit yang dihadapi itu dikhuatiri ada kaitan dengan makhluk halus.

"Saudara Harun ini, kena strok dari pinggang ke bawah dan tak boleh bergerak. Saya
difahamkan ada 'sesuatu'. Bila Ustaz Fadhil rawat, alhamdulillah, ada sedikit perubahan," katanya lagi.

Pada program yang sama, XPDC diteruskan dengan mengunjungi seorang veteran PAS Hj. Muhammad Tahir Abdul Latif,76, yang merupakan penggerak awal PAS Dun Benut. Beliau yang seangkatan dengan Allahyarham Pak Turus, mantan Pesuruhjaya PAS Johor adalah antara individu yang terlibat menubuhkan cawangan PAS sekitar tahun 50-an iaitu di Kampung Parit Kerimun.

Untuk rekod, Dun Benut adalah ranting (kawasan) PAS Johor yang ke-2 yang berjaya ditubuhkan selepas di Johor Bahru sedikit masa dulu.

"Kami dapat berkongsi pengalaman bernilai dengan beliau bila cawangan itu mula-mula
ditubuhkan, pengasasnnya hadapi pelbagai ujian dan kebanyakannya sudah meninggal dunia," jelasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan