Selasa, 20 Disember 2011

Dun BENUT Lahirkan Ramai Pimpinan PAS JOHOR

Oleh : ibn_bacoks

BENUT bagi kebanyakan orang dianggap asing kerana mungkin tiada catatan sejarah mahupun peristiwa penting yang berlaku bagi menonjolkan pekan tersebut kepada umum.

Namun bagi kebanyakan orang tua-tua di Dun ini, mungkin masih mengingati bahawa salah satu tempat yang menjadi perintis kepada pergerakan PAS itu menapak adalah di pekan ini berbanding di tempat-tempat lain dalam negeri Johor.

Dalam erti kata yang lain, PAS sudah punya penyokong sejak dahulu lagi. Buktinya, untuk rekod, cawangan kedua PAS di negeri Johor ditubuhkan di Benut pada 6 Mei 1959. Selepas itu beberapa cawangan lagi menyusul seperti di Sungai Tempayan, Pontian (24 Mei 1959), Pulai Sebatang, Pontian (3 Ogos 1959) dan Kampung Parit Kerimun, Benut (4 Ogos 1959).

Untuk paparan kali ini, Mtd-Benut.blogspot.com cuba menyorot seorang tokoh iaitu Haji Yusof Hakim, merupakan Pesuruhjaya PAS Johor yang Keempat iaitu dari 1969-1972. Beliau dipercayai berasal dari Benut, Johor.

Dilantik memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Johor yang Keempat dengan menggantikan Hajah Khadijah Sidek yang telah meninggalkan PAS tahun 1969. Sebagaimana gigihnya pimpinan-pimpinan terdahulu dalam memimpin PAS Johor, Haji Yusof Hakim juga tidak terkecuali dari memikul amanah ini.

Walaupun pada masa itu PAS Johor telah menunjukkan perkembangan yang agak memberangsangkan terutamanya di Batu Pahat, Rengit dan Senggarang namun bagi mengembangkan pengaruh PAS yang berada dalam keadaan begitu dhaif ketika itu, beliau telah mengorbankan banyak masa, tenaga dan juga wang ringgit semata-mata melihat cahaya Islam bersinar di negeri ini.

Dalam pada itu, kawasan dan cawangan masih tidak dapat ditubuhkan di seluruh negeri namun pengaruh PAS sudahpun menjalar ke beberapa kawasan lain seperti Mersing dan Muar. Ini terbukti apabila terdapat ramai calon PAS bertanding sejak pada pilihan raya Umum 1959 walaupun kawasan dan cawangan masih tidak wujud lagi di tempat bertanding pada ketika itu.

Justeru, adakah Benut bakal memberi kejutan kepada UMNO dalam PRU yang akan datang? Jawapan mudah, WalLahu A'lam bissawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan