Jumaat, 30 Disember 2011

BERPOLITIK Medan Untuk Cari Redha Allah


PONTIAN – Gelanggang politik merupakan medan untuk mencari keredhaan Allah SWT kerana ia dilihat sebagai satu juzuk di dalam Islam, kata Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor.

Oleh yang demikian, PAS terangnya bukan hanya dilihat sebagai badan politik atau pun dakwah semata-mata.

Gabungan dari elemen itu katanya, telah menjadikan Jemaah Islam seperti PAS mengambil pendekatan berpolitik sebagai penampan bagi mendokongi matlamat perjuangan Islam.

”Dalam siasah ada perhitungan kami. Kita amal siasah dan dakwah. Dalam dakwah punya perhitungan dakwah, begitu juga politik.

”Tindakan Nabi SAW ambil perhitungan ini. Satu ketika Nabi SAW marah kepada kaum Munafiq yang menghalang pergi perang.

”Sabdanya yang bermaksud, ‘kalau Aku tak takut orang akan kata Muhammad yang bunuh kawannya lalu aku pancung leher-lehernya’,- sebab ada hitung baik dan kesan buruk. (perhitungan) Maslahah (baik) dengan mafsadah (buruk). Ini sunnah Nabi SAW,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah umum di Pekan Parit Betak, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung kerjasama politik yang diamalkan PAS, beliau bagaimanapun berkata, hari ini kaum bukan Islam sama terpanggil untuk bangkit menyokong gagasan tersebut.

Katanya lagi, kebanyakan gerakan Islam yang berada di Timur Tengah dipercayai turut mengambil pendekatan yang sama sehingga berjaya menghasilkan sokongan yang luar biasa daripada pelbagai agama dan kaum di negara masing-masing.

”Seperti Nabi SAW sebut pada 16 tahun umurnya. Satu perjanjian Quraisy termeterai untuk bela golongan tertindas. Haflul fudhul. Untuk tegak keadilan tolak zalim.

”Kalaulah diundangnya, aku akan terima perjanjian itu-maksud sabda Nabi SAW.

”Pengalaman baru gerakan Islam (massa). Parti Nadwah di Syria, Ikhwanul Muslimin Mesir dan Marocco. Bawa pendekatan baru (tahaluf siasi atau kerjasama politik), tampilkan Islam. Agama dan pemerintahan untuk menangi semua kaum dan agama (sebab) Islam (bawa) rahmat ke seluruh alam,” tegas beliau lagi.

Sementara itu, beliau menambah lagi dengan katanya UMNO telah menyerang PAS dengan membawa isu negara Islam kerana sekutunya MCA boleh mengambil peranan menanam dakyah dengan harapan boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang bukan Islam.

Sebaliknya, apabila PAS membawa konsep Negara Berkebajikan, parti yang berfahaman kebangsaan seperti UMNO itu pula cuba sedaya upaya mengalihkan isu kerana bimbang sokongan tidak lagi berpihak kepada mereka.

Beliau berkata, konsep Negara Berkebajikan mempunyai makna dan pemahaman tersendiri. Manakala Negara Kebajikan pula suatu perkara yang berbeza.

”Kenapa Negara Berkebajikan bukan Negara Kebajikan? Pertama, ada sistem dan pemahaman.

”Ini orang takut. Maksudnya memang punya sandaran daripada ulamak-ulamak besar ‘baldatun tayyibatun wa rabbul ghafur.

”Negara Berkebajikan berkonsep inklusif. Satu pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan.

”Ini yang PAS cuba bawa. Bukan cakap Negara Berkebajikan dengan imbuhan dan subsidi,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan