Ahad, 25 Disember 2011

Kubu Kuat UMNO : Tiada Jaminan Ia Akan Kekal Di Johor – Prof. Aziz Bari


Oleh : Ibn_bacoks

PONTIAN – Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pakar Perlembagaan Malaysia memberitahu bahawa Johor walaupun dianggap kubu kuat UMNO namun ia bukan jaminan kepada parti berfahaman kebangsaan itu boleh mengekalkan kuasanya.

Hal ini, kerana katanya PAS dan Pakatan Rakyat berpotensi mencetuskan kebangkitan itu dengan kepelbagaian cara dan kaedah sehingga umum tidak menyangka peluang itu dianggap cerah.

Beliau berkata, dengan pengamatannya selama ini terhadap perkembangan semasa di Johor memberi keyakinan bahawa negeri itu bakal mencatatkan sejarah baru setelah menyedari banyak usaha dan pengorbanan telah dilakukan oleh orang terdahulu.

”Saya yakin kena ada usaha pengorbanan seperti nenek moyang kita. Seperti Dr. Sanusi (Daing Mariok, mantan Naib Presiden PAS). Saya dengar cerita Pontian-Batu Pahat (Dun Benut) dekat di hati. Isu (kontroversi seperti) cawat besi, peristiwa (amuk) Jaafar Patola.

”Insya Allah Johor akan jadi medan (terbaik). Bukan tak boleh berubah. Kebetulan Johor negeri yang ditubuhkan UMNO, itu bukan satu jaminan akan kekal (berkuasa),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapannya di Majlis Syarahan Perdana anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian bersama Majlis Tindakan Dun (MTD) Benut di Unit Peti Undi Parit Betak Benut, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama HJ. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian, Ustaz Mohd. Faizul Hakim Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian.

Beliau turut dilaporkan berkata, banyak petanda yang boleh membenarkan penyataannya itu antaranya satu soalan wartawan kepada YB Salahuddin Ayub berhubung kedudukan tempat bertanding dalam Pilihan raya seolah-olah ada suatu yang tersirat disebalik pertanyaan itu.

Selain itu, UMNO jelasnya kini tidak lagi boleh berbangga sebagai parti tertua di negara ini sebaliknya PAS merupakan parti yang sudah lama bergerak sejak ia ditubuhkan lagi.

”Johorpun sama. Johor akan berlaku tsunami dengan pertanyaan wartawan pada Yb Salahuddin. Tak mahu balik Johor?.

”Aktivis PAS (adalah) tertua di negara ini. UMNO dah mati pada 1987. (ia) diharamkan oleh Mahkamah. PAS (adalah) parti tertua (di Malaysia).

”Tahun itu, tubuh UMNO baru supaya Kuli tak boleh masuk (UMNO baru). Bahawa UMNO sekarang, bukan yang asal,” tegas bekas pensyarah UIA itu lagi.

Sementara itu, beliau yang telah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selama 32 tahun itu berkata Johor boleh menjadi penyumbang untuk menawan Putrajaya setelah memperlihatkan kehadiran orang yang begitu ramai pada majlis penerangan rakyat meskipun berada di kawasan Ahli Parlimen Datuk Ahmad Maslan, ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Malah suasana itu katanya tidak berlaku dahulu, tetapi kini ia telah berubah ekoran ramai yang hadir adalah khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan masyarakat yang jauh terpencil dari maklumat sebenar.

”Untuk khalayak atau audien seperti ini (tempat ceramah) di Johor, insya Allah akan menang. Untuk yakinkan orang perempuan, tak mustahil.

”Jangan perkecilkan kemampuan orang kampung. Saya (ingin bagi amaran kepada UMNO), di Johor ada potensi untuk berubah. Jangan remehkan kebijaksanaan masyarakat (kampung) itu.” katanya lagi di hadapan lebih seribu orang yang setia mendengar meskipun hujan turun di kawasan tersebut.

Ketika ditanya oleh Mtd-Benut.blogspot.com setelah penyerahkan surat perletakan jawatan sebagai pensyarah di UIA baru seminggu dilakukan iaitu berhubung pilihannya untuk menyertai mana-mana parti politik setelah bersara, beliau berkata ”Nantilah (akan buat kenyataan). Pakatan Rakyat ! DAP kot?” katanya dengan nada berseloroh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan